http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm


ABU Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti atau dikenali sebagai Ibnu Bajjah berasal daripada keluarga al-Tujib yang bekerja sebagai pedagang emas. Masyarakat Barat, mengenalinya dengan nama Avempace. Ibnu Bajjah dilahirkan di Saragossa, Sepanyol pada 1082 M.

Ibnu Bajjah merupakan cendekiawan yang dapat menguasai pelbagai ilmu yang dipelajari, antaranya menghafaz al-Quran, seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal serta menguasai ilmu matematik, fizik, astronomi dan falsafah.

Selain bidang ilmu dan falsafah, beliau turut melibatkan diri dalam bidang politik. Ia bermula di tempat lahirnya sendiri iaitu di Saragossa apabila beliau mula bergiat sebagai penyair bagi pihak al-Murabithun yang dipimpin oleh Abu Bkr Ibn Tafalwit. Kemudian apabila Abu Bkr berkuasa di situ, Ibn Bajjah dilantik sebagai menteri.

Pada 1118 M/512 H, Saragossa telah ditakluk oleh raja Alfonso yang berasal dari Aragon dan Ibnu Bajjah berhijrah ke Seville, selatan Sepanyol. Di sana, beliau menjalankan tugas sebagai seorang doktor dan banyak menulis tentang ilmu logik.

Kemudian Ibnu Bajjah berpindah pula ke Granada, dan seterusnya ke Afrika Utara iaitu pusat Dinasti Murabithun. Tetapi cara pemikiran dan falsafahnya yang asing di kalangan masyarakat di situ menyebabkan beliau ditangkap apabila tiba di kota Syatibah, Maghribi oleh Amir Abu Ishak Ibrahim Ibn Yusuf Ibn Tasifin yang menuduhnya sebagai murtad dan pembawa bidaah. Oleh kerana Ibnu Rusyd pernah menjadi muridnya, maka Ibnu Bajjah dilepaskan.

Ekoran kejadian tersebut, beliau meneruskan perjalanan ke Fez di Morocco. Di sana, beliau mendapat penghormatan yang tinggi di kalangan orang al-Murabithun dan diangkat menjadi menteri oleh Abu Bakar Yahya Ibnu Yusuf Ibnu Tasifin untuk jangka waktu yang panjang.

Kedudukan yang beliau peroleh telah menimbulkan rasa iri hati daripada pelbagai pihak. Akhirnya pada bulan Ramadan 1138 M/533 H, menurut satu riwayat, beliau meninggal dunia akibat diracuni oleh seorang doktor yang bernama Abu al-'Ala Ibnu Zuhri yang iri hati terhadap kecerdasan dan penguasaan ilmunya. Beliau dimakamkan di samping makam Ibnu 'Arabi di Fez.

Ibnu Bajjah banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang. Karya asal Ibn Bajjah ditulis dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew dan Latin. Manuskrip asal dan terjemahannya tersimpan di perpustakaan Bodlein, Perpustakaan Berlin dan Perpustakaan Escurial (Sepanyol).

Antara karyanya yang terpenting ialah Risalah al-Wida' yang menceritakan tentang ketuhanan, kewujudan manusia, alam dan huraian mengenai bidang perubatan. Buku tersebut dipercayai masih tersimpan di perpustakaan Bodlein.

Risalah Tadbir al-Mutawahhid pula mengandungi pandangan beliau tentang bidang politik dan falsafah. Ia lebih menekankan kehidupan individu dalam masyarakat yang disebut Mutawahhid. Risalah Tadbir al-Mutawahhid ini diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol setelah wafatnya Ibnu Bajjah.

Risalah al-Ittisal al-'Aql Bi al-Insan mengandungi tentang perhubungan akal dengan manusia serta huraian mengenainya.

Kitab an-Nafs menerangkan persoalan yang berkait tentang jiwa manusia dengan Tuhan dan pencapaian manusia yang tertinggi daripada kewujudan manusia iaitu kebahagiaan. Persoalan ini banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah Yunani dan Ibnu Bajjah banyak membuat ulasan terhadap karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos, al-Farabi dan al-Razi.

Menurut Carra dew Vaux, perpustakaan Berlin menyimpan 24 risalah manuskrip karangan Ibnu Bajjah. Antaranya ialah Tardiyyah (syair-syair) Risalah al-Akhlaq, Kitab al-Nabat dan Risalah al-Ghayah al-Insaniyyah.

Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya. Contohnya, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia sebagai makhluk sosial sebelum para sarjana Barat berbuat demikian. Begitu juga konsep madani yang telah dibicarakan dalam tulisannya secara tidak langsung .

Biarpun umur Ibnu Bajjah tidak panjang tetapi sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia.

Sesungguhnya Ibnu Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat sesuai dengan kedudukan dan penghormatan yang telah diberikan kepada beliau sepanjang kehidupannya sebagai tokoh falsafah Islam yang pertama di Andalusia. Menurut Ibnu Khaldun, kedudukan Ibnu Bajjah setaraf dengan Ibnu Rusyd, Ibnu Sina dan al-Farabi.



--
Posted by Pak Ngah to Bicara Bersama Pak Ngah at 3/31/2006 08:20:00 AM


--
"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam"

Bicara Pak Ngah
http://pakngah70.blogspot.com/




--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke