Semua Agensi Kerajaan Akan Laksana Perisian Sumber Terbuka

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan 
Pengurusan Malaysia (Mampu) menjangka semua agensi kerajaan akan melaksanakan 
perisian sumber terbuka (OSS) menjelang akhir tahun depan.

Sehingga kini sebanyak 462 agensi daripada 720 agensi telah melaksanakan OSS, 
yang berjaya memberikan penjimatan lebih RM47 juta, kata timbalan pengarah 
bahagian perancangan dan dasar ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) Mampu, 
Tan King Ing.

"Kami telah memanfaatkan model pembangunan OSS untuk pembangunan pantas produk 
pada kos yang lebih rendah dengan menggunakan penyelesaian sedia ada," kata 
beliau pada taklimat media di sini Khamis.

Lapan produk OSS telah dibangunkan untuk kegunaan semua agensi sektor awam, 
katanya kepada pemberita.

Untuk terus menyumbang kepada industri, Mampu dan Perbadanan Pembangunan 
Multimedia (MDeC) akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Sumber Terbuka 
Malaysia MSC 2009 mulai 31 Mei hingg 3 Jun ini.

Persidangan yang disasarkan kepada eksekutif perniagaan, pembangun teknologi 
dan komuniti sumber terbuka, dijangka menarik kira-kira 1,000 peserta tempatan 
dan luar negara, kata naib presiden MDeC Saifol Shamlan.

Bertemakan "Open to Change", persidangan itu bertujuan untuk menyediakan 
pendedahan dan pengetahuan mengenai kepentingan sumber terbuka dalam 
meningkatkan daya saing dengan kos pemilikan yang lebih rendah, kata Saifol.

"Persidangan ini akan menyediakan platform untuk para peserta berinteraksi 
secara aktif, berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mereka serta perkakasan 
mengenai trend serta isu terkini," katanya.

Antara penceramahnya ialah wakil dari Mozilla, Google, Microsoft, Linux, Red 
Hat, Sun Microsystems, Extol, Ubuntu-my, Krimmet, Hack In The Box dan 
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Saifol berkata industri OSS menunjukkan trend positif dan kekal bingkas 
walaupun dalam krisis ekonomi global.

"Kami mahu industri berdaya maju dan berkembang," katanya, sambil menambah 
bahawa kira-kira empat peratus daripada syarikat Malaysia berstatus MSC kini 
dalam perniagaan OSS.

-- BERNAMA

MSC Malaysia Open Source Conference 2009
http://www.mscmalaysia.my/osconf

Daripada Bernama
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=406252

Archive
http://cikgucyber.blogspot.com/2009/04/semua-agensi-kerajaan-akan-laksana.html

Kirim email ke