Matematik & Sains: Pengakuan Hishamuddin gusarkan ibu bapa
Friday, July 01 @ 15:32:42 MYT


Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Pengakuan Menteri Pelajaran, Dato' Hishamuddin Tun Hussein berhubung pencapaian yang kurang memuaskan bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di luar bandar menggusarkan ibu bapa hari ini.

Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) berpendirian, kerajaan perlu mengkaji semula dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains yang dilihat memberi kesan negatif kepada pelajar.

Menurut Pengerusi Impak, Haji Mahfuz Omar, kerajaan diseru supaya tidak lagi memperjudikan nasib rakyat dengan pelaksanaan yang akhirnya menemui kegagalan dan jalan buntu.

"Hakikat ini diakui oleh Menteri Pelajaran dalam laporan akhbar hari ini.Pengakuan ini memberi kesan kepada ibu bapa yang rata-ratanya bimbang dengan senario itu,"katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Hishamuddin dalam akhbar hari ini.

Menurut Mahfuz, sewaktu dasar tersebut mahu dilaksanakan ramai di kalangan tokoh akademik, pakar bahasa dan ahli politik mengkritik dasar yang dilihat akan mengorbankan rakyat.

Bagaimanapun ketika itu pengkritik dianggap sebagai penderhaka kepada kerajaan berikutan kelantangan mereka mengkritik dasar yang merugikan bangsa Melayu dan masyarakat di negara ini.

Pengakuan Hishamuddin itu perlu diambil perhatian kerajaan kerana kegagalan itu memberi kesan kepada masa depan pelajar seperti yang pernah diketengahkan pengkritik.

Justeru kerajaan hari ini perlu meminta maaf kepada pengkritik kerana tuduhan melampau yang dilemparkan ke atas mereka, katanya.

"Hari ini ternyata bukan pakar bahasa, tokoh akademik dan ahli politik pembangkang yang penderhaka tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri penderhaka rakyat,"tegasnya.

Selain itu Mahfuz turut prihatin terhadap isu kekurangan guru bahasa Inggeris seperti yang dilapor akhbar baru-baru ini.

Katanya, kekurangan guru subjek tersebut menjejaskan pengajaran bahasa Inggeris.

Bagaimanapun isu itu tidak dilihat serius oleh kerajaan tetapi kerajaan bertindak mengubah dasar pengajaran Matematik dan Sains kepada bahasa Inggeris.

"Jika guru bahasa Inggeris pun tak cukup, bagaimana nak mantapkan penggunaan bahasa Inggeris,"tegasnya.

Sehubungan itu beliau menyifatkan bahawa sudah sampai masanya KPM sendiri mengkaji semula dasar yang sedang dilaksana hari ini dan kembali kepada dasar pengajaran dalam bahasa Melayu demi menjamin kecemerlangan pelajar.

Hishammuddin dalam laporan akhbar hari ini berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan mengkaji semula dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris walaupun pencapaiannya membimbangkan terutama di sekolah luar bandar.

Katanya, keputusan peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu bagi sekolah menengah di luar bandar mencatatkan kurang 50 peratus sejak dasar itu diperkenalkan pada 2003.

Malahan beliau tidak menolak kemungkinan keadaan itu berpunca daripada kesukaran pelajar menyesuaikan diri bagi mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris.

``Apa pun, kita masih lagi di peringkat awal pelaksanaan kita hanya berada pada tahun tiga di sekolah rendah dan tingkatan tiga di sekolah menengah dan saya rasa terlalu awal memikir semula dasar ini,'' katanya.

Katanya, kemahiran guru yang terlibat dalam pelaksanaan dasar tersebut pula tidak mencapai tahap yang dikehendaki selain masalah asas lain seperti bekalan elektrik di luar bandar.

Jelas Hishammuddin, pencapaian kelulusan mata pelajaran Sains bagi tingkatan satu di sekolah luar bandar mencatatkan 41.1 peratus manakala tingkatan dua 43 peratus.

Bagi mata pelajaran Matematik pula, pencapaian pelajar tingkatan satu sekolah luar bandar ialah 42.1 peratus manakala tingkatan dua 46.3 peratus.

Katanya, berdasarkan pemantauan kementerian, walaupun tahap kefahaman pelajar sekolah terbabit meningkat, namun peratusan kelulusan masih rendah.

Di sekolah rendah kelulusan bagi mata pelajaran sains untuk tahun satu di bandar adalah 78.3 peratus dan matematik 63 peratus manakala sekolah luar bandar masing-masing 69.1 peratus dan 55.8 peratus. - mks.


How much free photo storage do you get? Store your holiday snaps for FREE with Yahoo! Photos. Get Yahoo! Photos


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Reply via email to