Utusan Malaysia 21 Jun 2006 - Rayuan bantu Palestin
Oleh SITI AINIZA KAMSARI

“Ribuan anak Palestin diancam kebuluran. Hulurkan
bantuan kepada Aman Palestin Berhad di akaun Maybank:
562263010787.” Jika anda ada menerima kiriman khidmat
pesanan ringkas (SMS) seperti ini, sebenarnya tidak
ada apa yang perlu disangsikan mengenainya.

Malah menjadi kewajipan anda agar derma tersebut
disumbangkan tanpa berlengah-lengah lagi.

Ini kerana Aman Palestin Berhad benar-benar wujud bagi
memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat
Malaysia tidak sahaja sampai, malah semua bantuan
tersebut telah dimanfaatkan sebaik mungkin di
Palestin.

Sebuah banglo di Bandar Baru Bangi adalah manifestasi
keprihatinan seorang korporat Islam yang membenarkan
Aman Palestin menjadikan banglo tersebut sebagai ibu
pejabatnya. 

Mereka baru sahaja berpindah di situ walaupun Aman
Palestin telah bergerak sebagai NGO sejak akhir 2004.
Pada Januari lalu, ia berjaya didaftarkan sebagai satu
yayasan bagi membantu rakyat Palestin secara lebih
kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.

Malah ketika penulis menemui Presidennya, Abdullah
Zaik Abdul Rahman, beliau baru sahaja pulang dari
sebuah kem pelarian Palestin di Lebanon bagi
menyampaikan bantuan RM150,000 yang terkumpul bulan
lalu serta menyelia beberapa projek kebajikan dan
kemanusiaan yang dianjurkan oleh Aman Palestin di
sana. 

Sejak tahun 2005 hingga kini, Aman Palestin menyumbang
RM500,000 kepada rakyat Palestin hasil kutipan
daripada orang ramai. 

Aman Palestin, menurut Abdullah Zaik, ialah satu
sekretariat yang dibentuk khusus oleh rakyat negara
ini bagi menangani secara terus masalah Palestin
berdasarkan tiga isu yang utama.

“Pertamanya faktor kemanusiaan kerana apa yang berlaku
di Palestin merupakan satu perlanggaran hak asasi
manusia yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah
kemanusiaan. Malah ia berlaku pada saat manusia
dikatakan semakin moden dan tahu erti nilai nyawa dan
kemanusiaan,” katanya. Terlalu banyak kemalangan jiwa
dan harta benda berlaku di wilayah itu sehingga hampir
400 kampung dihancurkan oleh rejim Israel. Mereka
bertindak meruntuhkan kediaman milik rakyat Palestin
dengan penghuni masih berada di dalamnya. 
“Namun yang paling menyayat tentulah nyawa rakyat
Palestin itu sendiri. Dalam serangan baru-baru ini
satu keluarga rakyat Palestin yang sedang berkelah di
tepi pantai hancur berkecai seluruh tubuh badan mereka
akibat diserang dari sebuah kapal marin Israel. Hanya
seorang anak perempuan keluarga itu yang terselamat. 

“Yang lain termasuk ibu bapa, malah adiknya yang masih
bayi, turut terkorban. Tidakkah sasaran tembakan
seharusnya kepada tentera musuh? Tetapi mengapa orang
awam turut menjadi sasaran?” katanya.

Disebabkan tidak mahu menjadi mangsa kekejaman seperti
inilah kira-kira 6 juta rakyat Palestin kini menjadi
pelarian dan hidup dalam suasana yang penuh dengan
kedaifan di kem-kem pelarian.

Di kem-kem pelarian tersebut hidup, rakyat Palestin
tidak ubah seperti anai-anai membina busut. Mereka
membina rumah berlapis-lapis, daripada setingkat
kepada bertingkat-tingkat tetapi bukan rumah dalam
erti kata yang sebenar. 

Selain itu, Aman Palestin ditubuhkan kerana
persaudaraan sesama Islam. Apa yang berlaku di
Palestin seharusnya turut ‘dideritai’ bersama oleh
rakyat Malaysia kerana tidak ada apa yang membezakan
antara rakyat negara ini dan mereka. Rakyat Malaysia
dan penduduk Palestin menyembah Tuhan yang sama dan
mengamalkan ajaran Islam yang sama. 

“Tetapi apalah maknanya semua ini sehingga menyebabkan
rakyat Palestin terpaksa merayu-rayu meminta bantuan,
sedangkan kita di sini hanya sekadar menonton dan
tidak melakukan apa-apa untuk meringankan bebanan
mereka. Jadi di manakah persaudaraan Islam kita yang
sebenarnya?” katanya.

Abdullah Zaik berkata, Aman Palestin juga menetapkan
matlamat membebaskan Masjid Al Aqsa.

“Selama mana kita mahu membiarkan kiblat pertama umat
Islam, tempat berlakunya Peristiwa Besar Israk dan
Mikraj, Kota Islam Ketiga Terbesar dan Negeri Kenabian
ini terlepas ke tangan Yahudi?

“Tidakkah kita mempunyai hubungan sentimental dan
spiritual yang kuat terhadap Masjid Al Aqsa yang
strukturnya kini semakin goyah dan menanti saat sahaja
untuk roboh dan runtuh berikutan usaha-usaha puak
Yahudi membuat dan menggali berpuluh-puluh terowong
bagi mencari apa yang mereka maksudkan sebagai Kuil
Mount Temple atau Haykal Nabi Sulaiman itu,” katanya.

Atas kesedaran yang begitu tinggi Aman Palestin
ditubuhkan dengan Penasihat utamanya pada masa itu
bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yaacob
dan dianggotai barisan sukarelawan yang begitu komited
menjayakan pelbagai program membantu rakyat Palestin.

Pertubuhan itu kini mempunyai 15 petugas sukarelawan
yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan
profesion. Bagi melatih sukarelawan itu, Aman Palestin
juga mengadakan kursus-kursus untuk mempersiapkan
mereka dengan pengetahuan mengenai perkhidmatan
sukarela. 

Aman Palestin juga melancarkan program mengambil
anak-anak yatim piatu Palestin sebagai anak angkat. Di
bawah program yang mendapat sambutan positif ini,
rakyat Malaysia boleh menyalurkan derma sebanyak RM130
sebulan untuk menaja kehidupan anak-anak Palestin.

“Setiap enam bulan kita akan menyampaikan tajaan itu
kepada anak-anak angkat Palestin di kem-kem pelarian.
Keluarga angkat di Malaysia boleh menghubungi
kanak-kanak itu melalui surat,” katanya.

Menurut Abdullah Zaik, sumbangan berbentuk kewangan
rakyat Malaysia sebenarnya amat sedikit berbanding
jumlah derma yang dihulurkan oleh negara-negara Islam
lain yang angkanya mencecah berbilion dolar Amerika. 

Namun Palestin sangat mengharapkan agar rakyat
Malaysia dapat membantu dari aspek teknologi dan
lain-lain kepakaran dalam pelbagai bidang. Mereka
menganggap Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan
terkehadapan.

“Mereka mengharapkan agar kita dapat memberikan mereka
‘joran’ bagi membolehkan mereka tidak ketinggalan
dalam mengejar kemajuan dan menguatkan lagi kedudukan
dan kehidupan mereka.

“Justeru, jika ada kalangan rakyat Malaysia tanpa
mengira bangsa dan agama ingin berkongsi kepakaran dan
kemahiran menerusi Aman Palestin, mereka boleh
menyumbangkan bakti kepada pelarian-pelarian ini,”
katanya.

Utusan Malaysia juga sempat menemui salah seorang
daripada lapan jurulatih Aman Palestin iaitu Dr.
Zainur Rashid Zainuddin. Beliau merupakan sukarelawan
yang begitu komited dalam mengendalikan pelbagai misi
Aman Palestin.

Walaupun bertugas di Universiti Perubatan Antarabangsa
(IMU) selain berkhidmat sebagai Pakar Obstetrik dan
Ginekologi di Hospital Seremban, Dr. Zainur sanggup
melakukan apa sahaja termasuk mengadakan road show
dari satu negeri ke satu negeri yang lain, menulis
buku dan melakukan pelbagai kajian mengenai isu
Palestin.

“Walaupun saya belum berkesempatan untuk membantu
rakyat Palestin itu di kem atau di tanah air mereka
sendiri, namun tugas menyedarkan rakyat Malaysia
mengenai isu Palestin ini merupakan satu tugas yang
mencabar. 

“Ini kerana ramai orang menganggap isu ini tidak lebih
satu konflik Arab Israel yang berebutkan tanah
semata-mata. Ia kononnya tidak ada kaitan dengan
Islam, jauh sekali sehingga boleh menggugat akidah.

“Sedangkan jika isu ini tidak diketengahkan, mungkin
ramai anak muda kita tidak mengetahuinya langsung,”
jelasnya.

Menurut Dr. Zainur, respons orang ramai terhadap road
show yang diadakan amat menggalakkan terutama dalam
membangkitkan kesedaran tentang penderitaan yang
dialami oleh rakyat Palestin. 

“Mereka begitu terkejut dan tidak menyangka betapa isu
Palestin sebenarnya soal maruah umat Islam di seluruh
dunia. Perkara ini tidak dapat diceritakan oleh
guru-guru di sekolah mahupun majikan-majikan, jadi
Aman Palestin bertanggungjawab ‘mengajar’ isu Palestin
supaya ia menjadi satu subjek pelajaran yang penting
untuk rakyat negara ini,” katanya.

Aman Palestin, kata Dr. Zainur, mengadakan penerangan
mengenai Palestin tanpa sebarang batas sempadan dan
politik.

“Kami pergi kepada sesiapa sahaja, baik di peringkat
sekolah, universiti dan mana-mana sektor pekerjaan,
masjid mahupun surau bagi memastikan semua orang
memahami isu sebenar di sebalik isu Palestin ini,”
tambahnya.

Sehubungan itu, Abdullah Zaik berkata, umat Islam
negara ini tidak harus berlengah lagi untuk membuat
sumbangan. 

“Sedikit atau banyak bukan soalnya, tetapi derma yang
berterusan bukan sahaja menolong rakyat Palestin namun
yang lebih penting kita menolong agama Allah. Jangan
sampai semuanya sudah terlambat. Ketika itu menangis
air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi
kecuali Yahudi akan terus bermaharajalela,” katanya.

Senarai Misi Kebajikan dan Kemanusiaan Aman Palestin
di Kem-kem Pelarian Palestin di sekitar Lubnan,Syria
dan Jordan

1. Pembiayaan Anak-anak Yatim dan Projek Anak Angkat
Yatim Palestin
2. Pembiayaan Ibu Tunggal
3. Bantuan Pelajaran
4. Projek Pusat Jahitan
5. Pembinaan Rumah Anak-anak Yatim Palestin
6. Projek Wakaf Palestin
7. Projek Hospital
8. Projek Bantuan Ubat-ubatan
9. Projek Korban Aidil Adha
10. Projek Bantuan Pakaian dan Beg Sekolah
11. Projek Berbuka Puasa Ramadan
12. Projek Pembinaan Pusat Al Quran
13. Projek Pembangunan Sekolah Untuk Anak-anak
Pelarian dan Yatim Palestin
14. Wakaf Kenderaan Aman Palestin
15. Projek Pakaian Musim Sejuk
16. Wakaf Bangunan Aman Palestin

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0621&pub=utusan_malaysia&sec=bicara%5Fagama&pg=ba_01.htm&arc=hive


     
  Syarak Mengata , Adat Menurut - Syarak Dijunjung , Adat Dijulang
   
  Sudi-sudi layari blog saya di http://waghih.blogspot.com




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 




------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design.
http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke