Menurut gambar ilmu langitan diperlihatkan wanita bersayap adalah yang
disebut malaekat alias bidadari. Tetapi ini bahasa malaysia.

https://www.suarakeadilan.my/post/sayap-wanita-dibubar-jika-pemimpin-faham-kesaksamaan-gender



Sayap wanita dibubar jika pemimpin faham kesaksamaan gender





*Oleh: Loh Ker Chean*



Kita memperjuangkan kesaksamaan gender dan bukan kesamaan gender. Oleh itu,
dalam kita membahaskan topik kesaksamaan gender, tumpuan sepatutnya kembali
kepada asas iaitu sifat semulajadi gender masing - masing. Kaum wanita dan
kaum lelaki mempunyai perbezaan dari segi biologi dan fizikal, keperluan
mereka juga berbeza.

Salah satu perbezaan yang nyata ialah hanya kaum wanita diberi anugerah
berpeluang untuk hamil dan melahirkan zuriat. Sifat penyayang dan keibuan
dalam kalangan kaum wanita adalah fitrah dan akan bertambah kuat apabila
bermulanya fasa kehamilan.

Jadi, adalah tidak hairanlah jika kaum wanita memilih untuk meninggalkan
medan kerjaya mereka bagi membesarkan anak walaupun mereka diberi pilihan,
kemudahan dan sebagainya.

Persoalannya ialah, patutkah pilihan sebegini dianggap sebagai suatu bentuk
kerugian ke atas wanita apabila mereka dengan rela hati memlilih menjadi
ibu sepenuh masa dan menangguhkan prospek dan pembangunan kerjaya? Atau, ia
merupakan suatu kerugian yang dialami oleh negara kerana kehilangan
bakat-bakat kaum wanita?

Saya kurang setuju. Kenapa? Sepertimana yang saya pernah tegaskan sebelum
ini bahawa keluarga merupakan unit asas bagi membina negara. Jika salah
seorang ibu atau bapa ingin menumpukan kepada pengasuhan dan pendidikan
anak-anak berbanding dengan kerjaya mereka pada masa tertentu, kita patut
menyambut baik dan menyokong hasrat ini.

Walaupun hasrat sebegini mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada
keburukan dalam memelihara kesejahteraan institusi kekeluargaan, tetapi
ianya dilihat sebagai salah satu faktor mengakibatkan penurunan kadar
penyertaan tenaga buruh.



*Peka kepada keperluan rumah tangga *

Menurut statistik status guna tenaga mengikut gender daripada Jabatan
Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga kaum wanita kelas “pekerja” ialah
77.7% pada tahun 2010 tetapi menurun ke 72.8% pada tahun 2017, kadar
sebanyak 4.9%. Manakala, kadar guna tenaga kaum wanita kelas “bekerja
sendiri” telah meningkat dengan mendadak sebanyak 5.5% daripada 12.3%
(2010) ke 17.8%(2017).

Dari situ, apa yang boleh kita dapati ialah trend kegiatan ekonomi oleh
kaum wanita semakin berkembang dalam sektor bekerja sendiri. Merujuk kepada
laporan Khazanah Research Institute (KRI) 2018, statistik DOSM menunjukkan
kadar kaum wanita memilih bekerja sendiri semakin meningkat.

Dengan perkembangan ini, kebebasan masa dan fleksibiliti di antara rumah
tangga dan pekerjaan merupakan unsur pertimbangan yang penting dalam
perancangan rumah tangga. Oleh itu, dasar kerajaan perlu lebih peka
terhadap keperluan ini untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh
sama ada kaum wanita atau kaum lelaki demi meningkatkan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) secara langsung.

Pendekatan baharu seperti konsep dan budaya kitaran guna tenaga boleh
disyorkan dalam pelbagai sektor pekerjaan. Contohnya mewujudkan lebih
jawatan kontrak dan kerja sambilan kontrak. Jawatan kontrak jangka masa
pendek setahun hingga tiga tahun mengizinkan majikan mengisi kekosongan
posisi pekerja yang memohon untuk mengambil cuti panjang.

Pada masa yang sama, dinamik budaya pekerjaan akan berubah menjadi lebih
mesra kepada perancangan rumah tangga muda atau ia juga memberi peluang
kepada graduan universiti untuk memperolehi pengalaman bekerja.

Sementara itu, kebajikan dan perlindungan mereka yang berkerja sendiri juga
perlu diberi lebih perhatian supaya mereka berasa lebih selamat dengan
pilihan mereka. Contohnya seperti melaksanakan kempen kesedaraan bagi
mendorong individu yang bekerja sendiri untuk mencarum dengan KWSP dan
PERKESO secara sukarela demi perlindungan keselamatan sosial sendiri dan
keluarga.

*Penuaan penduduk cabaran rumah tangga dan individu*

Dalam kita membincangkan pelbagai jenis sistem sokongan untuk individu dan
keluarga, kita tidak boleh mengabaikan aspek sokongan bagi menangani
penuaan individu dan warga emas. Hal ini masih belum dibicarakan secara
luas namun sangat penting bagi memastikan kesejahteraan individu dan
keluarga induk khususnya.



Tanggungjawab bersama antara ahli keluarga, selain daripada membesarkan
anak – anak adalah untuk menjaga ibu bapa yang semakin tua. Kerja penjagaan
tidak formal ini merupakan salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan
oleh sesebuah perancangan institusi rumah tangga dan ianya juga menyebabkan
kadar penyertaan tenaga kerja menurun.

Tambahan pula, berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2009),
Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk
berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Sistem sokongan baharu penjagaan kesejahteraan warga emas yang lestari
perlu diwujudkan. Sistem ini tidak harus hanya tertumpu kepada keluarga
yang memiliki ahli warga emas tetapi juga kepada warga emas yang tinggal
sendirian.



Secara keseluruhannya, adalah penting untuk kerajaan mempelbagaikan pilihan
sistem sokongan atau sistem kebajikan yang berasaskan kepada keperluan
rumah tangga dan membolehkan isi rumah tangga membuat pilihan “mix and
match” yang bersesuaian dengan keperluan mereka.



*Menjaga kesejahteraan setiap individu setiap peringkat*

Isu - isu yang melibatkan kaum wanita bukanlah tanggungjawab tunggal atau
“hak keistimewaan” dituanan oleh kaum wanita. Ia bukan sesuatu yang patut
diambil berat oleh pimpinan wanita sahaja atau diharapkan boleh
diselesaikan dalam lingkungan gender sendiri.



Pembebasan minda perlu berlaku dalam kalangan politikus tanpa mengira
gender, terutamanya dalam proses mengendali punca kepada masalah dan
membuat dasar – dasar penyelesaian.



Isu wanita merupakan isu rumah tangga, isu masyarakat sosial dan isu
negara. Pendekatan kesejahteraan individu, rumah tangga, masyarakat adalah
asas kepada semua perjuangan kemanusiaan termasuklah hak asasi wanita.

Dasar kerajaan harus dilakar untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan
setiap individu pada setiap peringkat kehidupannya, ia bermula dengan
kelahiran, kanak – kanak, anak muda, dewasa, hari tua, meninggal dunia
sehingga dikuburkan.

Jikalau pimpinan pusat tanpa mengira gender dalam wadah politik sudi
mengambil pendekatan sebegini yang bersifat empati untuk mereformasi
institusi dan membentuk norma baharu demi kelestarian kesejahteraan rakyat
yang termasuk kaum wanita, maka sayap wanita boleh dibubarkan jika tahap
fahaman ini telah berjaya dicapai secara holistik

Kirim email ke