Pengharaman Darul Arqam-Sekadar Renungan Semula

 

Pandangan ini adalah berbentuk peribadi. Tidak mewakili mana-mana pehak  atau kumpulan samada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia. Bukan berbentuk hasutan atau provokasi  tetapi sebagai  catatan mata pena dalam meninjau sistem demokrasi di Malaysia. Samada yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman atau yang bersalah tidak dihukum. Hukuman telah dijatuhkan oleh pehak penuduh yakni Majlis Fatwa dan pehak tertuduh yakni Darul Arqam pun  sudah terkubur menjadi lipatan sejarah. Artikel ini cuma mengimbau akan nostalgia yang berusia 11 tahun yang berlalu.  Keputusan manusia hanya bersifat sementara yakni tidak kekal, tetapi hukuman Allah dalam retetan masa jua yang kekal dan abadi. Saya serahkan pada Allah jua untuk PengadilanNya . Pada Allah jua sebaik-baik Pengaduan dan sebaik-baik Pengadilan. Wallahualam.

 

Meneliti dalam buku Al-Arqam Disebalik Tabir, karangan saudara Ang Wan Seng pujian harus diberi kepada saudara kerana melalui usaha daya  kreatif  menulis isi kandungan yang bersumberkan maklumat terus dari pehak berwajib bekas Darul Arqam mengenai latar belakang sejarah perjuangan  jemaah Darul Arqam yang telah diharamkan untuk tatapan  kepada pehak umum. Buku yang pertama kali ditulis oleh penulis berbangsa Cina yang bukan beragama Islam tetapi akhirnya memeluk agama Islam . Dicetak sebanyak 3 kali cetakan dalam masa 4 bulan. Buku ini yang paling laris penerbitannya yang pernah diterbitkan oleh pehak Universiti Malaya.

 

Banyak isu-isu menarik yang dimasukkan oleh beliau samada secara formal dan informal untuk renungan pembaca. Akan perjuangan Darul Arqam yang diasaskan oleh Ustaz Ashaari bin Muhammad   yang bermula pada tahun 1968 di Rumah Putih, Kampung Keramat, Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke Kampung Sungai Pencala, Selangor.

 

Cuma dalam tulisan beliau kurang memberi penekanan kepada faktor asas  pengharaman Darul Arqam. Beliau hanya memberikan dalam tulisan sepintas lalu akan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994  yang mengharamkan jemaah Darul Arqam. Mungkin atas sebab-sebab peribadi atau untuk mengelakkan daripada  penulisan yang berbentuk provokasi atau hasutan. Hanya beliau yang mampu menjawabnya. Tetapi pada pehak Darul Arqam telah menjawabnya melalui buku Berhati-hati Membuat Tuduhan hasil penulisan Ustaz Ashaari bin Muhammad yang diterbitkan pada tahun 1989 serta buku Aurad Muhammadiah Penjelasan Darul Arqam karangan penulis yang sama yang diterbitkan pada tahun 1988.

 

Apakah faktor-faktor  yang menyebabkan kepada pengharaman Jemaah Pertubuhan Darul Arqam? Bagi saya terdapat  dua faktor  utama yang menyebabkan kepada pengharaman Darul Arqam.

 

Pertama Kerana  Faktor Dalaman.

 

Ustaz Ashaari bin Muhamad menganggap faktor pengharaman ini merupakan ujian dari Tuhan. Yang dapat disimpulkan sebagai (dipetik dari buku Nasihat Buat Mu, bekas kawan lama ku dalam Arqam):

 

  1. Untuk menyedarkan dan menginsafkan pada masa dalam kelalaian.
  2. Untuk didikan dan pengajaran terhadap peningkatan iman dan taqwa.
  3. Agar kita tersentak bahawa kita adalah hamba Tuhan, kita lemah dan tidak mampu melawan takdir Tuhan dan sentiasa mengharap dan bergantung pada Tuhan didalam meneruskan kehidupan.
  4. Untuk menghapuskan dosa yang telah dilakukan.
  5. Untuk peningkatan darjat dan pangkat pada hari Pembalasan.
  6. Untuk tapisan dan saringan untuk ahli-ahli dalam jemaah perjuangan.

 

Kedua  Kerana Faktor Luaran .

 

1. Yang utama sekali ialah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa mengenai  Pengharaman Darul Arqam bertarikh 5hb Ogos  pada tahun 1994. Dari keputusan majlis Fatwa inilah pehak kerajaan pada 3 hb September 1994 telah membuat tangkapan terhadap Ustaz Ashaari Muhammad dan 6 orang pengikutnya dibawah akta ISA.

 

2.Yang kedua kerana ketidaktepatan maklumat yang diperolehi oleh pehak pemerintah yakni Ulamak Rasmi dalam kerajaan yang berdasarkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan 1994. Keadaan ini makin bercelaru dalam kebimbangan kerajaan terhadap Al-Arqam yang dikhuatiri bercorak militan. Yang dikatakan mampu mencabar pehak “establisment” serta pehak berkuasa di Malaysia. Ini dapat dilihat melalaui ketaksuban para pengikut kepada pemimpin serta sistem herarki  kepimpinan Darul Arqam yang berbentuk piramid yang mana segala keputusan muktamadnya terletak pada kuasa pucuk pimpinan.

 

Dengan kebimbangan ini, maka pehak pucuk pimpinan negara mengambil tindakan drastik dengan  mengharaman Darul Arqam berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Supaya ketaksuban para pengikut Darul Arqam kepada pucuk pimpinannya dapat dikawal dan kepopulariti Ustaz Ashaari Muhamad sebagai Ketua Jemaah Islam yang pertubuhannya tidak berdaftar dalam dalam Akta Pertubuhan dapat dipantau.

 

Berbalik kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, dapatlah disimpulkan asas pengharaman Darul Arqam hanya berkisar kepada perbezaan pendapat antara fahaman Wahabi yang bertunjangkan fahaman Ibn Tamiyah dengan fahaman Darul Arqam yang banyak berkonsepkan Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).   Dimana fahaman ASWJ ilmu Fekah berteraskan kepada Imam Syafei, ilmu Tasawuf berkonsep kepada Imam Ghazali dan ilmu Usuludin  bertauhidkan kepada Sifat 20 karangan Imam Abu Hassan Asyaari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi.

 

Manakala pada fahaman Wahabi yang bersandarkan kepada Ibn Tamiyah hanya berkisar pada konsep tauhid Rububiyah dan tauhid Uluhiyah sahaja.Pengajian Sifat 20 seperti Kitab Kifayatul Awam serta kitab ASWJ dilarang. Apatah lagi fahaman seperti Yakazah, Bertawasul , Tambahan Kalimah Syahadah, Penentuan Imam Mahadi dan  Aurat Muhamadiah sebagai terekat Darul Arqam.Tetapi yang terbaru pehak Jakim dalam ciri-ciri ajaran sesat (2005) hanya menyatakan bertawasul pada insan yang mati sahaja dianggap sesat manakala tuduhan selain dari bertawasul pada insan yang mati dianggap sepi dan senyap begitu sahaja.

 

Belum dikira lagi dengan amalan-amalan yang berbentuk bidaah seperti mernziarahi makam nabi, bermaulid nabi, talqin pada yang meninggal, bermarhabban, berzanji serta amalan-amalan bertareqat.Yang mana setengah dari amalan tersebut dihukum sebagai ajaran sesat. Pada pehak ASWJ memang terdapat amalan-amalan tersebut. Namun disifatkan sebagai bidaah hasanah yakni amat digalakkan untuk memperbaiki dan menambah kecintaan dan ketaqwaan manusia yang bersifat hamba kepada Pencipta. 

 

 Fahaman Wahabi adalah seperti yang diajar dalam sukatan Pengajian Islam di peringkat sekolah menengah sehingga kepada Doktor Falsafah(Phd) diperingkat Universiti. Bukanlah tulisan ini untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Fatwa terhadap pengharaman Darul Arqam. Apatah lagi untuk mencabar kewibawaan perundangan negara  Kerana keputusan dan hukuman telah dijatuhkan oleh manusia terutama pehak pemerintah mungkin terdapat cacat celanya .

 

Ibarat permainan hoki dengan permainan golf. Mana mungkin berlaku pengadilan dalam permaianan! Tambahan pula mereka yang pakar dalam permainan hoki dipilih untuk mengadili permainan golf! Sudah tentu sebarang keputusan pertandingan akan mengakibatkan sebelah pehak teraniaya. Kerana kedua-dua permainan mempunyai disiplin atau peraturan yang berbeza! Ini merangkumi jarak masa yang berbeza, lokasi dan corak  pemain yang berbeza dimana permainan hoki berlangsung di padang yang sama rata. Dalam kotak permainan yang telah ditetapkan sempadannya berbanding dengan permainan golf yang tidak mengira sempadan apatah lagi lokasi seperti bukit, sungai atau tasik sekali pun. Juga sasaran yang berbeza dengan jumlah pemain yang berbeza. Dimana permainan hoki  memastikan bola memasuki gawang gol dengan mempunyai penjaga gol manakala dalam permainan golf memastikan hayunan bola terus memasuki  lubang gol !

 

 Cuma yang samanya ialah bola tidak boleh terkena pada kaki serta menggunakan pemukul kayu dan bola . Itu pun pemukul kayu dan bola juga dalam ukuran yang berbeza. Serta taraf permainan juga berbeza. Pemain golf kebanyakkannya dianggap sebagai pemain profesional manakala pemain hoki yang kebanyakkannya berkonsep pemain amatur. Dari segi pakaian , pemain hoki rata-ratanya berseluar pendek seperti pemain bola sepak manakala pemain golf kebanyakkanya berseluar panjang. Secara ringkasnya ibarat langit dan bumi akan konsep permainan kedua-dua sukan tersebut. Semacam tidak ada satu titik pentemuan yang dapat menyambung pertalian kedua-dua jenis sukan tersebut.

 

 

Begitulah tamsilan perbezaan majlis fatwa yang menghukum dengan pehak Darul Arqam yang kena hukum.Perundangan dalam Islam jika dilihat dalam rentetan sejarah  terutama sejarah zaman tabiin( zaman 300 tahun permulaan keagungan Islam)  berdasarkan kasih sayang sesama manusia dan takut pada Pencipta . Terdapat individu  yang dimaafkan oleh pehak pewaris yang terbunuh dalam kes bunuh seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Omar  setelah melihat kejujuran dan ketinggian akhlak pehak yang kena tuduh! Serta menyerahkan kembali harta kecurian terutama dalam kes Syeikh Qadir Al-Jalani dimana ketua pencuri bukan setakat menyerahkan kembali harta yang dicuri malahan memeluk agama Islam apabila melihat kewarakkan Wali Allah tersebut! Yang utama sekali mereka insaf dan pasrah pada Illahi dengan  menyerahkan kepada Pencipta dengan sebenar-benar tawakal!

 

Ini berlainan sekali dengan akhlak dan minda Ulamak Rasmi dalam kerajaan serta lepasan Universiti pengajian tinggi Islam. Walau pun tidak pada kesemua tetapi ibarat seekor kerbau membawa lumpur, terpalit pada kesemua .Ini tidak menghairankan kerana faktor sejarah serta faktor pengajian ilmu tersebut. Dari segi sejarah umum mengetahui akan tektik pehak penjajah yang cuba melemahkan umat Islam. Sekali pun tidak dapat menarik umat Islam agar murtad dari ugama tradisi nenek moyang mereka yang beragama Islam ,  namun diikhtiarkan juga dengan melemahkan amalan agama terutama amalan tasawuf dikalangan umat Islam dinegara-negara jajahan mereka.

 

Inilah yang terjadi dalam sistem pendidikan Islam  negara ini serta dinegara Islam yang lain yang lain diseluruh dunia. Rata-rata pengajian Islam samada diperingkat rendah sehingga ke peringkat Universiti mengikut acuan penjajah terutama Yahudi dan pehak Amerika sekali pun negara tersebut telah mwncapai kemerdekaan . Sistem pengajian Islam di Malaysia juga tidak terkecuali dalam gajela ini. Bukti menunjukkan ramai lulusan Islam yang menamatkan sistem pengajian Islam terutama dalam Doktor Falsafah bergurukan kepada guru Yahudi dalam konsep ilmu yang disukat oleh pehak penjajah seperti di Universiti Kent diluar negera.

 

Hasilnya  bila lulusan ini pulang ke negara masing-masing sudah tentu minda dan akhlak mereka mengikut acuan apa yang telah dipelajari  dari pehak penjajah. Dan seterusnya mereka pula yang mengajar ilmu tersebut di universiti tempatan dan bagi yang menjawat jawatan penting dalam kerajaan, bekerja dengan pemerintah dalam  sistem pentadbiran yang  berteraskan kepada kepada konsep Ketuanan yang mana pehak pemerintah dianggap sebagi Tuan . Dan bukannya dalam erti kata memimpin pemerintah takut kepada Tuhan! Ulamak sebagai penasihat kepada umarak kearah kecintaan pada Illahi.

 

Sudah tentu terdapat perbezaan pendapat  dalam Ahli  Majlis Fatwa yang berlatar belakangkan ilmu yang disukat berdasarkan silibus pengajian di Universiti yang menjatuhkan hukuman dengan pehak Darul Arqam sebagai tertuduh yang berlatar belakangkan ilmuan dari Ahli Sunnah Wal Jamaah(ASWJ). Pengertian umum, ilmuan dari Pengajian Islam di Universiti berdasarkan kepada konsep Ketauhidan dan Fekah dengan tidak merangkumi ilmu tasawuf berbanding dengan ASWJ yang mengambil kira fahaman Tasawuf seperti yang terkandung dalam Kitab Ehya Ulumuddin Karangan Imam Ghazali termasuk  dalam amalan bertarekat selain dari konsep ilmu tauhid berdasarkan sifat 20 dan ilmu fekah bermazhab Imam Syafei.Rata-rata pengajian Islam di Universiti di Malaysia tidak memasukkan silibus pengajian Imam Ghazali dan Imam Syafei dalam sukatan pengajian mereka.

 

Terdapat  jurang perbezaan yang besar dalam pertembungan akidah Ahli Sunnah Wal Jemaah dengan Fahaman Ibn Tamiyah inilah yang meletakkan Pengharaman Darul Arqam harus dinilai,dikaji dan digarap semula oleh para pengkaji ilmuan Islam dalam konteks perkembangan Agama Islam di Malaysia khasnya dan di Nusantara amnya . Diharap ada pehak yang sudi membuat kajian yang lebih mendalam dan yang lebih teliti akan pertembungan kedua-dua fahaman ini . Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak. Seperti mana kajian Saudara Ang Wang Seng dalam buku Al-Arqam disebalik Tabir.

 

Sebab Fatwa yang dikeluarkan pada setengah negara tidak juga diikuti oleh negara Islam . Seperti fatwa pengharaman rokok oleh kerajaan Arab Saudi tidak juga diikuti oleh negara Islam yang lain. Sedangkan  sesuatu fatwa itu berlaku mengikut urutan masa, lokasi dan peristiwa. Tidak semestinya fatwa yang dikeluarkan oleh puluhan tahun yang lampau atau ratusan tahun  yang lampau seperti fatwa Ibn Tamiyah dan  pengikutnya Muhammad bin Abdul Wahab, sesuai juga diamalkan oleh para generasi Islam sekarang. Apatah lagi kepada masyarakat Islam di Malaysia yang majoritinya berfahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Yang penting para ulamak terutama dalam pehak pemerintah seharusnya bersedia untuk mengalami kejutan atau pemikiran terbuka  samada dari segi masa , aliran pemikiran dan budaya hidup sesebuah masyarakat. Kerana teori atau ilmuan yang mereka pelajari samada diperingkat menengah atau di Universiti tidak mungkin sesuai lagi dalam alam realiti kehidupan masyarakat pada  masa kini.

 

Suatu kenyataan pahit yang mungkin sukar untuk diterima atau ditelan oleh pencinta Islam di Malaysia  ialah lompang atau kekosongan yang ditinggalkan akibat pengharaman Darul Arqam  seperti  aktiviti kemasyarakatan dan penampilan Islam seperti sosial,ekonomi dan politik bukan sahaja tidak terisi bahkan tidak mampu diisi oleh mana-mana pehak samada berbentuk individu atau  kumpulan organisi baik  pehak berkuasa agama, parti pemerintah mahu pun pembangkang, badan dakwah persendirian dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tinggallah jemaah Darul Arqam dalam kenangan akibat pengharaman dalam bentuk kematian tanpa berbatu nesan dan bacaan talqin dari Ahli Majlis Fatwa. Tiada ratap tangisan cuma sekadar sendu mengiringi perpisahan.  Mungkin sesuai dengan fahaman Wahabi yang mengharamkan ziarah kubur dan bacaan talqin.

 

Sekian. Wallahualam.

 

 

 

 

 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke