Berita Harian, 22 jun 2006

PROFIL:

Nama: Badrul Hisham Mohamad Shari
Lahir: 30 Mac 1962
Asal: Padang Rengas, Perak
Jawatan: Pengarah Seni, Galeri Ilu Sdn Bhd
Pendidikan: Diploma Reka Bentuk Grafik, Institut Teknologi Mara

BELIAU tidak memiliki kemampuan untuk berdiri di hadapan pentas dan berceramah berjam-jam. Malah, tidak juga mahir menulis artikel menarik serta mantap mengenai pelbagai ajaran dalam Islam.

Bagaimanapun, Badrul Hisham Mohamed Shari, 44, sedar dakwah tidak hanya bersandar kepada ceramah atau penghasilan kitab agama. Sesiapa saja perlu melaksanakan tugas itu mengikut kemampuan masing-masing.

Beliau berpegang kepada firman Allah bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan bertukar pendapat dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin." (Surah an-Nahl, ayat 125). Ayat ini begitu menginsafkannya bagaimana setiap umat Islam boleh melaksanakan tanggungjawab ke arah kebaikan walaupun sekadar nasihat atau bertukar pandangan.

Badrul Hisham sedar Allah mengurniakan bakat kepadanya dan perlu menggunakan anugerah itu sebaiknya. Beliau beriltizam memulakan usaha dakwah mengikut kemampuannya – menerusi lukisan kartun.

Kartunis yang juga Pengarah Seni di Galeri Ilmu Sdn Bhd itu berkata, berbanding ceramah atau artikel, kartun adalah medium yang lebih berkesan untuk mengetengahkan pelbagai isu termasuk ilmu agama kepada masyarakat.

Katanya, ini disebabkan kartun secara umumnya bertindak menyampaikan sesuatu idea secara santai, menyindir secara halus. Malah, lukisan kartun pula dihasilkan dengan konsep lucu menyebabkan ia boleh diterima kebanyakan masyarakat.

Badrul Hisham berkata, kebanyakan masyarakat di negara ini juga kurang gemar membaca, terutama bacaan yang mengupas isu berat atau artikel yang terlalu panjang menyebabkan kartun menjadi antara tarikan bagi mereka.

"Kebanyakan pembaca lebih suka membaca bahan bacaan ringan seperti cerita misteri atau hiburan. Mereka juga akan menyelak helaian muka surat dalam majalah atau buku dan akan berhenti pada muka yang memiliki kartun berbanding yang penuh dengan baris ayat," katanya.

Menyedari besarnya pengaruh kartun dalam masyarakat dan potensi bidang itu dalam berdakwah, beliau menggunakan sepenuhnya bakat melukis kartun untuk menghasilkan karya yang mampu mengajak masyarakat menuruti perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Badrul Hisham kini melukis kartun secara tetap untuk ruangan Sketsa Rumah Tangga dalam majalah bulanan Anis; Godaan Syaitan dalam majalah bulanan Asuh selain pelbagai ilustrasi dalam dua majalah itu serta majalah bulanan Asuh Kids.

Beliau mula berdakwah menerusi kartun bermula kira-kira 10 tahun lalu apabila diterima bertugas sebagai artis grafik bagi majalah terbitan Galeri Ilmu.

Selain bertanggungjawab menghasilkan grafik dan mereka bentuk paparan muka surat, beliau menghasilkan kartun untuk majalah berkenaan.

"Dakwah menerusi kartun pernah dipelopori beberapa majalah di negara ini sekitar 10 tahun lalu antaranya majalah OK! dan Lanun tetapi akhirnya majalah itu 'terkubur'. Sejak itu, saya dapati sudah tidak banyak kartun yang mengetengahkan unsur dakwah.

"Ramai kartunis mahu berdakwah menerusi kartun, tetapi tidak ada saluran berbuat demikian. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan itu," katanya.

Beliau berkata, kartunis yang ingin menghasilkan kartun sebagai bahan dakwah juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu dakwah. Antaranya memahami ajaran Islam, bijak mengenal pasti sasaran dan menyampaikan bahan secara berhikmah.

Dalam mengenal pasti isu yang sesuai bagi sasaran pembaca komik kartunnya, Badrul Hisham bergaul dengan rakan sekerjanya di kalangan wanita selain melihat telatah isteri, anak-anaknya dan masyarakat sekeliling.

"Saya juga gemar membaca banyak majalah untuk mendapatkan idea. Melukis kartun juga memerlukan imaginasi dan saya perlu meletakkan diri sebagai sasaran pembaca iaitu kanak-kanak atau golongan ibu ketika melukis.

"Saya juga perlu mengetahui ilmu agama seperti bagaimana berlakunya tipu daya syaitan untuk menghasilkan siri komik Godaan Syaitan," katanya yang turut menegaskan tanpa ilmu dakwah, lukisan kartun itu mungkin tidak diterima sasaran pembaca atau keterlaluan.

Katanya, berbanding ceramah, kartun akan dibaca oleh pembeli majalah yang puluhan ribu menyebabkan beliau sedar bahawa tanggungjawab memastikan sesuatu karya itu benar-benar berkesan menyampaikan dakwah, tidak boleh diambil mudah.


--
Posted by Pak Ngah to Bicara Bersama Pak Ngah at 6/22/2006 09:46:00 AM


--
"Sesungguhnya Solatku, Ibadatku, Hidupku dan Matiku adalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam"

Bicara Pak Ngah
http://pakngah70.blogspot.com/

Weblog OKU
http://ogos1992.blogspot.com/ __._,_.___

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com





SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




__,_._,___

Kirim email ke