http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

11 Januari 2010 / 25 Muharam 1431

Rakyat perlu bijak tangani isu agama

KANGAR 10 Jan. - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu 
rakyat berbilang kaum lebih bijak menangani isu-isu sensitif terutama yang 
berkaitan dengan kesucian agama Islam.

Baginda bertitah sekiranya rakyat bertindak melulu dan mengikut nafsu, ia akan 
merosakkan keharmonian antara kaum yang menjadi resepi kepada keindahan gagasan 
1Malaysia yang menjadi slogan nasional.

Bertitah melancarkan projek "Beverage Vending Machine" untuk golongan miskin di 
Pauh dekat sini hari ini, baginda berharap keharmonian hidup masyarakat majmuk 
di negara ini tidak tercalar dengan isu-isu yang berkaitan dengan agama.

Rakyat negara ini perlu mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama sejajar 
dengan gagasan 1Malaysia yang begitu indah, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat 
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap rakyat tidak bertindak secara melulu 
sehingga merosakkan hubungan baik sesama rakyat selain merosakkan harta benda.

"Kerugian harta benda boleh diganti namun kerugian kepada hubungan baik rakyat 
berbilang agama akan lebih merosakkan keharmonian," titah baginda.

Raja Muda bertitah keindahan negara ini bukan sekadar kepada landskap alamnya 
tetapi sejak sekian lama ia dilihat daripada hubungan baik masyarakat berbilang 
kaum dan agama yang amat harmonis. 

Baginda turut menasihati ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka yang 
menuntut di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara supaya mengelak 
diri daripada terbabit dalam kegiatan yang merugikan masa depan mereka.

Bagi para pelajar di luar negara, baginda berharap mereka menghormati 
undang-undang negara berkenaan dan tidak menimbulkan kekacauan termasuk 
menyertai kegiatan demonstrasi.

Baginda turut berharap projek "Beverage Vending Machine" yang dilancarkan itu 
akan membantu golongan miskin di negeri ini meningkatkan taraf hidup mereka.

Melalui mesin itu, para pengendalinya akan dapat menjual minuman panas secara 
lebih mudah dan menguntungkan. - Bernama

Kirim email ke