BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika
sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan
Nusari, dekat sini, semalam.
Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa
pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu
menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan
berkeadaan sunyi.
Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata,
pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan
perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.
"Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal
dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka
langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.
"Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui
apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki
dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu
tandas wanita," katanya.
Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua
remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan
mencurigakan.
"Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan
yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar
kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak
lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.
"Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku
tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya yang
menjelaskan, ibu remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45
minit kemudian selepas dihubungi anaknya.
Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian,
memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi
bersiar-siar.
Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat
yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul
Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.
"Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti," demikian herdik
lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang
kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.
Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan
kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra),
Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu
selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.
"Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari
Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak
mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang," katanya.-SH
--
Posted By apa tu to Says Blog on 6/14/2014 06:13:00 pm
--
GudangMedia || MEDIA - Bertukar Informasi ||
-
Site Milis:
http://groups.google.com/group/gudangmedia
Blog:
http://gudangmedia.blogspot.com
Facebook Page:
http://www.facebook.com/MilisGM
Twitter:
http://twitter.com/MilisGM
Donasi:
http://pendek.in/0xn7
-
---
Anda menerima pesan ini karena Anda berlangganan grup "GudangMedia" dari Google Grup.
Untuk berhenti berlangganan dan berhenti menerima email dari grup ini, kirim
email ke [email protected].
Untuk opsi lainnya, kunjungi https://groups.google.com/d/optout.