Sastera-BERITA HARIAN
 
Cetak . Emel Rakan . 
WS Rendra wira manusia 'kecil'

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashi...@bharian.com.my
2010/08/16
ANTARA mereka yang menyertai Seminar WS Rendra: Mengenang Rendra dalam Hubungan 
Budaya Antara Malaysia dan Indonesia di USM, baru-baru ini.
 
Permasalahan mereka yang dibangkitkan dalam karya tarik khalayak

KETOKOHAN Allahyarham WS Rendra sebagai penyair yang membela nasib manusia 
‘kecil’ dan serentak itu berlaku kritis terhadap dasar pemerintah Indonesia 
dibongkar pada Seminar WS Rendra: Mengenang Rendra dalam Hubungan Budaya Antara 
Malaysia dan Indonesia. 

 
Turut dibongkar, kelantangan WS Rendra dalam memperjuangkan nasib golongan 
terpinggir sehingga memberi kesan besar terhadap dunia politik Indonesia, 
sekali 
gus membuktikan lidah kepengarangan lebih tajam daripada mata pedang. 

 
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia 
(UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin berkata, puisi Nyanyian Angsa dan Bersatulah 
Pelacur-Pelacur Kota Jakarta berjaya memperlihatkan perjuangan Rendra untuk 
kelompok terbabit. 


“Dalam puisi Nyanyian Angsa, Rendra memperjuangkan nasib pelacur yang diusir, 
Maria Zaitun kerana mengidap sifilis, bukan saja gagal mendapatkan rawatan 
sempurna di klinik, tetapi turut dinasihati paderi di gereja yang menyuruh 
Maria 
berjumpa dengan pakar sakit jiwa,” katanya ketika melapah Rendra di 
Tengah-Tengah Manusia Kecil, Lantang Menyuarakan Penentangan. 


Seminar anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dengan kerjasama Kementerian 
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka 
Wilayah Utara itu berlangsung di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), 
Pulau Pinang baru-baru ini. 


WS Rendra turut sinis terhadap kepemimpinan Indonesia dalam Bersatulah 
Pelacur-Pelacur Kota Jakarta yang sinis melalui watak Sarinah dan Dasima, 
pelacur yang sering didampingi pemimpin, penguasa dan pemerintah yang gemar 
melontarkan janji manis terhadap masyarakat bawahan. 

Selain menonjolkan kerosakan moral sesetengah pembesar dan mendedahkan segala 
kepincangan yang berlaku terhadap masyarakat bawahan, WS Rendra turut dilihat 
mengambil posisi membela manusia kecil dengan menenangkan mereka melalui unsur 
nasihat yang diselitkan dalam puisi itu. 


“Karya WS Rendra tidak sekadar indah, malahan menggerakkan kesedaran masyarakat 
dengan rentetan transformasi perjuangan. Ketajaman mata penanya menyebabkan 
beliau pernah ditahan, dipenjarakan dan kadang kala penonton bangkit merusuh 
selepas mendengar deklamasinya. 


“Inilah buktinya bahawa karya sastera pernah memberi impak yang besar kepada 
negara dan masyarakat. Berbeza dengan kebanyakan karya penyair pada hari ini 
yang kurang menunjukkan taringnya, walhal sastera sudah terbukti sebagai alat 
penyampaian yang berkesan,” jelasnya. 


Sasterawan Indonesia, Putu Wijaya, pula menjelaskan WS Rendra yang mendapat 
jolokan Burung Merak itu sudah menjadi fenomena dan inspirasi penggiat seni di 
Indonesia kerana kebijaksanaannya melontarkan kritikan sosial yang mewakili 
suara rakyat. 


“WS Rendra menyebabkan penonton berasa diwakili pada zaman yang penuh dengan 
tekanan itu, meskipun kritikannya tidak baru dan sekadar mengulangi paparan 
dalam akhbar. Bagaimanapun, apa yang diucapkan adalah sesuatu yang ingin 
didengari, lalu karyanya mendapat perhatian. 


“Beliau tidak sekadar bijak menghasilkan puisi, bahkan menjadi inspirasi bagi 
penggiat seni teater Indonesia. Selepas kembali dari Amerika pada 1967, langkah 
teaternya memimpin kebangkitan teater moden di Indonesia yang sebelumnya kurang 
popular di kalangan mahasiswa,” katanya. 


Putu Wijaya melihat kebangkitan teater yang dipelopori WS Rendra ialah tidak 
membiarkan teater sebagai alat hiburan, tetapi alat menyalurkan inspirasi yang 
lebih agresif, vokal dan mencerminkan suara hati masyarakat mengenai isu 
kemanusiaan, politik dan budaya. 


“Ketika WS Rendra mementaskan Macbeth dengan memakai gaya ketoprak, kebudayaan 
Jawa mulai dibaca dari sisi berbeza. Dalam mengusung kearifan teknik adegan 
ketoprak, WS Rendra seperti mengajak masyarakat menyingkap sisi baru dalam 
budaya Jawa,” jelasnya. 


Penerima Anugerah Penulisan Sea Write 1989 , Dr Siti Zainon Ismail pula 
menyifatkan karya awal tokoh itu yang dihasilkan pada 1950-an, begitu rapat 
sekali dengan alam berlatar dan nilai sosiobudaya Jawa kerana beliau dibesarkan 
dalam persekitaran masyarakat Jawa. 


“Kehidupan penyair ini bertolak daripada pegangan awalnya sebagai orang Jawa 
yang berpegang kepada Kristian, sebelum memilih Islam selepas mengkajinya. 
Latar 
budaya dan semangat jiwa lewat kebesaran alam semesta menjadi landasan asas 
penyair ini menggerakkan batin mahupun mindanya. 


“Keprihatinan WS Rendra terhadap unsur alam dapat dilihat dalam Kumpulan 
Sajak-Sajak Sepatu dan Empat Kumpulan Sajak 1961. Nada awal puisinya akrab 
dengan unsur alam, kemudian menyatu dengan peristiwa diskriminasi terhadap 
pelacur sehingga terhasil Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta,” katanya 
ketika merincikan Semangat Alam, Kasih Ibunda dan Kemanusiaan. 

Kirim email ke