Nasional-BERITA HARIAN Cetak . Emel Rakan . Malam Tangisan Gaza kecam kezaliman Zionis Oleh Nazmi Yaakub
2010/07/0315 penyair tanah air simpati penderitaan rakyat Palestin KUALA LUMPUR: Kira-kira 15 penyair tanah air meluahkan kemarahan terhadap kekejaman Israel terhadap Palestin dalam bentuk deklamasi puisi dan lagu puisi pada Malam Puisi PENA: Malam Tangisan Gaza, di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini, malam tadi. Puisi protes kezaliman rejim Zionis itu ke atas rakyat Palestin, terutama di Gaza, termasuk isu misi bantuan kemanusiaan dibacakan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009, Mokhtar Yasin yang mendeklamasikan puisi Rayuan Warga Bumi. art Ketua Satu Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhammad pula membacakan puisi Aku, Puisi dan Bani Israel, manakala penyair veteran, Jamaluddin Darus mendeklamasikan puisi Wangi Taman Pembunuhan Metafora Sebuah Gaza. Malam puisi itu turut menampilkan tokoh dari luar negara, iaitu mantan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tone Brulin dari Belgium dan Penasihat Lembaga Adat Melayu Luhak Tambusai, Riau, Indonesia, Datuk Muda Taufik Affandi Talib. Antara penyair yang mendeklamasikan puisi ialah Ismas Saring, Khalid Salleh, Abdul Hadi Yusof dan Osman Mahali, selain personaliti TV3, Ahmad Fitri Yahya. Malam puisi anjuran PENA, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Yayasan Salam itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu oleh Datuk Ibrahim Bachik.