Qanun Jinayah Syar`iyah

Bahagian 1

Bab 3

Fasal 3: Yang mewajibkan qisas.

 

Perkara 115 : Menyempurnakan pelaksanaan hukuman qisas.

5) Kesemua ahli waris orang yang dibunuh itu mestilah bersetuju supaya hukuman qisas yang telah dijatuhkan ke atas si pembunuh itu dilaksanakan. Dan tidak boleh sebahagian daripada ahli waris yang dibunuh tadi berkecuali dari persetujuan itu.

 

[ Ini adalah sambungan dari perbincangan kita yang lalu. Hal tentang ceraian ke5 ini telah pun kita bincang pada perbahasan yang lalu. Contoh, sekiranya si mati meninggalkan 3 orang waris, maka kesemuanya ketiga-tiga waris kena setuju hukuman dijatuhkan, baru kerajaan boleh menjatuhkan hukuman. Kalau salah seorang dari mereka tak mahu qisas dijalankan, maka qisas tidak boleh dilaksanakan ke atas si pembunuh. Inilah syarat yang ditetapkan, yang menunjukkan bahwa kuasa perlaksanaan hukuman qisas itu diberikan kepada waris mangsa yang dibunuh. ]  

 

6) Andainya didapati sebahagian daripada ahli waris orang yang dibunuh itu tidak diketahui di mana ia berada (ghaib), atau ia masih kanak-kanak lagi, atau ia gila, maka hukuman qisas itu wajib ditangguhkan, menunggu ahli waris yang ghaib tadi sehingga ia pulang, dan menunggu ahli waris yang masih kanak-kanak sehingga ia baligh, dan menunggu ahli waris yang gila sehingga ia siuman.

 

[ Selepas dibicarakan dan didapati si pembunuh itu bersalah, maka akan timbul satu lagi masalah iaitu kena cari samada mangsa ada waris ataupun tidak. Kalau ada, kesemua waris hendaklah dipanggil untuk minta pesalah dihukum ataupun dimaafkan. Kalau si pembunuh tidak bersalah, ia tidak menjadi isu sebab tertuduh akan dibebaskan. Yang jadi isunya ialah bila si pembunuh didapati bersalah, kita kena cari semua ahli waris mangsa. Seperti yang disebut di atas, kalau ada waris yang tidak diketahui kat mana dia tinggal, atau waris masih kanak-kanak atau waris jadi gila; maka kita kena tunggu kesemua contoh-contoh itu tadi sehingga mereka layak untuk buat keputusan. Sementara tunggu ahli waris yang hilang itu muncul kembali, atau menunggu ahli waris yang kanak-kanak itu menjadi baligh, atau menunggu ahli waris yang gila itu menjadi normal; maka kita kena penjarakan dahulu si pembunuh. Maknanya kalau waris yang hilang itu muncul kembali, dan memberitahu dia tidak perlu pembelaan kepada darah ayahnya, maka si pembunuh berkenaan akan dibebaskan. Tetapi kalau berlaku sebaliknya, maka hukuman qisas akan dilaksanakan. Jadi dalam hal ini, tuan-tuan jangan salah faham. Bukannya maksud si pembunuh dipenjara tanpa perbicaraan. Yang sebenarnya, dia telah dibicarakan dan didapati bersalah. Dia hanya dipenjarakan buat sementara waktu sahaja sementara tunggu ahli waris mangsa boleh buat keputusan samada nak diqisaskannya atau dimaafkan. ]                          

 

7) Hukuman qisas yang dikenakan ke atas si pembunuh itu tidak melibatkan kepada orang lain. Misalnya seorang perempuan yang sedang hamil membunuh seorang yang beriman tidak boleh dilaksanakan hukuman qisas di masa perempuan itu dalam keadaan hamil, malah hukuman itu hendaklah dilaksanakan sehingga perempuan tadi melahirkan anaknya, dan berhenti anaknya menyusu. Kes ini adalah merujuk hadith Rasulullah saw:

“Apabila seorang perempuan yang hamil membunuh seorang yang lain dengan sengaja tidak boleh dibunuh perempuan itu di masa hamilnya sehingga ia melahirkan anak yang dikandungnya, dan sehingga terjamin anaknya (ada orang yang menyusu dan menjaganya). (Riwayat Ibn Majah)

 

[ Dalam contoh di atas, yang disebut “orang lain” dalam kes pembunuhan yang dilakukan oleh perempuan hamil ke atas seseorang ialah janin yang ada dalam perut si pembunuh itu sendiri. Maknanya kalau dihukum bunuh balas ke atas si pembunuh dalam keadaan dianya hamil, maka dibimbangi nyawa janin dalam perut si pembunuh akan terancam. Janin dalam perut si pembunuh tidak ada kena mengena dalam kes pembunuhan yang dilakukan oleh ibunya. Jadi kes seumpama ini, Nabi saw suruh kita tunggu sampai anak itu dilahirkan dan sampai ada orang lain boleh ambik urusan penjagaan anak tersebut dari ibunya. Maknanya selagi anak tersebut tidak terjamin kebajikannya, selagi itulah tidak boleh menjatuhkan hukuman qisas ke atas ibunya. Ini dia tuan-tuan yang kata adilnya undang-undang Islam, sehingga terpaksa mempastikan bahwa hukuman bunuh ke atas si penjinayah tidak menggugat orang lain. ]

 

Perkara 116 : Alat pelaksanaan hukuman qisas.

 

Alat yang digunakan untuk melaksanakan hukuman qisas mestilah sama seperti alat yang digunakan oleh si pembunuh ketika ia membunuh orang yang dibunuhnya, kecuali lama tersiksanya orang yang diqisas tadi menanggung kesakitan dengan menggunakan alat itu. Maka dalam kes ini, alat yang digunakan untuk melaksanakan hukuman qisas itu mestilah menggunakan pedang. Sabda Rasulullah saw:

“Tidak ada hukuman qisas itu, kecuali dengan menggunakan pedang.” (Riwayat Bazaar dan Ibn `Adi)

 

[ Hadith di atas sebagai reference sekiranya alat yang digunakan dalam suatu hukuman qisas tidak boleh menyamai dari segi keadilannya. Sebagai contoh yang diberi ialah dari segi lamanya tahap kesakitan ketika dihukum. Apabila ini berlaku, maka hendaklah digunakan kaedah pancung. Begitulah juga seperti yang kita sebut dalam beberapa posting yang lalu iaitu dalam kes tikaman yang tidak menyebabkan kematian. Kalau kita boleh tikam sama seperti si penjenayah lakukan, maka itulah yang sepatutnya kita buat. Tetapi kalau tikaman balas itu boleh membahayakan si penjenayah, maka jangan diteruskan malah ianya boleh digantikan dengan diyat. Contoh yang kita bicarakan hari tu ialah tikaman yang terkena pada jantung si mangsa. Pada hukum adat, sepatutnya si mangsa tu akan mati, tetapi dengan izin Allah, dia dapat diselamatkan. Jadi, adakah si penjenayah itu akan diqisaskan dijantungnya?…Jawapannya, tak boleh tuan-tuan sebab jantung adalah area yang amat kritikal. Kalau dihukum qisaskan juga pada jantung si penjenayah, dibimbangi si penjenayah itu akan mati, sedangkan mangsa tidak mati. Ini tidak adil. Islam tak mau macam tu. Sebab itu dalam Islam, kalau perlaksanaan hukuman balas dikhuatiri akan melebihi dari perbuatan asal, maka ia tidak boleh diqisas. Tetapi dalam kes di atas iaitu sekiranya alat yang digunakan dalam perlaksanaan qisas boleh menyebabkan si penjenayah mengalami penderitaan yang panjang, maka kaedah pancung menjadi penyelesaiannya. Inilah cara yang ditetapkan oleh ajaran Islam, yang kalau kita kaji dari sudut apa sekalipun, pasti ianya adalah kaedah yang terbaik.

Sebab itu tuan-tuan kalau kita ikut apa yang ditetapkan oleh hukum syarak, kita pasti akan selamat. Lihat saja isu yang timbul di mahkamah syariah negeri Pahang bulan lalu. Semua orang dah tahu kan isu ni iaitu berkenaan dua adik beradik mengaku bersalah minum arak di khalayak ramai. Sabit dari pengakuan mereka itu, mahkamah tinggi syariah negeri Pahang telah mengenakan hukuman denda sebanyak 5 ribu ringgit dan sebat sebanyak enam kali rotan. Bila jatuh saja hukuman tersebut, riuh satu Malaysia meluahkan rasa ketidak-puasan hati mereka, lebih-lebih lagi dikalangan para peguam yang bukan Islam. Isunya yang pertama ialah sebab sebelum ini, tak pernah mana-mana mahkamah syariah dalam negara kita menjatuhkan hukuman sebat terhadap apa-apa kesalahan sekali pun. Bukan sahaja dalam kes arak, malah dalam kes zina pun macam tu juga, tak pernah diperkenalkan hukum sebat. Dan isu yang keduanya ialah kita nak sebat tu cara macamana?…Sebab sehingga hari ini, urusan hukuman sebat hanya dikendalikan oleh Jabatan Penjara sahaja. Dan orang yang dikenakan hukuman sebat dalam amalan undang-undang sivil di bawah “Criminal Procedure Code” dan “Penal code” hanyalah orang yang telah dikenakan hukuman penjara. Tidak pernah berlaku dalam negara M`sia versi Islam hadhari hari ini, orang yang tidak dikenakan hukuman penjara, tiba-tiba dikenakan hukum sebat. Tak pernah berlaku lagi macam tu tuan-tuan. Selalunya, mahkamah sivil dalam negara kita akan mengenakan hukuman sebat bagi orang yang dikenakan hukuman penjara sebab dia akan disebat semasa dalam penjara oleh kakitangan penjara.

Jadi, masalah yang ditimbulkan ialah apabila mahkamah tinggi syariah negeri Pahang menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah dua beradik itu, sedangkan mereka tidak dikenakan hukuman penjara. Hukuman sebegini tak pernah dibuat oleh mana-mana hakim sebelum ini. Inilah yang puak-puak peguam hat bukan Islam mempertikaikan. Dan seterusnya yang mereka pertikaikan ialah cara mana nak dipukul ke atas dua beradik tu; cara yang sedia-adakah atau cara Islam?…Kalau ikut cara Jabatan Penjara sekarang, si penjenayah akan dibogelkan sebelum disebat. Dari segi logik pun kita boleh tau bahwa ada bentuk kezaliman di situ sebab tidak ada kaitan dia dibogelkan dengan jenayah yang dilakukan sehingga dia dihukum sebat. Sedangkan dalam Islam, aurat si penjenayah tetap kita kena jaga walau bahaya sekali mana pun dia.

Begitu juga dengan rotan yang akan digunakan. Ini pun masalah juga sebab kalau kita tengok rotan hat jabatan penjara guna, masyaAllah, naik takut kita tuan-tuan. Punya la tebai. Maknanya rotan hat jabatan penjara punya memang boleh mencederakan. Tapi kalau kita tengok rotan yang digunakan dalam kes pesalah judi dan arak di Acheh baru–baru ni, ia hanyalah berdiameter 0.75 cm sahaja. Nipis saja. Jadi dalam Islam, niat kita sebat tu bukan untuk mencederakan pesalah tetapi lebih kepada untuk memberi pengajaran dan keaiban supaya pesalah itu jangan mengulangi perbuatan tersebut.

Okay dalam masalah macam kes dua beradik minum arak tu, kalau kita tengok dalam enakmen jenayah syariah negeri P.Pinang (ana dari Penang, so kita tengok Penang punya la) kita akan dapati memang tidak ada procedure bagaimana nak rotan orang yang melakukan jenayah syariah. Sebab itu, mahkamah negeri P.Pinang tidak pernah mengenakan hukuman sebat kepada mana-mana penjenayah syariah dalam negeri P.Pinang. Maka dari sinilah timbulnya persoalan; kenapa hakim mahkamah tinggi syariah negeri Pahang buat macam tu?…Takkan dia tak tau tidak adanya procedure hukuman sebat dalam enakmen jenayah syariah di mana-mana negeri pun?…Menurut ust Ahmad Jailani, beliau berpendapat bahwa hakim tu sebenarnya tau tentang perkara yang kita sebut tu. Tetapi dia buat penghakiman sebegitu rupa kerana ada sebabnya. Sebabnya ialah dia nak “buka mata” orang-orang yang terlibat, especially pihak legislature (orang yang bertanggungjawab menggubal undang-undang) betapa perlunya sekarang ini untuk membuat suatu perubahan atau penambahan kepada enakmen yang sedia-ada supaya mahkamah syariah juga boleh memperkenalkan satu hukuman berbentuk sebatan kepada orang yang terbabit dalam jenayah syariah. Bukannya apa tuan-tuan; sekarang ni kalau setakat denda 5 ribu ringgit, tak jadi apa-apa dah. Depa tak serik dengan denda macam tu. Begitulah juga kalau dipenjarakan. Ada yang sanggup dipenjarakan. Bagi orang yang kerja swasta, dia takdak masalah kalau kena penjara sebulan pun sebab dia boleh apply annual leave. Jadi bagi orang-orang macam ni, kat depa kena ada satu lagi hukuman alternatif, tak lain tak bukan ialah hukuman sebat di khalayak ramai supaya depa reti rasa malu.

Point yang ana nak bagitau di sini ialah kalau kita patuh ikut apa yang telah ditetapkan dalam Islam, dia tak akan jadi sebagaimana sekarang. Keadaan masyarakat kita sekarang dah teruk, pincang sepincang-pincangnya akibat peperangan minda yang ana rasa tidak kurang sengitnya kalau nak dibandingkan dengan ujian peperangan qital. Cumanya sekarang baru kita tahu, kenapa masalah arak tidak begitu diberi penekanan dalam masyarakat kita?…Sebabnya ialah kebanyakannya orang yang berpengaruh memang terlibat dengan minuman keras. Kalau hangpa tak percaya, pi la check seniri. Tanya tengok kat orang-orang yang sering mengiringi orang-orang kenamaan. Bila dah check, kita akan dapati betapa kecilnya percentage orang-orang kenamaan yang tidak terlibat dengan khamar. So no wonder lah kita tengok jenayah minum arak ini tidak diambil berat oleh golongan tertentu sebab mereka sendiri terlibat dengan perkara-perkara seumpama ini. ]                       


Yahoo! Mail Mobile
Take Yahoo! Mail with you! Check email on your mobile phone.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke