Saya cuma forwardkan artikel orang lain yang saya rasa penting dalam
kita muhasabah diri kita sendiri. Semoga ia memberi manfaat kepada
diriku dan orang lain.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Oleh: Salina1968
Ini
adalah teks Kuliah Subuh anjuran Al Ansar International Foundation
untuk para jemaah Haji yang disampaikan oleh Dr. Nik Muhammad Helmi
(Trustee of the Foundation)
Sewaktu
saya kecil, arwah datuk saya sering menceritakan kisah-kisah waliyullah
kepada kami adik beradik. Antara kisah yang diceritakan yang masih
basah dalam ingatan saya ialah kisah antara Sheikh Hassan Al Basri dan
Khalifah Harun Al Rashid. Jadi saya ingin mengambil kesempatan di subuh
yang berkat ini, untuk mengigatkan diri saya iktibar di sebalik kisah
ini, serta berkongsi dengan saudara dan saudari. Semoga ianya dapat
menjadikan kita insan yang lebih baik hari ini dan hari hari yang
mendatang, berbanding hari-hari kita yang sudah berlalu.
Sewaktu
menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah, dia telah
mengarahkan seorang Menterinya untuk mengutus surat jemputan kepada
rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya. Dalam majlis
tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid dengan
jamuan yang lazat-lazat. Harun Al Rashid juga menghadiahkan kepada
mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Antara
yang dijemput ialah Hasan Al Basri.
Setelah
tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir.
Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat,
serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung
majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu
hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan. Maka
bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya.
Harun Al Rashid :
Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum
menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini
? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?
Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal.
Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ?
Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah.
Harun
Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut. Setelah
berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.
Harun Al Rashid :
Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin
kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus
dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang menerima hadiah
anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya
dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya.
Harun
Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya untuk
menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Sang Menteri pun segera
bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan tangan Harun
Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana. Sewaktu
Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan
kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut terus berjalan
menuju ke pintu madrasah.
Hassan
Al Basri, sewaktu terpandang Menteri dari istana datang menuju ke
tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan
mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Tiada
jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja
memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari
Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2.
Masih
tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan
saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga
berasa kehairanan.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.
Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.
Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri.
Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah.
Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam Menteri tersebut.
Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari ?
Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini.
Jawab
Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri.
Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera
mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya.Hal
ini juga mengejutkan murid-muridnya.
Murid :
Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan
menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan
arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya
menyampaikan surat Tuannya.
Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.
Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca.
Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.
Tujuan
ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan
perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu hari
pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis
tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali
lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau dengan
hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah
yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok
hari untuk majlis ini.
Sekian.
Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid
Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya.
Hassan Al Basri :
Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya.
Salam,
Harun,
Apakah
kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta
anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan
mungkar mu ?
Tahukah
kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah,
datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak menggunakan
harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi membiayai majlis
peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak
yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung.
Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing
memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?"
Di
waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang
enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri
dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka
dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam
kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata
penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.
Belum
pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah
engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi jika
semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin
banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan.
Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ?
Mulai
saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri
adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan
persahabatan ku dengan mu !!!
Sekian.
Hassan Al Basri
Tersentuh
hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al
Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya,
surat tersebut pun diserahkan kepada Menteri untuk dikembalikan kepada
Harun Al Rashid.
Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.
Menteri
itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan Al Basri
terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya menjadi
rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan.
Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang
mengikutinya. Lalu bekatalah Menteri tersebut kepada para pedagang di
pasar itu.
Menteri :
Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ?
Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan
anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana.
Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah.
Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka.
Pedagang :
Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?
Menteri :
Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya
amat murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang
kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi.
Maka
urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ.
Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali
ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri. Setibanya
Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan pakaiannya
yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat
Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri.
Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?
Menteri :
Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri, aku
telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri.
Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada
pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat jawapan
Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu.
Kerana selepas ini, aku akan mengikiut tuan ku yang baru, iaitu Tuan
Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul
Nya.
Menteri
itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al
Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke Madrasah
Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.
Harun
Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus
membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di
hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan
oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al BAsri telah
menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis. Tangisan
keinsafan.
Di
beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat
Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai solat,
Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan terus
menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya
yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat
dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam
pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah
seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.
--
Posted by Pak Ngah to
Bicara Bersama Pak Ngah at 1/02/2006 06:57:00 PM
--
"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah Tuhan Seluruh Alam"
PakNgah70
http://pakngah70.blogspot.com/
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
YAHOO! GROUPS LINKS