CAHAYA ALLAH PASTI BERSINAR
kenangan hidupku bersama Islam di bumi asing

          Bandar Belfast Yang Meninggalkan Seribu Kenangan Buatku


"Saya  ingin  tahu,  apakah  yang  mendorong  anda  datang melawat Belfast
Islamic Centre?", saya mengajukan soalan tersebut kepada sekumpulan lelaki
dan wanita Katholik yang melawat masjid tempat saya bekerja.

"Kita adalah masyarakat yang cerdik dan boleh berfikir sendiri. Kami tidak
pernah   melihat   sesuatu   yang   diburuk-burukkan   sebagaimana   media
memburuk-burukkan Islam.

Kami  sudah  bosan  dengan  telatah  media.  Agak mengejutkan apabila kami
menemui  alamat  Islamic  Centre  ini di dalam direktori. Rupa-rupanya ada
masjid  di  Belfast.  Sebab  itulah kami mengambil keputusan untuk bertemu
sendiri dengan orang Islam dan mengenali mereka secara dekat", jawab salah
seorang daripada ahli rombongan itu.

Pelbagai  soalan  yang mereka ajukan sepanjang sejam sesi dialog yang saya
kendalikan.   Ia  merupakan  rutin  biasa  kerana  semenjak  peristiwa  11
September  2001,  Belfast  Islamic  Centre menjadi tumpuan pelbagai pihak.
Kadang-kadang tetamu datang secara bersendirian, berdua, satu kereta, satu
van  dan  malah  satu bas. Jangan terkejut jika ada di kalangan pengunjung
itu, dihantar oleh pihak gereja! Khususnya gereja Katholik.

Nampaknya,  propaganda anti teroris yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat
di  bawah  kabinet  Bush,  menjadi  reverse  pscyhology  yang  membalikkan
faedahnya kepada umat Islam.

Tidak   saya  nafikan,  di  peringkat  awal  sejurus  selepas  insiden  11
September,   Belfast  Islamic  Centre  memang  menjadi  sasaran  kemarahan
penduduk sekitar Belfast. Beberapa kali insiden kurang baik menimpa, malah
tingkap  masjid  juga pernah pecah akibat batu yang dibaling oleh beberapa
individu  yang  'marah  tak  bertempat'.  Ketika  itu,  solat  Jumaat juga
memerlukan kepada pengawasan pihak polis.

Namun,   selepas   kemarahan   itu  reda,  keadaan  yang  berlaku  menjadi
sebaliknya.  Masjid  kami  dan kebanyakan masjid di sekitar United Kingdom
dan  Ireland  menjadi  tumpuan  mereka  yang  selama ini tidak pernah tahu
apa-apa  tentang  Islam.  Sifirnya  seperti cerita Tufail ibn Amr di zaman
Rasulullah  SAW.  Akibat  propaganda musuh, timbul keinginan untuk mencari
kebenaran dan akhirnya beroleh iman.

Menjadi  Imam muda di sebuah masjid yang komunitinya seperti umat Islam di
Belfast,  bukanlah suatu tugas yang mudah. Tidak pernah saya sangka bahawa
cabarannya  akan sebesar apa yang telah saya tempuhi. Namun dalam pelbagai
kerenah umat Islam di sana, perkara yang paling mendukacitakan saya adalah
tabiat  suka bertengkar dan bergaduh sesama sendiri. Malah saya ditawarkan
memegang jawatan Imam atas motif yang berkaitan. Saya orang Malaysia, maka
saya  dianggap  tidak  bias  kepada pihak Pakistan atau Arab yang sentiasa
tidak sependapat.

Akan  tetapi,  kesusahan  bekerja sebagai Imam sering terubat apabila saya
berurusan  dengan  non  Muslim.  Subhanallah,  selama saya bertugas, hanya
sekali  sahaja saya menerima kunjungan non Muslim yang bersifat provokatif
lagi  mencabar.  Selebihnya datang dengan rasa ingin tahu yang amat luhur,
dan  kami  di  masjid  menyambutnya  dengan  penuh  komitmen.  Ziarah yang
provokatif  pada  suatu  petang  itu berlaku di antara saya dengan seorang
Paderi Kristian Arab yang sedang belajar PhD di Fakulti Teologi universiti
berdekatan. Beliau berasal dari Iraq.

LAWATAN PADERI ARAB KE MASJID

                                                                           
           Majlis Dialog Antara Agama Sering Diadakan di Belfast           
                                                                           


"Mr. Imam, saya dukacita kerana kamu telah 'memurtadkan' penduduk tempatan
di  sini.",  kata  paderi  tersebut  kepada saya. Agak terkejut juga saya,
apabila bicara saya dengannya bermula dengan kenyataan sebegitu.

"Boleh tuan jelaskan apa yang tuan maksudkan?", saya cuba menyoal kembali.

"Agama  Kristian  sudah  stabil  dan  baik  di  sini.  Kenapa  mesti  kamu
propagandakan  Islam  di  sini? Apakah kamu mahu mengajak penduduk di sini
menganut  agama  yang  buruk seperti agama Saddam Hussein?", beliau nampak
sungguh emosi.

"Orang  Islam  di  Iraq  sangat  zalim terhadap kami. Saddam Hussein telah
menindas  kami  dengan  begitu  teruk di sana. Dan sekarang kamu berhasrat
membawa agama Saddam kepada penduduk Kristian di sini?", ujarnya lagi.

Saya  cuba  menggagahkan diri untuk terus tersenyum walaupun dengan perisa
yang agak kelat. "Saya rasa istilah saya memurtadkan penduduk di sini agak
keterlaluan.  Ia  lebih  sesuai  digunakan  terhadap orang seperti kamu di
negara-negara umat Islam. Orang seperti kamu yang banyak memurtadkan orang
kami!", saya cuba memancing beliau.

"Ah,  sama  sahaja  dengan  kamu. Kamu juga buat perkara yang sama!", kata
paderi Arab tersebut. Hah, jerat saya sudah mengena.

"Oh  tidak sama. Saya di sini, tidak sama dengan kamu di tempat kami. Saya
di   sini   hanya  bertugas  memberikan  penerangan  tentang  agama  Islam
terutamanya  ketika  saya  ditanya  mengenainya.  Apa  yang saya ceritakan
benar-benar  tentang Islam semata-mata. Seandainya mereka bertanya tentang
Kristian,  barulah  saya  sentuh  mana-mana  perkara  yang saya tahu. Jika
mereka  menerima  Islam,  mereka  menerimanya  kerana  mereka yakin dengan
kebenaran Islam.

Sedangkan  kamu di tempat umat Islam tidak begitu. Kamu bukannya bercerita
tentang kebenaran agama Kristian. Apa yang kamu buat adalah meragukan umat
Islam  yang  jahil  terhadap  agamanya. Kamu perdaya mereka dengan bantuan
duit  dan  saya  akui kamu memang banyak duit. Akhirnya, saya rasa gerakan
Missionari  seperti  kamu  bukan  bermatlamat  membawa  orang kepada agama
Jesus,  tetapi  lebih  kepada  mengeluarkan mereka dari Islam. Itu sahaja.
Maka  kita  tidak  sama,  kita  berbeza!",  saya menjelaskan persepsi saya
dengan tegas. Di hadapan orang seperti ini, jangan teragak-agak.

"Kamu  orang  Islam  memang  pandai  berteori,  tetapi  bila sampai kepada
praktikal,  jadilah  kamu  seperti  Saddam Hussein.", beliau mula berkasar
dengan saya.

"Saya  hairan,  kenapa kamu asyik menyebut tentang Saddam. Sejak bila kami
mewakilkan  Saddam  untuk  melaksanakan Islam? Kamu membenci Saddam, tidak
ubah seperti bencinya kami kepada dia. Rasional sikit, tuan. Kamu pun tahu
Saddam  itu  bukan  orang  yang  layak  untuk  kamu jadikan cermin menilai
Islam", saya cuba menangkis dakwaan beliau.

"Kamu  bercakap  seolah-olah  kamu  tahu benar tentang apa yang berlaku di
Iraq.", beliau semakin hilang buah perbualan.

"Saya  tidaklah  tahu  serba serbi tentang Iraq. Tetapi untuk saya katakan
saya tidak tahu apa-apa, tidak sama sekali. Saya belajar di Jordan, negara
jiran  kamu.  Saya  sudah  masak serba serbi dengan apa yang ada di tempat
kamu."

"Oh,  jadi  kamu  boleh berbahasa Arablah ya! Baguslah, bolehlah kamu baca
Bible  di  dalam Bahasa Arab. Perbaiki sikit pengetahuan kamu. Jangan tahu
menyalahkan  Kristian  sahaja.", beliau menyindir saya sambil menghulurkan
senaskhah Bible di dalam Bahasa Arab.

"Sepatutnya  kamu  gunakan  Bahasa Arab kamu untuk memahami al-Quran. Saya
hairan,  bagaimana  setelah  Bahasa  Arab diturunkan di dalam bahasa kamu,
kamu  masih  belum  dapat  melihat Islam dengan adil. Sesungguhnya beriman
atau  tidak,  ia  memang  pilihan Allah. Puji untuk-Nya yang telah memilih
saya.", saya mahu segera menamatkan perbualan kami.

"Saya   beri   amaran  kepada  kamu  supaya  menghentikan  perbuatan  kamu
memurtadkan  orang  Kristian  di sini. Kami tidak mahu apa yang berlaku di
Iraq,   kamu   bawa  ke  sini!',  paderi  tersebut  memberi  isyarat  jari
telunjuknya kepada saya.

"Apa  yang berlaku di Iraq, memang tidak akan saya bawa ke sini. Saya juga
berharap kamu tidak membawa apa yang ada di Iraq ke sini!", jawab saya.

"Apa maksud kamu?", tanyanya.

"Sama ada Kristian atau Islam, Kristian Arab dan Muslim Arab, kedua-duanya
bermasalah.  Suka  bertengkar.  Jika kamu boleh buang kebiasaan bertengkar
kamu, saya kira kita boleh berdiskusi dengan baik. Sudah berkali-kali saya
berdiskusi  dengan  paderi  dari  kalangan  penduduk  tempatan. Kami tiada
masalah. Berbeza sekali dengan kamu yang datang ke masjid ini dengan penuh
emosi   sehingga  saya  pun  tidak  tahu  kamu  sebenarnya  mahu  mengajak
perbincangan ini ke mana", saya perlu bertegas .

Paderi  Arab  tersebut  bingkas  bangun,  menyerahkan sebuah kaset ceramah
tentang  kesalahan  al-Quran  yang  disampaikan oleh seorang Missionari di
dalam Bahasa Arab dan beliau enggan berjabat tangan dengan saya.

"I'll be watching you!", katanya dengan nada mengugut.

"God  will  be  watching us!", saya menjawab sambil menghantarnya ke pintu
masjid.

Pengalaman petang itu sentiasa tersemat di dalam fikiran saya. Itulah kali
pertama  saya  berdepan  dengan  seorang paderi yang provokatif. Sedangkan
selama  ini saya tidak mempunyai sebarang masalah apabila berurusan dengan
'rakan sejawat', khususnya yang bermazhab Katholik.

Sudah  banyak  kali  paderi  Katholik yang bertugas di penjara Maghaberry,
Belfast,  berurusan  dengan  saya.  Apabila  beliau pergi melawat penjara,
beliau  akan  datang  ke  masjid  untuk  menyampaikan  pesanan kepada saya
tentang  keperluan banduan Muslim di sana Malah mungkin terlalu pelik bagi
kita  semua  jika  saya  katakan  yang saya pernah mengirimkan sejadah dan
bahan  bacaan melalui paderi berkenaan untuk disampaikan kepada banduan di
penjara  tersebut! Saya sudah lupa namanya, namun beliau memang cukup saya
kenang.
                                                                           
                                                                           
       Perjalanan Dari Belfast ke Magiligan Memakan Masa Lebih 2 Jam       
                                                                           


Paling  utama,  beliau telah memperkenalkan saya dengan kakitangan Penjara
Magilligan  di  utara  Ireland Utara. Saya telah dijemput untuk ke penjara
tersebut  bagi  membuat  pemeriksaan  terhadap prosedur penyediaan makanan
Halal  di  penjara berkenaan. Saya dikhabarkan yang ada lima orang banduan
Muslim membuat aduan bahawa mereka tidak disediakan dengan makanan Halal.

Perjalanan  ke penjara tersebut memakan masa lebih 2 jam. Saya menaiki bas
dari  Belfast  menuju  ke  bandar  Coleraine.  Dari  situ,  warden penjara
tersebut menjemput saya dengan pacuan empat roda menuju ke sana. Semasa di
penjara  tersebut  saya  telah  dibawa  melawat  ke  dapur  tempat makanan
dimasak. Saya lihat kesemua daging halal diletakkan di dalam peti ais yang
berasingan.  Kemudian  saya periksa invois pembelian daging tersebut dalam
tempoh  setahun  sebelumnya  dan  ternyata  ia dibeli dari pembekal daging
Halal yang sedia maklum di kalangan kami orang Islam di Belfast.

Kemudian,  saya  diberitahu  yang  makanan  Halal  dimasak terlebih dahulu
secara  berasingan  sebelum  pekerja  memasak  makanan  lain.  Malah  saya
ditunjukkan  dengan  demonstrasi  penyediaan makanan Halal di penjara itu.
Saya berpuas hati dengan seluruh prosesnya.

"Saya  harap  Tuan  Imam  dapat  yakinkan  banduan  kami bahawa kami sudah
mencuba yang termampu untuk menyediakan makanan Halal.", ujar Ketua Warden
penjara yang mengiringi lawatan saya.

"Saya cuba", saya menjawab.

Saya  dibawa  ke sebuah bilik mesyuarat dan di bilik tersebut saya bertemu
dengan  enam orang banduan. Tiga berbangsa Arab, seorang Pakistan, seorang
Bangladesh  dan  seorang  lagi  Irish  yang  dikatakan mahu memeluk Islam.
Selepas  berbual  dan  bertanya khabar, saya pergi kepada topik utama yang
membawa kedatangan saya ke penjara Magilligan tersebut.

"Saya  sudah membuat pemeriksaan secara terpeinci tentang prosedur penjara
menyediakan  makanan  Halal.  Saya  selaku Imam ingin memberikan penegasan
kepada  saudara  semua  bahawa  pihak  penjara telah membuat yang terbaik.
Mereka  telah  asingkan sepenuhnya semua daging halal itu ke peti ais yang
berasingan. Malah mereka juga memasaknya secara berasingan.

"Tapi  mereka  pernah  hidangkan  kepada saya sarapan telur bersama crispy
bacon.", ujar salah seorang daripada banduan tersebut.

"Ya, saya sudah dimaklumkan tentang hal tersebut. Ia adalah kesilapan yang
isolated   dan  mereka  sudah  meminta  maaf.  Ia  adalah  kes  yang  amat
terpencil.", saya memberikan maklum balas.

"Tapi  mereka  masak  bukan-bukan.  Rasanya  sungguh  tidak  sedap!", ujar
banduan berbangsa Pakistan itu.

"Wah,  kalau  kamu  nak  makan  sedap, jangan mengedar dadah! Ini penjara,
bukan asrama!", saya naik berang dengan kerenah banduan tersebut.

Selepas  berbincang tentang keperluan bahan bacaan, sejadah dan bilik khas
untuk  mereka  bersolat  Jumaat,  saya  telah  cuba menyelesaikan beberapa
soalan  terakhir  yang ditanya oleh banduan Irish tersebut. Beliau berpuas
hati dan menegaskan bahawa beliau benar-benar telah bersedia untuk memeluk
Islam.

"Asyhadu  an Laa Ilaaha Illallah. Wa asyhadu anna Muhammadan Rasulullah!",
Alhamdulillah  bertambah seorang lagi saudara baru saya. Banduan Arab yang
ada di situ berjanji akan membimbing saudara baru tersebut.
                                                                           
                                                                           
              Sinar Iman di Penjara Magiligan. Siapa Sangka...             
                                                                           



Saya   pulang  ke  Belfast  dengan  hati  yang  amat  gembira.  Pengalaman
mengendalikan  urusan  penjara  itu  akan  saya  kenang  sampai bila-bila.
Pengislaman  banduan  Irish  tersebut berlaku tanpa sebarang masalah malah
pihak  penjara  bersikap  amat  profesional  dalam  mengendalikan hal ini.
Banduan  tersebut  menyatakan  bahawa pihak penjara tidak perlu menukarkan
pendaftaran  agamanya di dalam rekod penjara kerana tidak mahu menyusahkan
pihak pentadbiran.

Selama  hampir  dua  tahun saya berkhidmat sebagai Imam di Belfast Islamic
Centre,  seramai 18 orang telah mengucapkan syahadah. Kebanyakannya adalah
perempuan  Protestant. Tetapi ada juga lelaki Katholik yang memeluk Islam.
Biasanya langkah kaki mereka kepada Islam bermula hasil pembacaan sendiri.
Kemudian  mereka  datang  ke  masjid  dan  berbincang tentang beberapa isu
sebelum mengambil keputusan memeluk Islam. Biasanya persoalan itu berkisar
tentang  kedudukan  hubungan mereka dengan ibu bapa, masalah suami apabila
perempuan  mahu  memeluk  Islam,  serta  beberapa  kemusykilan  yang wujud
tentang  al-Quran dan prinsip-prinsip Islam yang saya kira, amat sederhana
dan tiada unsur prejudis.

Pernah  sekali,  selepas  saya  Islamkan  seorang  pelajar  perempuan yang
mengambil  jurusan  Biologi  di  QUB, saya bertanya tentang latar belakang
bagaimana beliau memulakan perjalanan ke arah Islam.

"Saya  sudah  lama  mahu  memeluk Islam. Pengajian biologi saya menjadikan
saya semakin muak dengan Darwinism dan saya semakin dekat dengan al-Quran.
Tetapi  saya tiada kekuatan untuk membuat keputusan sehinggalah semalam.",
ujar  Jane  dengan  seri  wajah  yang  penuh  gembira  selepas  melafazkan
Syahadah.

"Apa yang berlaku semalam?", saya bertanya.

"Semalam  adalah  Hari  Ibu.  Seperti  biasa  kami  akan  ke  gereja untuk
mendengar  ceramah  yang  disampaikan  oleh  Reverand.  Namun, malam tadi,
ceramah  yang  beliau  sampaikan  sungguh  luar  biasa. Huraiannya tentang
hubungan  ibu  dengan  anak,  sungguh  menyentuh  hati saya dan semua yang
hadir", ujar Jane lalu terdiam seketika.

"Teruskan", saya berkata.

"Selepas  program  selesai,  Reverand duduk di pintu gereja dan bersalaman
dengan  kami  semua.  Apabila tiba giliran saya, saya ucapkan terima kasih
atas  penyampaian  yang amat berkesan malam itu. Lalu saya bisikkan kepada
beliau,  apakah  Reverand  pernah  membaca al-Quran, buku orang Islam itu,
tentang tajuk berkenaan", kata Jane.

"Saya pun tidak pasti kenapa saya bertanya sedemikian rupa. Tuan Imam tahu
apa katanya?", tanya Jane kepada saya.

"Apa dia?", saya menyoalnya kembali.

"Katanya  memang  ceramah itu tadi dia ambil dari al-Quran. Sebab di dalam
Bible  tiada  penjelasan  yang bagus tentang tajuk berkenaan! Jesus... oh,
sorry Imam.", ujar Jane sambil ketawa.

Kami  yang  berada  sama di bilik mesyuarat masjid turut tercengang dengan
penjelasan Jane.

"Selepas  itu  yakinlah  saya bahawa memang paderi-paderi itu tahu tentang
kebenaran  Islam  tetapi  mereka  menyembunyikannya. Apabila saya beritahu
kepada  keluarga  yang  saya  mahu  memeluk Islam sesegera mungkin, mereka
tidak  dapat  berkata  apa-apa  kerana  mereka  juga masih terkejut dengan
jawapan Reverand itu. Kerana itulah pagi ini saya bergegas ke masjid untuk
menyebut Syahadah. Praise be to Allah...!", kata Jane. Matanya berkaca dan
menumpahkan tangisan syukur.

"Alhamdulilaaaaah...!!!",  saya  dan  beberapa ahli jemaah di masjid turut
sama mengucapkan syukur.

Saya  doakan  mereka  semua  terus  sejahtera di dalam Iman dan tidak mati
melainkan  sebagai Muslim. Ketika saya menulis artikel ini, perasaan rindu
kepada  suasana  seperti  itu  amat  menusuk  hati. Eropah sedang bertatih
mencari  Tuhan.  Sesungguhnya  Kota  Rom  itu pasti akan runtuh, dan sinar
Islam akan disempurnakan oleh Allah, tidak lama lagi. Ameen.






--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke