DARI MEJA DEWAN  MUSLIMAT PAS PUSAT

 

Wakil Rakyat Dari Kalangan Muslimat - Mengapa Perlu di Pertikaikan

 

 

Dalam artikel yang lalu telah dijelaskan akan pendirian serta  perjuangan muslimat PAS dalam beberapa isu terutamanya peranan muslimat sebagai isteri, ibu dan anggota masyarakat. Memandangkan ramai yang masih keliru dengan pendirian muslimat dalam isu wanita atau muslimat PAS sebagai wakil rakyat,  tulisan ini sedikit sebanyak cuba memperjelaskan pendirian muslimat PAS khusus dalam isu ini. Kekeliruan ini timbul akibat dari pandangan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa PAS tidak memberikan keadilan dan peluang secukupnya kepada muslimat PAS untuk menjadi calon pilihanraya dan seterusnya menjadi wakil rakyat.

 

Tuduhan-tuduhan seperti PAS meminggirkan wanita kerana tidak memberi peluang kepada wanita menjadi calon pilihanraya adalah satu tuduhan yang dibuat tanpa usul periksa dan tanpa asas yang kukuh. Sekadar membandingkan sikap pimpinan PAS terhadap Presiden KeAdilan , Datin Sri Dr Wan Azizah dan sikap pimpinan PAS terhadap muslimat PAS adalah satu perbandingan yang dangkal. Realitinya, Datin Sri Dr Wan Azizah terpaksa mengorbankan tenaga dan kudratnya bagi meneruskan perjuangan suaminya dan dengan izin sepenuh suaminya iaitu Datuk Sri Anwar Ibrahim yang tidak dapat meneruskan perjuangan di luar kerana terpaksa melalui hukuman kejam pimpinan Barisan Nasional yang korup, zalim dan rakus. Penglibatan Datin Sri Dr Wan Azizah sepenuh masa dalam arena politik tanahair tidak perlu dipertikaikan kerana sebagai seorang isteri dan ibu yang berjauhan dengan suami buat sementara waktu boleh membawa kepada tekanan jiwa dan mental jika tidak berbekalkan ketabahan dan kesabaran yang tinggi. Muslimat PAS memandang tinggi usaha dan ketabahan beliau dalam meneruskan perjuangan dalam menegakkan keadilan untuk semua yang selama ini didokongi Datuk Sri Anwar Ibrahim.    

 

Mengapa pimpinan PAS tidak meletakkan calon wanita didalam pilihanraya ? Antara sebabnya kita boleh teliti penjelasan Presiden PAS berkaitan isu tersebut

dalam sebuah petikan akhbar Harakah.

 

 “Halangan sekarang ialah suasana dan adab pertandingan yang melibatkan muslimat sangat tidak sesuai. Kita tidak mahu muslimat kita terdedah dengan suasana sedemikian rupa.  Bagaimanapun, jika adab yang dikehendakki di dalam Islam itu wujud, muslimat PAS boleh diberi peluang bertanding dalam pilihanraya.  Sebab itu, jika PAS berkuasa maka kita akan menukarkan suasana dan keadaan dalam pertandingan pilihanraya kepada suasana dan adab yang dibenarkan Islam.  Ketika itu muslimat PAS boleh bertanding,”

 

Dari petikan di atas jelas menunjukkan bahawa suasana dan adab pertandingan pilihanraya  yang tidak Islamik belum mengizinkan muslimat PAS menceburkan diri secara lansung sebagai calon pilihanraya. Menjaga keselamatan  calon-calon yang bertanding adalah lebih diutamakan dari memenangi pilihanraya. Sikap protektif

(pelindung) yang diutamakan oleh pimpinan PAS terhadap wanita perlu dilihat sebagai satu penghormatan terhadap kaum wanita khususnya muslimat PAS.

 

Antara sebab lain adalah tugas sebagai wakil rakyat yang telah diamanahkan merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang tidak boleh dipermainkan. Seorang wakil rakyat pada hakikatnya perlu melayani karenah rakyat tanpa mengira waktu siang ataupun malam. Seorang wakil rakyat perlu menunaikan tuntutan rakyat yang diwakilinya. Oleh itu bersesuaian dengan fitrah semulajadi wanita dari sudut biologi dan fizikal maka muslimat PAS merasakan menjadi calon pilihanraya belum sampai ke tahap keperluan dan kehendak semasa. Masih ramai calon-calon dari pihak muslimin (lelaki) yang layak untuk bertanding dan seterusnya mewakili rakyat yang terdiri dari semua golongan lelaki dan wanita.

Terdapat juga beberapa tanggapan bahawa bila tidak ada wakil rakyat muslimat di dalam Parlimen maka hak-hak wanita tidak terjamin. Tanggapan ini merupakan satu tanggapan yang cetek dan yang tidak komprehensif jika dilihat dari kacamata Islam. Sebagai contoh,  Rasulullah S.A.W. sentiasa mengambil berat akan hal-ehwal wanita. Rang-rang undang-undang murtad yang dikemukakan oleh wakil PAS di Parlimen, Tuan Guru Hj Hadi Awang telah membuka mata umat Islam akan gejala murtad yang melanda umat Islam. Jika kita membaca majalah dan akhbar, bukankah mangsa murtad terdiri dari wanita ? Jika kita ikuti perjalanan perbahasan di Parlimen, wakil-wakil rakyat PAS tidak ketinggalan membawa isu-isu berkaitan wanita . Isu-isu seperti gejala sosial yang melanda muda-mudi terus menjadi perbahasan utama wakil-wakil rakyat PAS.  Bukankah bohsia terdiri dari remaja wanita? Bukankah mangsa buang bayi terdiri dari kaum wanita ? Bukankah mangsa rogol dan pencabulan seks terdiri dari wanita ? Bukankah mangsa gangguan seksual terdiri dari wanita ? Bukankah mangsa gejala sosial kebanyakannya terdiri dari wanita ? Oleh itu andaian bahawa tanpa wakil rakyat wanita , isu wanita tidak diboleh diketengahkan adalah kurang tepat. Wakil-wakil rakyat PAS amat peka dengan isu-isu berkaitan wanita kerana ini merupakan amanah yang perlu ditunaikan sebagai pemimpin Islam. Lupakah kita akan sikap prihatin Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz terhadap wanita. Di bawah kepimpinan beliau, beberapa polisi yang menguntungkan wanita diperkenalkan, antaranya waktu kerja anjal, cuti bersalin 60 hari (cadangan untuk ditambah kepada 90 hari) dan hari bekerja selama 5 hari seminggu. Antara lain beliau juga bercadang untuk memberikan elaun bulanan untuk surirumah mengikut bilangan anak. 

 

Perlu diingatkan pimpinan PAS tidak pernah menyekat hak wanita berpolitik. Ini terbukti dalam kempen-kempen pilihanraya, peranan muslimat merupakan faktor utama dalam memenangi pilihanraya. Jentera pilihanraya terdiri dari muslimat PAS dan pemuda PAS berganding bahu bersama-sama berkempen untuk mencapai kemenangan calon-calon PAS. Ini terbukti dengan kemenangan besar di kawasan Parlimen Arau adalah hasil dari tenaga kerja muslimat yang begitu ramai dan komited.

 

Menyedari akan peranan muslimat dalam masyarakat, pimpinan PAS Kerajaan Negeri Kelantan dibawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azizi Nik Mat telah memberikan ruang dan peluang kepada wanita menjadi wakil di dalam Dewan Negara dengan melantik dua orang senator dari kalangan muslimat PAS. Pelantikan ini jelas menunjukkan pimpinan PAS tidak pernah mengenepikan peranan wanita dan seterusnya mengambil kira kepentingan wakil wanita di peringkat Parlimen.

 

Ada juga yang mempertikaikan jawatan senator di dalam Dewan Negara hanyalah sebagai 'rubber-stamp' atau 'endorsement' terhadap rang-rang undang yang diperbahaskan. Sebenarnya jika kita ikuti perbahasan dan ucapan-ucapan yang disampaikan oleh kedua-dua senator muslimat PAS di dalam Dewan Negara, ia meliputi berbagai skop dan isu termasuklah pendidikan, ekonomi , sosial , perundangan dan lain-lain isu berkait dengan kepentingan rakyat khususnya kaum wanita. Dan kebanyakan isu-isu ini telah mendapat perhatian dan tindakan yang sewajarnya dari pihak kerajaan . Antaranya dengan adanya penggubalan  undang-undang  dalam isu gangguan seksual,  jual beli rumah yang melindungi pembeli, penyalahgunaan internet dan instituisi pendidikan swasta dan lain-lain. Isu-isu ini telah dan pernah diketengahkan oleh kedua-dua wakil senator muslimat PAS pada sesi Dewan Negara yang lalu.  

 

Diharapkan kesimpulan dari tulisan di atas dapat menjawab serba sedikit kekeliruan rakyat serta tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh kerajaan Barisan Nasional  ke atas isu wakil rakyat wanita. Oleh itu isu mengenepikan atau meminggirkan wanita atau muslimat PAS sebagai calon pilihanraya tidak timbul berdasarkan kepada huraian di atas. Sekali lagi muslimat PAS berikrar untuk meneruskan visi dan misi Dewan Muslimat PAS seterusnya mendokongi perjuangan menegakkan keadilan seperti yang terkandung di dalam manifesto Barisan Alternatif. Kami percaya dengan tenaga kerja Barisan Alternatif yang mantap dan  berjiwa perjuangan akan berjaya mengalahkan Barisan Nasional di pilihanraya akan datang dengan pertolongan Allah S.w.T. , InsyaAllah.    

 

 

Kirim email ke