www.abim.org.my

Laporan: Malaysia Lebih Memerlukan Pendekatan Beradab Menangani Hubungan Antara Agama  


ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) mengalu-alukan ketegasan pemerintah untuk menangguhkan penubuhan Inter-Faith Commission of Malaysia (ICM). Dengan ini juga, ABIM mendesak agar pemerintah tidak cuma menangguhkan penubuhan ICM, bahkan menolak terus cadangan tersebut dari dipertimbangkan di mana-mana peringkat sama ada di peringkat Parlimen mahupun di peringkat Kerajaan.

Sehubungan ini, ABIM juga mengharapkan agar pemerintah tidak tunduk dengan desakan, cadangan dan anjuran beberapa pihak yang tidakpun mewakili sebahagian besar masyarakat Malaysia yang berjumlah 25 juta orang, untuk meneruskan penubuhan ICM. Tuntutan penolakan kepada ICM yang terdiri dari berbagai NGO dan masyarakat Islam tempoh hari menunjukkan keprihatinan mereka tentang usaha-usaha yang hendak dilakukan oleh segelintir kelompok ke arah konflik yang berpanjangan.


ABIM juga menyeru masyarakat beragama di Malaysia agar menyuarakan bantahan secara lebih lantang kerana apa yang dicadangkan oleh segelintir pendokong ICM itu menyentuh isu asas mengenai kewujudan negara ini. Mereka ini perlu diperingatkan dengan sejumlah butiran terperinci mengenai Kontrak Sosial yang telah disepakati oleh kesemua masyarakat utama di negara ini sebagai asas mencapai kemerdekaan pada 1957. Kontrak sosial ini ternyata memberi formula yang baik bagi menjamin keharmonian sesebuah negara. Kalaupun ada kekurangannya bukanlah dengan cara merungkai seluruh ikatan perpaduan yang telah dikecapi.

Yang amat menyedihkan, ABIM difahamkan bahawa persidangan untuk menubuhkan ICM tersebut turut menjadi medan mengkritik dan meremehkan agama dan masyarakat Islam di Malaysia. Sikap yang diambil oleh persidangan ini amatlah tidak wajar. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia harus diperingatkan bahawa kebebasan tanpa batas, termasuk untuk menghina dan menghasut sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi yang menyentuh hak-hak yang sedia ada, akan hanya mengundang tindakbalas yang tidak kurang bezanya. Di dalam persidangan tersebut juga, difahamkan bahawa beberapa peruntukan yang jelas dan khusus di dalam Perlembagaan telah dinafikan secara terang-terang. Ini sekaligus memperlihatkan sikap ketidaktelusan (not transparent) dan ketidakjujuran (dishonesty) para pendokong ICM ini. Mengapakah Islam dijadikan fokus dalam tuntutan penubuhan ini ?

Dengan ini ABIM mengajak semua pihak agar tidak mengambil kesempatan kepada kelunakan sikap pemerintah untuk menjuarai kehidupan a la Barat yang sarat dengan ethos, sistem nilai, pandangan hidup (worldview) yang tidak langsung mengakar kepada budaya teras masyarakat Malaysia. Sistem nilai a la Barat yang begitu fanatik dengan kebebasan mutlak tanpa batas moral ini, telah terbukti meruntuhkan sistem nilai, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat di negara-negara mereka masing-masing.

Tidak perlulah segelintir masyarakat kita merasa terlalu hina dan rendah diri, sekiranya masyarakat Malaysia memilih untuk tidak mengikuti pengalaman kebebasan a la Barat ini. Tidak perlulah kita mengikuti denai-denai yang telah dirintis Barat hanya sekadar untuk menonjolkan bahawa kita sedang mengikuti kemajuan dan peredaran zaman, sedangkan kita mempunyai cara-kaedah kita sendiri untuk membina masyarakat Malaysia yang beradab. Malah mereka juga telah membuktikan tindakan-tindakan seperti diskriminasi kepada minoriti umat Islam di negara mereka. Sepatutnya di negara merekalah wajar dicadangkan penubuhan Interfaith Commission ini.

ABIM juga merasakan bahawa cadangan penubuhan ICM ini akan menyebabkan jurang hubungan antara pelbagai kaum, bangsa dan agama akan bertambah melebar dan keharmonian negara akan terjejas. Sedangkan negara mempunyai banyak isu-isu lain untuk ditangani bagi mengukuhkan asas moral masyarakat beragama. Apa yang diperlukan ialah meningkatkan jalinan hubungan di antara penganut pelbagai agama untuk menghayati, memahami dan menghormati perbezaan masing-masing. Oleh itu, dialog diantara pemimpin agama wajar di Jadikan agenda bagi membolehkan persefahaman dan perpaduan dapat dijalinkan seutuhnya.

Kenyataan beberapa pihak bahawa kesemua agama juga perlu disamaratakan hanya kerana ingin menonjolkan keterbukaan sikap masyarakat Malaysia adalah sikap yang tidak bertanggungjawab kerana umumnya, kita telah sedia maklum bahawa setiap penganut agama telah memilih sesuatu agama di atas kepercayaan, kerelaan, kehendak dan ilmu masing-masing. Tidak timbul keperluan untuk menyamaratakan mana-mana agama. Dan menghormati dan toleransi diantara agama-agama ini adalah suatu budaya yang jelas dalam kehidupan bermasyarakat dalam negara ini.

Untuk isu-isu tertentu khususnya isu yang bersangkutan dengan sentimen dan rasional keagamaan seperti isu murtad, ABIM merasakan bahawa penganut Islam, sama ada di peringkat rakyat jelata, pemimpin atau menteri, harus membuat keputusan untuk berbeza pendirian (draw the line). Bersikap terbuka tidak membawa makna bahawa mana-mana manusia yang tidak berkepentingan dibolehkan dan dihalalkan mencerobohi dan merubah ajaran-ajaran asasi mana-mana agama! Tindakan campur tangan sebegini wajib ditolak, bukan sahaja oleh pemerintah, malah oleh sekalian rakyat jelata, khususnya masyarakat beragama di Malaysia.

Yang menjadi isu di sini ialah masyarakat Malaysia yang telah lama menerima persepakatan untuk menjadi warganegara Malaysia, juga telah menerima hakikat bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia manakala agama-agama lain bebas dipraktikkan di dalam batas sempadan negara ini. Mana-mana usaha untuk meremeh dan menafikan fakta dan hakikat sejarah ini pastinya mengundang kontroversi dan bantahan. ABIM merasakan adalah tidak bijak untuk kita merungkaikan kesemua atau sebahagian dari mana-mana butiran Kontrak Sosial yang telah disepakati ini yang telah hampir 50 tahun membina masyarakat Malaysia.


Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Kuala Lumpur, MALAYSIA

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
click here


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke