http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm
Pas Kelantan tidak lagi perjuangkan Islam? KOTA BHARU 23 Nov. - Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan Pas negeri tidak lagi memperjuangkan Islam seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini tetapi lebih sibuk membahagikan 'harta perang'. Ketuanya, Anuar Safian berkata, pemimpin parti terbabit pada masa kini menjadikan kuasa yang dimiliki mereka untuk mengumpul aset dan keuntungan sehingga mengabaikan rakyat. Beliau berkata, oleh kerana kegiatan itu tidak lagi dapat dibendung dan semakin merebak, kepimpinan Pas Kelantan dipercayai telah berpecah sehingga wujud sekurang-kurangnya tiga kumpulan. "Kesemua kumpulan ini sedang sibuk mengaut keuntungan dari kerajaan negeri ini sehingga melupakan dasar perjuangan mereka iaitu Islam. "Mereka telah lupa semua perjuangan sebelum ini kerana terlalu lama berkuasa dan disebabkan itu mereka mengagihkan hasil negeri ini seperti balak seperti membahagikan 'harta perang'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas kemelut dalaman Pas Kelantan bermula dari pendedahan masalah yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman. Pada masa yang sama juga, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan haji sebanyak RM65,000 daripada individu tertentu.