Cukur jambul amalan bidaah orang Melayu
Jelas Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz. Utusan Malaysia
11 September 2006

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena
menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga.
Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul
sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi
Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai
berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang
beragama Hindu.

Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiap-tiap
anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih
untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi
nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa
Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang
dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada
hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut
diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. 

Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada
cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh
diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur
rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan
disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya
disedekahkan kepada fakir miskin. Bagaimanapun, ulama
hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi
menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada
hari ketujuh akan dilakukan tahnik, jelas Pegawai
Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz. 

Menurut beliau, amalan tahnik adalah memasukkan
sesuatu yang manis seperti manisan madu lebah atau
buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke
lelangit bayi. Sebaliknya, cecair manis hanya
disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke dalam mulut
sebagaimana yang disunahkan oleh Rasulullah s.a.w..

Islam menggalakkan amalan mencukur rambut bayi
sehingga botak supaya segala kekotoran yang keluar
daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut
baru tumbuh dengan sihat. 

Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur
rambut anak-anak hingga botak sebaliknya mengadakan
upacara cukur jambul sebagai adat dan tradisi yang
telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah
mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke
dalam buah kelapa.

Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas
bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama
berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah
bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila
terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan
kembali kepercayaan seperti ini.

“Mengikut sesetengah pendapat, amalan cukur jambul
adalah tradisi dan kepercayaan yang dilakukan oleh
masyarakat India seperti menggunakan buah kelapa.
“Soalnya, kenapa menggunakan buah kelapa? Apakah
relevan amalan sebegini dengan masyarakat Islam?” kata
beliau.

Selain amalan-amalan di atas yang bertentangan dengan
syariat agama, kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa
hari ini ialah akikah atau cukur rambut dilakukan
setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut
turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian
dihias dengan bunga-bungaan dan perhiasan lain. 

Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu
disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai
dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia
diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan. 

“Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan
kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan
majlis secara besar-besaran hingga menampakkan
unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi
kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah
ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya
ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu
kesalahan,” ulas beliau mengenai kecenderungan
masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur
jambul secara besar-besaran.

Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan
yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan
kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah
perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan
kepercayaan dan tradisi agama lain.

Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang
Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan
masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara
ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan
Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika
itu menganut agama Hindu. 

Antara adat yang tidak boleh dipisahkan oleh
masyarakat Melayu ialah persandingan dan menepung
tawar pengantin ketika majlis perkahwinan. Walaupun
Islam tidak melarang tetapi dari segi perlaksanaannya
ia tetap bertentangan dengan syariat agama. Contohnya,
menghiaskan pengantin dan ditambah dengan pelamin yang
berhias bunga-bungaan dan sebagainya. Kemudian,
pengantin diletakkan di atas pelamin dan diadakan
upacara merenjis dan menepung tawar. Malah pengantin
perempuan pada hari ini juga cenderung melukis
pelbagai bentuk dan corak pada tangan mereka sedangkan
ia jelas bertentangan dengan hukum Islam yang melarang
sebarang lukisan dilakukan pada anggota badan.

“Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang
bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap
diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua
perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin
kesejahteraan ummah. “Justeru, demi kebaikan bayi yang
dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak,
tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara
khurafat dan bidaah 

sejak masih kecil,” tegas beliau.

Adat cukur jambul

Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas bayi
dilahirkan. Untuk menjalankan upacara tersebut
beberapa kelengkapan disediakan iaitu sebuah dulang
berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung
tawar, beras kunyit dan bertih.

Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan
potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan
penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air
sejuk. Kemudian kelapa yang dihias dengan lilitan
rantai emas atau perak disekelilingnya diletakkan di
dalam sebiji batil. Kesemua rambut bayi yang dicukur
akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa
tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama
sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai
memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut
diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa pengertian
menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak
dilahirkan. Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh
kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat
mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga
boleh dilakukan pada hari yang lain.

Adat berendoi

Semasa adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam
buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan
dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan
diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan
semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau
marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita.
Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini
serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur
rambut.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm


     
   
  Adat Bersendikan Hukum , Hukum Bersendikan Kitab Allah
  Syarak Mengata , Adat Menurut
   
  Sila layari Blog PAS N.Sembilan di http://pasns.blogspot.com
   




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 


///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke