'Saya dijadikan alat' -- Dr. Ma'amor nafi kurung Noryati atau mengajar berbohong

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Dr. Ma'amor Osman yang namanya dikaitkan oleh Noryati Mohamad Yusop dalam Akuan Berkanunnya menafikan mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, hari ini berkata dirinya telah dimanipulasi, diperguna dan diperalat oleh pihak tertentu tanpa disedari.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang disyakinya terlibat dalam perkara itu walaupun didesak beberapa kali oleh pemberita.

Dr. Ma'amor turut menafikan beliau pernah mengurung Noryati berhari-hari atau mengajar berbohong dan mereka-reka cerita mengenai hubungan sulitnya dengan Abdul Rahim seperti yang terkandung dalam Akuan Berkanun Noryati.

Pada sidang akhbar di sini hari ini Dr. Ma'amor yang turut ditemani oleh isterinya, Rohayah Ab. Rahman, menegaskan, Noryati hanya tinggal sehari di satu tempat di sekitar kliniknya.

Beliau berkata, Noryati tidak pernah tinggal selama dua minggu di kliniknya di Taman Tasik Tambahan, Ampang seperti yang didakwa dalam Akuan Berkanunnya.

Bagaimanapun Dr. Ma'amor yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengakui, Noryati pernah berjumpa dan menerima rawatan daripadanya pada 15 Ogos 1994, seterusnya bermalam satu hari di situ.

''Beliau datang pada 15 Ogos 1994 pada pukul 5 petang bersama kakaknya, Maslina Mohamad Yusop yang juga akhirnya menjadi pesakit saya.

''Beliau (Noryati) jadi pesakit saya pada hari tersebut sahaja,'' katanya.

Beliau berkata, guru disiplin sekolah Noryati, Cikgu Zainal Amal turut menghantar Noryati dan kakaknya ke kliniknya untuk menerima rawatan.

Sidang akhbar oleh Dr. Ma'amor hari ini adalah bagi membersihkan namanya daripada dikaitkan oleh Noryati dalam Akuan Berkanunnya yang dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Chong Yong Mok di Melaka bertarikh 2 September 1998.

Dr. Ma'amor menjelaskan, ketika menerima rawatan, Noryati didapati berada dalam keadaan keliru dan tertekan.

Beliau juga memberitahu, selepas bermalam di satu tempat 'sekitar' kliniknya, keesokannya beliau atas sifat kemanusiaan membantu proses pertukaran sekolah Noryati dari Alor Gajah ke Sekolah Puteri Wilayah yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur setelah diminta oleh gadis tersebut.

''Sesudah itu dia tinggal pula dengan kakaknya di Taman Melawati,'' ujarnya.

Kata Dr. Ma'amor beliau telah berjumpa dengan pengetua sekolah berkenaan yang dikenali sebagai Nafishah yang kemudian memberitahunya mengenai proses yang perlu dilalui untuk membolehkan Noryati bersekolah di situ.

Ditanya penyakit yang dihidapi oleh Noryati, Dr. Ma'amor enggan menjelaskannya kerana ia rahsia antara pesakit dan doktor.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa penyiasatan telah dijalankan termasuk pemeriksaan air kencing dan darah berdasarkan riwayat penyakit yang diberikan kepadanya.

Beliau turut kesal kerana namanya dikaitkan dalam isu berkenaan.

''Sesungguhnya saya tidak tahu mengapa nama saya dikaitkan dalam sandiwara ini,'' katanya.

Dalam hubungan ini, beliau menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai pihak yang didakwa memperlakukannya sedemikian rupa.

Tegas Dr. Ma'amor, dirinya tidak melakukan apa-apa di luar undang-undang dan batas kemanusiaan kerana penglibatannya dalam perkara tersebut semata-mata dari sudut profesional perubatan dan ihsan.

''Saya adalah seorang innocent bystander yang terperangkap di dalam keadaan yang saya tidak tahu punca sebenarnya,'' jelasnya.

Ditanya sama ada beliau pernah berjumpa Noryati selepas rawatan tersebut, Dr. Ma'amor berkata, beliau berjumpa ketika memberi kenyataan kepada pihak polis di Bukit Aman, tetapi tidak mengingati tarikh pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Ma'amor turut menafikan penglibatannya mengaturkan pertemuan antara Noryati dengan Perdana Menteri.

''Saya menafikan saya bawa dia jumpa Perdana Menteri. Kalau dia jumpa sendiri saya tidak tahu,'' katanya.

Mengenai pembabitan Cikgu Zainal Amal dalam isu tersebut, Dr. Ma'amor berkata, Zainal adalah sepupunya dan mereka pernah berjumpa sebelum ini tetapi agak jarang.

Beliau memberitahu, kali terakhir beliau berjumpa Zainal ialah semalam tetapi hanya pertemuan sebagai kawan.

Ditanya kemungkinan niat sebenar Noryati membuat pendedahan melalui Akuan Berkanun tersebut, beliau berkata, beliau tidak mengetahui apa yang tersirat atau diniat oleh gadis tersebut.

''Beliau sahaja yang tahu. Jadi saya mengambil apa yang berlaku ini sebagai ketentuan Allah,'' katanya.

Dr. Ma'amor bagaimanapun mengibaratkan perbuatan Noryati itu seumpama melepaskan anjing tersepit.

''Sebagai seorang Islam apa yang saya cakapkan ini patut diterima sebagai benar kerana adalah munafik sekiranya kita bercakap tetapi berbohong,'' katanya.

Tegasnya, beliau tampil membuat kenyataan hari ini semata-mata untuk menjernihkan keadaan bagi menghapuskan pelbagai kekeliruan yang timbul.

Dr. Ma'amor berkata, beliau juga telah meminta peguamnya untuk meneliti perkara tersebut seterusnya mengambil tindakan perlu bagi menjaga nama baik beliau.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

Kirim email ke