http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm
Serangan berani mati di Quetta, 42 maut Serangan berani mati di Quetta, 42 maut QUETTA, Pakistan 3 Sept. - Sekurang-kurangnya 42 terbunuh dalam satu serangan bom nekad yang disasarkan ke atas perhimpunan puak Syiah di Quetta, di barat daya negara ini. Ia merupakan siri serangan terbaru dalam sengketa berhubung perbezaan fahaman. Polis berkata, pengebom adalah di kalangan 450 orang yang menyertai perhimpunan itu dan bertindak meletupkan dirinya apabila tiba di medan utama bandar raya ini. Keadaan itu mencetuskan suasana kelam kabut apabila ada yang terbakar dan yang lain bertempiaran menyelamatkan diri, sementara yang lain meniarap di atas tanah bagi mengelak terkena ledakan bom. "Sekurang-kurangnya 42 terbunuh," kata Ketua Polis Quetta, Ghulam Shabir kepada AFP, dan menambah kata bahawa sekurang-kurangnya 70 yang lain cedera. Seorang doktor di sebuah hospital utama di Quetta berkata, jumlah mereka yang cedera meningkat kepada 80 orang. Perhimpunan itu diadakan sempena memperingati hari Al-Quds, acara antarabangsa yang diadakan setiap tahun oleh masyarakat Syiah yang menentang kekuasaan Israel di Baitulmaqdis dan bagi menunjukkan sokongan kepada penduduk Palestin. - AFP