Mat dan Minah cemerlang... Edisi KL : Usaha murni tercemar Oleh Mazlan Hasan LUMUT: Usaha murni Putera Umno mendisiplinkan kira-kira 8,000 Mat dan Minah Rempit di Teluk Batik di sini, Sabtu dan Ahad lalu tercemar dengan beberapa insiden memalukan termasuk dakwaan kegiatan maksiat, minum arak, gaduh serta mencemarkan masjid.
Antara insiden memalukan didakwa membabitkan segelintir peserta Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Teluk Batik 2006 anjuran Putera Umno itu ialah kejadian mereka mandi serta berendam dalam kolah mengambil wuduk di Masjid Teluk Muroh, dekat sini, ketika program membersihkan masjid dilaksanakan. Beberapa penduduk setempat dikatakan menegur perbuatan tidak senonoh itu tetapi tidak diendahkan sehingga mereka terpaksa membuat aduan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Manjung (PAIDM) di sini. Pegawai Bahagian Penguat kuasa PAIDM, Mohd Zainudin Mohamed Zaini, mengesahkan menerima laporan jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan. Selain aduan itu, pihaknya menerima banyak aduan mengenai perbuatan sebahagian daripada 8,000 Mat dan Minah Rempit terbabit yang berkumpul selama dua hari di Teluk Batik pada 9 dan 10 September lalu. Antara aduan diterima daripada orang ramai ialah ada antara mereka bebas minum arak, berkhalwat dan menyalahgunakan kemudahan masjid, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mohd Zainuddin berkata, penduduk juga mengadu mengenai pakaian menjolok mata beberapa peserta perempuan yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai terutama ketika menjalankan aktiviti membersihkan kawasan masjid atau kubur. Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya menjalankan operasi bersepadu dengan Pejabat Agama Daerah Seri Iskandar dan Kampung Gajah termasuk memantau hotel di sekitar bandar Lumut. Katanya, hasil pemantauan itu, lapan remaja lelaki dan perempuan berusia 15 hingga 19 tahun yang menyertai ekspedisi berkenaan ditahan di sebuah hotel. Menurutnya, kumpulan remaja terbabit memilih untuk menyewa bilik hotel dengan alasan kurang selesa berkhemah di pesisiran pantai bersama peserta lain. Dalam serbuan jam 4 pagi itu, semua lapan remaja berkenaan sedang tidur dalam keadaan mabuk dalam dua bilik hotel di Lumut. Kami dapati sebuah bilik dikongsi tiga lelaki bersama seorang remaja perempuan. Bilik kedua pula dikongsi dua remaja lelaki berusia 18 tahun dan dua remaja perempuan masing-masing 18 dan 15 tahun yang ditemui dalam keadaan mabuk. Turut ditemui ialah botol arak. Remaja dari Kuala Lumpur, Selangor serta Kedah dan mereka menunjukkan surat penyertaan ekspedisi, katanya. Beliau berkata, semua remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Syariah Manjung atas kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 54(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 pada 7 November depan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Pengerusi Penganjur ekspedisi berkenaan ketika diminta mengulas kejadian itu, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai salah laku itu. Katanya, peserta terbabit dijaga secara ketat dengan bantuan lebih 100 anggota Rela dan polis yang bertugas secara bergilir-gilir. Malah, untuk keluar masuk dari kawasan perkhemahan di Teluk Batik juga diberi kawalan ketat apabila kita mengadakan tiga sekatan jalan atau pusat pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis trafik, katanya ketika dihubungi, semalam. Abdul Azeez berkata, daripada sejumlah 8,000 peserta, seramai 7,700 peserta lelaki diletakkan di kawasan perkhemahan di kawasan pantai, manakala 300 peserta wanita pula diletakkan di motel di situ. Katanya, langkah mengasingkan peserta lelaki dan perempuan terbabit perlu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Saya menafikan sebarang kemungkinan ada peserta ekspedisi berkenaan terlepas sehingga ditangkap atas kesalahan melakukan khalwat di sebuah hotel di Lumut sepanjang tempoh program berkenaan. Malah, saya juga tidak tahu mengenai dakwaan pengurusan Masjid Teluk Muroh bahawa segelintir peserta berendam di dalam kolah wuduk masjid. Kejadian itu tidak mungkin berlaku kerana ada lebih 100 orang di masjid berkenaan ketika program dijalankan, katanya. Abdul Azeez bagaimanapun berkata, walaupun ada pergaduhan antara Mat Rempit tempatan dengan peserta ekspedisi, ia dapat diselesaikan secara baik. --------------------------------- New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage! [Non-text portions of this message have been removed] Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif (BA) unless otherwise stated Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED] To Sub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] To Unsub : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED] Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/ <*> Your email settings: Individual Email | Traditional <*> To change settings online go to: http://groups.yahoo.com/group/alternatif-net/join (Yahoo! ID required) <*> To change settings via email: mailto:[EMAIL PROTECTED] mailto:[EMAIL PROTECTED] <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/