Ulama Islam Hadhari diketepikan dalam Umno

Ulama Islam Hadhari diketepikan dalam Umno 

Oleh DATO' DR HARON DIN

Ketua Penerangan PAS Pusat

SEBELUM daripada Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam, ulama-ulama dalam Umno telah mendapat tempat yang sesuai dengan keilmuan mereka dengan dipilih menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan khususnya berjaya menduduki kerusi Majlis Tetinggi Umno.

Apabila Malaysia diisytiharkan sebagai Negara Islam tanpa melakukan sebarang perubahan diikuti pula dengan perisytiharan susulan bahawa Malaysia melaksanakan Islam Hadhari.

Sejak perisytiharan itu, Umno tidak pernah mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tidak seperti yang berlaku sebelumnya, sehinggalah kepada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Mengikuti dari awal hingga ke akhir perhimpunan tersebut rata-rata masyarakat Malaysia beranggapan bahawa dengan kempen besar-besaran Islam Hadhari 'ala Malaysia' dan diperkukuhkan dengan ucapan Pemangku Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperuntukkan masa yang agak panjang menghuraikan Islam Hadhari kepada sidang perwakilan Umno.

Islam Hadhari yang dihuraikan oleh Abdullah yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen menggarapkan suatu konsep yang sehingga hari ini pun masih kabur kepada kebanyakan orang.

Apakah sebenarnya Islam Hadhari yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan?

Apakah kerangkanya sahaja yang diutamakan tanpa memikirkan pengisian isi terpenting daripada pengisian Islam itu dalam negara atau hendak dilaksanakan kedua-duanya sekali.

Apakah mafhum dan substancenya, apakah bentuk kasar dan pengisiannya?

Walauapapun berlaku kerajaan pimpinan Umno/ Barisan Nasional (BN) seperti berhasrat besar untuk melaksanakan Islam Hadhari kepada masyarakat Malaysia.

Dari kempen-kempen yang begitu meluas, saya meletakkan harapan yang amat tinggi kepada perwakilan Umno yang menghadiri perhimpunan ini bagi mengisi tempat-tempat penting dalam pucuk pimpinan Umno dengan ulama berwibawa yang sedia ada dalam parti mereka.

Sebelum diisytiharkan Malaysia sebuah Negara Islam, ulama-ulama Umno mendapat tempat yang istimewa, malah teringat kepada seorang sahabat saya yang sama-sama menuntut ilmu di Timur Tengah suatu ketika dahulu.

Sekembalinya kami ke tanah air, saya memilih untuk melibatkan diri dalam PAS, manakala sahabat saya itu memilih Umno sebagai wadah perjuangan.

Seterusnya sahabat saya telah terpilih untuk menganggotai kepimpinan Umno dan berjaya mendapat undi yang paling tinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno ketika itu.

Selepas itu beliau dan beberapa rakan seangkatan saya yang memasuki Umno, mereka telah diberi layanan yang baik dan dipilih oleh perwakilan untuk menduduki kerusi MT Umno.

Apabila Islam Hadhari diisytiharkan dan dicanang ke sana ke mari perlaksanannya, tentulah perwakilan Umno pada pandangan saya, akan memilih ulama sebagai salah seorang daripada lima orang pemimpin utama dalam Umno.

Samada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden, sepatutnya sekurang-kurangnya satu tempat daripada 'top five' ini diberikan kepada ulama, untuk memantau dan memandu perlaksanaan Islam Hadhari.

Saya beranggapan dengan perlantikan ulama yang berwibawa itu akan sekaligus menyatakan kesungguhan Umno dalam menaja Islam Hadhari.

Saya tidaklah sampai kepada peringkat Umno akan memilih ulama menjadi Presiden atau Timbalannya, tetapi amat wajar ulama dipilih menganggotai salah seorang Naib Persiden.

Sangkaan saya meleset sama sekali, apabila tidak ada seorangpun daripada ulama yang banyak melepasi kouta untuk layak bertanding Naib Presiden.

Mungkin orang-orang Umno ada alasan yang munasabah untuk tidak menyerahkan salah satu daripada lima kerusi tertinggi ini kepada ulama walaupun dalam keadaan Islam Hadhari sedang begitu hebat diperkatakan untuk perlaksanaannya.

Namun demikian, apakah tidak sampai masanya bagi sebuah negara yang cuba hendak melaksanakan suatu perkara baru, sekurang-kurangnya namanya baru iaitu Islam Hadhari yang tidak dipakai oleh mana-mana orang sebelum ini.

Apabila Malaysia menggunapakai Islam Hadhari sudah tentulah secara spontannya ia diihamkan oleh ulama-ulama dalam Umno. Dengan lain bahasa arkitek bagi pembinaan Islam Hadhari ini ialah ulama-ulama dalam Umno.

Jika salah seorangpun daripada ulama yang ada difikirkan duduk dalam barisan kepimpinan teratas, sudah tentulah orang berfikir mereka akan menang besar untuk menduduki barisan MT Umno.

Kebetulan pula nama-nama ulama ini telah melepasi keperluan untuk bertanding MT Umno.

Melihat nama mereka terpampang didada akhbar sebagai calon-calon MT, saya begitu yakin mereka akan menang .

Sekali lagi anggapan tersebut begitu meleset kerana tidak seorangpun daripada mereka dipilih untuk menganggotai MT.

Ini bererti bahawa 30 orang pemimpin tertinggi Umno dari Presiden sehingga MT, tiada seorangpun ulama-ulama berjaya mendudukinya kerana mereka ditolak oleh perwakilan Umno dalam perhimpunan kali ini.

Ulama-ulama dalam Umno terdiri daripada bekas-bekas Menteri dan ahli-ahli yang telah menyumbang kepada keutuhan Umno termasuk dengan anggota-anggota baru yang diberi kepercayaan jawatan Menteri dan Setiausaha Parlimen.

Antara mereka ada yang telah lama berkecimpung dalam Umno ada kerajaan dan diberi jawatan penting sering menulis mempertahankan Umno dan meremehkan perjuangan-perjuangan yang lain, semua mereka telah disapu bersih oleh perwakilan Umno.

Bagaimana ini boleh berlaku? Sedang sebelum Malaysia diisytihar Negara Islam, sebelum adanya Islam Hadhari, malah ketika Malaysia dikenali sebagai sebuah negara sekular seperti Turki dan negara lain, ulama dalam Umno, mendapat tempat yang begitu ketara.

Mereka bukan sahaja diberi tempat, malah dipercayai, dihormati dan disanjung dan diletakkan di tempat yang wajar.

Apakah selepas Islam Hadhari dilaksanakan dan seluruh masyarakat menunggu-nunggu implementasi sebenar yang memerlukan kepada bimbingan ulama, tiba-tiba di waktu itulah mereka disisihkan oleh Perhimpunan Agung Umno.

Ulama diketepikan begitu sahaja tanpa mendapat tempat yang sewajarnya mereka diduduki.

Apakah maknanya Islam Hadhari tanpa ada ulama berwibawa untuk menanganinya, apakah dalam Umno sekarang tidak ada seorang ulamapun berwibawa.

Meminjam kata-kata Presiden Umno yang menggesa perwakilan memilih pemimpin-pemimpin mereka di kalangan mereka yang bersih dan berwibawa.

Apakah ulama-ulama yang sedia ada dalam Umno sekarang ini, yang dikenali dan nama mereka meniti di bibir mulut seluruh masyarakat, apakah mereka ini tidak bersih dan tidak berwibawa?

Jika mereka tidak bersih dan berwibawa, maka amat malanglah ulama-ulama ini.

Seandainya mereka bersih dan berwibawa tetapi tidak terpilih, maka lagilah malang, malang kepada mereka dan malang kepada Islam Hadhari yang kehilangan dan ketiadaan tonggak.

Rata-rata masyarakat melihat bahawa Islam Hadhari lebih indah khabar dari rupanya. Ia tidak bermaksud untuk melaksanakan Islam yang syumul seperti yang dirancang oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk dilaksanakan.

Ia lebih dilihat sekadar ianya, suatu kosmetik untuk menggambarkan Islam yang dilaksanakan ini, membawa kepada tamaddun dan kecemerlangan status kehidupan yang lebih baik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan nilai kemajuan yang diukur oleh kaca mata Barat bukan daripada kaca mata Islam itu sendiri.

Islam Hadhari hingga sekarang ini tidak menampakkan suatu perubahan yang radikal, yang boleh dikatakan sebagai suatu peralihan yang nyata, dari sebelum Islam kepada selepas Islam dan dari Malaysia yang bukan negara Islam Hadhari kepada selepasnya.

Islam menuntut supaya umatnya, khasnya kerajaan yang melaksanakan Islam agar merubah hala tuju daripada semata-mata untuk kemajuan duniawi kepada kemajuan duniawi dan ukhrawi.

Islam menuntut perubahan kepada negara yang tidak mentauhidkan Allah SWT kepada menanam dan menyuburkan jiwa tauhid itu ke dalam pemerintahan sehingga dengannya lenyap segala kesyirikan kepada Allah SWT.

Sekaligus dengan itu juga dimartabatkan syariat Allah SWT dan menjadikan Islam sebagai pedoman hidup daripada yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya.

Islam yang sebenar ialah Islam yang mengajar umatnya kepada penyerahan diri kepada Allah SWT dalam semua keadaan, Islam yang memberikan kepada manusia keyakinan kepada Allah SWT, dengan ulama-ulama atau ilmuan Islam berperanan untuk menserasikan negara dan manusia dengan Islam bukannya menserasikan Islam dengan negara dan manusia.

Dalam erti kata lain, Islam yang sebenar ialah Islam yang memerintah dan bukan Islam yang diperintah.

Jika seluruh perwakilan Umno menyedari betapa perlunya ilmuan Islam berada dalam Umno memberi sumbangan yang berkesan kepada Islam Hadhari kerana mereka benar-benar hendak melaksanakannya, tentulah lebih ramai ulama akan diberi tempat, disanjung dan diberi peranan yang lebih kukuh.

Mungkin kerana mereka tidak faham atau tidak mahu melaksanakan Islam yang sebenar, maka ulama-ulama tidak perlu wujud dalam kepimpinan Umno dan sebab itu mereka diketepikan.

Mungkin juga selepas ini, pucuk pimpinan Umno, khasnya Presiden akan melantik seorang dua ulama, samada yang kalah atau yang langsung tidak layak bertanding sebagai ahli yang dilantik dalam MT.

Jika ini berlaku, ia bermakna, betapa hinanya ulama-ulama ini, iaitu mereka yang sepatutnya disanjung, tetapi tersungkur tewas, akhirnya diheret juga untuk menganggotai MT.

Jika ini berlaku, alangkah hibanya hati orang yang melihat kepada keadaan yang begitu pincang dalam Umno. Semoga rakyat semua mengambil perhatian dan iktibar!

 

http://parti-pas.org/modules.php?name=News&file=article&sid=415



--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT
click here


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke