Selamatkanlah Malaysia Yang Kucintai

Saya tertarik dengan isu pemberian jarum suntikan dan kondom percuma
kepada penagih dadah yang menggunakan jarum suntukan (IDU). Saya juga 
ingin merujuk Tulisan saudara Roslan SMS yang bertajuk "Jarum dan 
Kondom percuma bakal menjadi realiti".

Di dalam suasana kegawatan kepimpinan negara Malaysia yang semakin
bercelaru dan seolah tiada pedoman dan panduan, kini kita dikejutkan 
pula dengan cadangan daripada Menteri Kesihatan untuk membekalkan 
jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah jenis IDU. 
Isu ini secara langsung menutup isu-isu yang sebelumnya, antara 
lain seperti cadangan Pemberian AP (kereta import) kepada 
pemimpin UMNO, pemansuhan etika dan salahlaku sosial Jabatan 
Agama Islam, Konsep Islam Hadhari vs Hadharah Islam, isu kenaikan 
harga petrol, konsert tsunami, sureheboh, Akademi Fantasia dan 
lain-lainnya. Benarlah seperti ucapan mantan Perdana Menteri, 
Tun Dr.Mahathir, "Melayu Mudah Lupa.." 

Kita masih lagi belum selesai membincangkan dan membuat penyelesaian 
atau tindakan keatas dengan cadangan pemansuhan kod etika salah laku 
sosial oleh pihak berkuasa tempatan seperti jabatan agama Islam dan 
lain-lainnya, dan kini isu yang baru ini terus menenggelamkan isu 
yang lama dan kita turut sama melupakannya. 

Pemimpin negara mengundang masalah sosial dengan membenarkan atau 
menganjurkan hiburan tanpa batasan di tempat terbuka dan kaca 
television, umpamanya, Konsert Tsunami Force of Nature, Akademi 
Fantasia, SureHeboh, Malaysian Idol, membenarkan disko dan kelab 
malam beroperasi tanpa peraturan yang ketat, nyanyian dan konsert 
tempatan yang lain. Muda mudi berduyun-duyun memenuhi kehendak 
naluri hiburan mereka berdua-duaan dan tidak mustahil lebih 20 
peratus daripada mereka yang hadir pada program yang seumpama 
melakukan zina atau hubungan kelamin luar nikah selepas selesai 
program tersebut berlangsung. 

Dan mungkin sebahagiannya pula terpengaruh dengan kawan-kawan 
yang baru dikenali pada program tersebut mula mengenali dadah, 
ganja dan sebagainya. Kita persilakan pihak berkuasa yang berkenaan 
membuat bancian keatas pengunjung program diatas untuk mengetahui 
akan kebenarannya.

Natijahnya, berlakulah gejala sosial seperti zina, minum arak, 
penagihan dadah dan sebagainya. Sebahagian mereka ditangkap dan 
dimasukkan ke dalam pusat Serenti (kes dadah), pusat pemulihan 
akhlak dan sebagainya. Bilamana orang yang ditangkap mempunyai
hubungan dengan orang yang berkedudukan tinggi, maka dipersalahkan 
pula pegawai yang menguatkuasakan akta. Sayugia dicadangkanlah
pula supaya pegawai tersebut melaksanakan tugas dengan 'berhemah'. 
Bilamana pegawai berkenaan mula melakukan tugas dengan 'berhemah' 
maka dicadangkanlah pula supaya peraturan dan etika sosial ini 
dimansuhkan kerana bersalahan dengan hak asasi manusia. 
Bagi mereka hak asasi manusia melampaui hak, ketetapan dan 
peratuan yang ditetapkan oleh Allah.

Bilamana penjara, Pusat Serenti dan pusat pemulihan mulai penuh, 
maka penyelesaian mulalah dicari. Sayugia dicadangkanlah tanpa 
mahu menerima sebarang bangkangan atau maklumbalas untuk 
menyediakan dan jarum suntikan dan kondom secara percuma. 

Maka bergelak gembiralah agaknya para penagih, bakal penagih 
termasuklah pembekal jarum suntikan dan kondom. Banyaklah nanti 
agaknya kondom-kondom bersepahan di stadium atau padang selepas 
konsert berakhir lewat malam, walhal dalam keadaan sekarang pun 
pihak DBKL mengeluh terpaksa mengutip alat tersebut yang telah 
digunakan di Dataran Merdeka. Bermaharajalela agaknya nanti pengedar
dadah mengaut keuntungan setelah diberi 'lesen' kepada penagih 
yang mungkin tidak lagi menagih secara tersembunyi.

Daripada apa yang dinukilkan diatas, suka saya membuat perumpamaan 
akan kisah seorang pencuri yang cuba masuk mencuri ke sebuah rumah. 
Pintu rumah sengaja tidak dikunci oleh tuan rumah. Pencuri berjaya 
masuk dan mencuri pada malam pertama. Maka malam keduanya pencuri 
mengajak kawannya mencuri dilihatnya pintu rumah sengaja tidak 
dikunci malah jendela sengaja dibuka luas. Bila pencuri masuk 
ke dalam rumah, maka tuan rumah menangkap kedua-dua pencuri
lalu mengikat tangan mereka. Bilamana pihak berkuasa sampai, 
dimarahinya pula tuan rumah kerana mengikat pencuri. Pencuri 
dilepaskan kerana tuan rumah tidak menangkap dengan cara 'berhemah'. 

Pada malam ketiga pencuri datang lagi dengan membawa lebih 
ramai kawannya dan berjaya mencuri walaupun dimarahi oleh 
tuan rumah. Laporan dibuat lalu pihak berkuasa mengambil 
keputusan dan membenarkan.. "sepatutnya pencuri deibenarkan
mencuri dan DIBEKALKAN SENJATA SEMASA MENCURI". 

Kesimpulan dari apa yang tersurat diatas,

Pertama, sebahagian besar isu yang ditimbulkan adalah tidak 
dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing. 
Umpamanya masalah penagih dadah sepatutnya dirujuk kepada pakar 
dalam bidang penyalahgunaan dadah, pencegahan dan cara mengubatinya. 
Dan sudah tentu asas yang digunapakai oleh pihak berkuasa 
dan pengamal perubatan ialah pencegahan lebih baik daripada 
mengubatinya. Dan pemberian jarum suntikan percuma bukanlah 
salah satu cara untuk mengubat penyalahgunaan dadah.

Keduanya: Hampir kesemua isu yang ditimbulkan bertujuan untuk 
menenggelamkan isu yang dihebohkan sebelumnya. Sebagai warganegara 
Malaysia janganlah kita menjadi "Melayu yang mudah lupa" 
sebaliknya menjadikan isu tersebut sebagai ukuran tahap 
kepemimpinan negara kita kini dan asas untuk menolak mereka pada masa 
akan datang. Maka apakah pula agaknya isu seterusnya selepas ini....

Demikianlah sebahagian daripada pendapat peribadi saya dan sebagai
seorang warganegara Malaysia saya mempunyai hak asasi saya untuk
mengemukakan pandangan di dalam sebuah negara Malaysia yang 
mengamalkan demokrasi dan bukannya melanggar hak asasi yang 
ditetapkan Ilahi. Wallahu'alam.

Rosham






--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Reply via email to