Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus
bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat.
Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai
itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang
diamanahkan tuannya tadi.
Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus
dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga
dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta
mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin
Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang
perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang
tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu,
"Berapakah harga barang ini kamu beli?"

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham."
"Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham saja. Mari ke kedai saya
supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar
Yunus lagi.
"Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga
yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling
murah lima ratus dirham."
Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya
juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang
baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus
kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah
atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar
Yunus lagi.

"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham."
Saudaranya cuba mempertahankan bahwa dia dipihak yang benar.
Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu
amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri
kita sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang
beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang
jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan
dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.

Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap
harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku
harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut
aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali
imam Nasa'i)

-- 
you have this email because you join to "aga-madjid" GoogleGroups.
to post emails, just send to :
aga-madjid@googlegroups.com
to join this group, send blank email to :
aga-madjid-subscr...@googlegroups.com
to quit from this group, just send email to :
aga-madjid+unsubscr...@googlegroups.com
please visit to www.facebook.com/aga.madjid,
add my Yahoo Messenger at aga.mad...@yahoo.com or
add my twitter @aga_madjid
thanks for joinning this group.

Reply via email to