Assalamualaikum warahmatullah…

Segala  puji  bagi  Allah,  Tuhan  sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan  yang  disembah  selain  Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi  bahawa  Nabi  Muhammmad  saw  itu  hamba  dan pesuruhNya. Selawat
berserta  salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq
terpuji  dan  menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh
dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem…

Tidak berapa lama dahulu saya ada menulis tentang seorang sahabat saya yang
'mengadu' kepada saya berkenaan tingkah beberapa teman kami yang kian
hanyut dan kini menjadi penagih syabu atau ice. Sahabat saya itu berharap
agar saya dapat 'melawat' teman² lama ini dan memberikan mereka nasihat
agar mereka tidak terus hanyut. Sayangnya, janji saya kepadanya masih belum
sempat saya tunaikan.

Hinggalah pada hari Sabtu minggu lepas. Ketika itu, rumah salah seorang
teman saya sedang sibuk membuat persiapan untuk perkahwinan adiknya pada
keesokan harinya. Saya berfikir bahawa ini mungkin masa yang paling sesuai.
Lalu, malam itu, sebaik pulang dari masjid selepas waktu Isyak, saya segera
menuju ke rumah teman saya itu. Sengaja saya datang dengan berpakaian gamis
dan serban yang masih terlilit di kepala.

Sebaik sampai, saya disambut oleh adik teman saya yang kemudiannya
menunjukkan saya tempat port mereka. Teman saya tadi separuh terkejut
melihat kehadiran saya. Apatah lagi apabila di tangannya terdapat sebiji
botol berisi air dengan dua batang terjulur keluar. Satu kelihatan seperti
batang paip manakala sebatang lagi, muncungnya terbenam di dalam air dengan
muncung yang lagi satu pula tercacak ke udara.

Di hujung muncungnya terdapat botol kecil dan di dalam botol itu kelihatan
serbuk² putih. Kemudian api kecil dinyalakan di bawah botol kecil itu
menukarkan serbuk putih tadi kepada asap yang kemudiannya melalui air
sebelum disedut oleh teman saya memasuki rongga mulut dan terus ke peparu
dan otaknya. "Mungkin ini agaknya yang dipanggil syabu," bisik hati saya.

"Kau tak kisah ke aku pakai macam ni lepak kat sini?" tanya saya kepada
mereka. "Kalau kisah, aku boleh balik tukar baju." sengaja saya mengumpan
dengan harapan itu boleh menjadi pembuka kata untuk 'sessi kuliah' saya.
Namun mereka semua berkata tidak kisah. Lalu saya simpan semua ayat yang
telah saya susun dan teruskan duduk bersama mereka dengan harapan peluang
yang lain akan tiba.

Ketika itu di kaca televisyen tertayang filem Tokyo Drift versi cetak
rompak. Tertarik dengan kereta² yang 'berlakon' dalam filem tersebut,
kebanyakan topik cerita kami berkisar tentang kereta. Seketika kemudian
teman saya menceritakan sesuatu yang mengejutkan saya. "Gua dah tolak
kereta gua." katanya. "Kenapa?" tanya saya. "Nak buat ikat jamin. Gua
sangkut hari tu..." saya tergamam seketika.

Saya tahu itu peluang untuk saya tetapi saya masih simpan ayat² berikutnya.
Masih belum sesuai masanya, kata hati saya. Seketika kemudian kami
dipanggil untuk mengemas meja kerana kumpulan Yaa Siin kaum ibu telah
selesai dengan majlis mereka. Kami meneruskan kerja tanpa menyebut apa²
tentang kisah tadi. Sehinggalah semuanya selesai, ketika saya duduk
berehat, teman saya datang kepada saya bersama dua gelas air.

"Lu sangkut tuari, mem lu tau tak?" tanya saya memulakan bicara. "Tau...Dia
yang jamin gua." jelasnya. "Dia tak cakap apa?" tanya saya lagi. Teman saya
menghembus nafas panjang sebelum menyambung "Nak cakap apa? Bukan benda
gua..." Katanya, sebenarnya dia menyediakan khidmat 'teksi sapu' dan pada
malam kejadian, dia hanya membawa seorang kawannya untuk bertemu
pelanggannya.

Tanpa disangka, pelanggan kawannya itu rupanya telah 'dipegang' oleh pihak
polis. Sebaik sampai, mereka terus ditahan dan terus digeledah. Mujurlah
teman saya tidak menyimpan apa². Namun dia terkandas dalam ujian air
kencing dan akan didakwa atas tuduhan memiliki dadah dalam badan. Hukuman
yang bakal diterimanya jika sabit kesalahan adalah penjara atau denda yang
tidak melebihi jumlah ikat jamin, katanya.

Saya terdiam sebentar. Kemudian saya merenung wajahnya tepat² sebelum
bertanya, "Lu dah kena mcam ni, tak ada niat nak berhenti ke?" "Itu la..."
katanya. "Gua nak buat loan ni. Lepas tu gua nak buka carwash. Kalau
carwash ni menjadi, memang gua tak nak sentuh lagi benda² macam ni."
Katanya membuatkan saya sedikit lega. Sekurang²nya dia masih ada niat
hendak bertaubat.

Tetapi, yang tidak kenanya, mengapa setelah perniagaan mencuci keretanya
berjaya baru hendak berhenti? Kenapa tidak sekarang? "Pye... Banyak orang
yang nak buat kebajikan. Nak buat kebaikan. Tapi kebanyakannya meletakkan
syarat atas setiap kebajikan atau kebaikan yang mereka hendak buat itu.
Mereka buat kebajikan yang bersyarat. Kebajikan yang hanya akan dilakukan
setelah apa yang mereka mahukan tercapai."

"Sedangkan, sepatutnya mereka lakukan kebajikan dulu barulah berfikir untuk
mencapai matlamat. Itulah masalahnya..." saya menjelaskan kepadanya. Saya
lihat dia separuh termenung sambil mengurut dahi dan mengangguk²kan
kepalanya. "Betul cakap lu. Tak ada yang salah pun," katanya pula. Saya
meneguk air sebelum menyambung kata² setelah melihatkan reaksi positif
daripadanya.

Sebenarnya, saya sendiri pernah terlibat dalam kebajikan yang bersyarat
ini. Suatu ketika dahulu, sebelum saya menyertai syarikat tempat kerja saya
sekarang dan sangat² ghairah untuk menyertainya, saya pernah bercerita
kepada tunang saya (kini isteri) bahawa jika saya diterima bekerja di sini,
saya akan peruntukkan sepuluh peratus dari gaji bulanan saya untuk kerja²
amal di masjid.

Saya berniat baik. Mahu lakukan amal kebajikan. Tetapi silapnya saya
letakkan diterima bekerja di syarikat ini sebagai syarat untuk saya
melakukan amal kebajikan itu. Dan, dengan izin Allah, saya diterima bekerja
di sini. Dan sememangnya gaji saya hari ini seperti mana yang saya harapkan
suatu ketika dahulu. Tetapi malangnya, kebajikan yang saya janjikan tidak
pula saya buat walaupun syarat yang saya letakkan telah dipenuhi.

Sepuluh peratus? Jangan harap. Paling² pun hanya satu peratus sahaja yang
saya dermakan di masjid setiap bulan. Selebihnya, saya gunakan untuk
membeli kereta lagi satu, untuk membeli rumah, untuk pergi Cuti² Malaysia
dan berbagai² untuk lagi yang sebenarnya tidak termasuk dalam syarat yang
saya kenakan pada awal tadi. Hingga hari ini, saya merasakan angka sepuluh
peratus itu cukup besar dan tidak mampu dipenuhi.

Kerana itu saya katakan kepada teman saya tadi, tidak boleh ada syarat jika
hendak melakukan kebaikan. Harus dibuat tanpa bergantung kepada apa². Jika
hendak berderma, berdermalah tanpa tunggu mendapat gaji yang lumayan. Jika
hendak berhenti dari berbuat maksiat, berhentilah tanpa perlu menunggu
perniagaan kita maju jaya. Seharusnya, kejayaan mengirinya kebajikan, bukan
sebaliknya.

Kita mahu beramal kepada Allah. Tetapi dengan syarat Allah membantu kita.
Bukankah itu songsang namanya? Apakah Allah itu lemah dan bergantung kepada
pertolongan kita untuk mentadbir alam? Maha Suci Allah dari sebarang
kelemahan. Tidak. Sebaliknya, kitalah yang sepatutnya beramal dahulu.
Semoga dengan amalan itu, Allah akan menjadi suka untuk membantu kita dalam
urusan dunia. Itu baru betul.

Berjanji itu mudah tetapi menunaikannya seperti terpaksa menelan biji
cempedak. Mungkin boleh ditelan tetapi memang peritlah tekak dibuatnya.
Silap² boleh sesak nafas. Jadi yang sebaiknya, janganlah mulakan berjanji
jika ianya tidak diperlukan. Apatah lagi berjanji dengan Allah. Sedang
janji doa iftitah (solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah)
terlalu payah hendak ditunaikan. Ditambah pula dengan janji lain?

Saya telah buat kesilapan, kata saya kepadanya. Dan saya tidak mahu ada
antara teman saya yang lain melakukan kesilapan. Kebajikan tidak sekali²
boleh didahulukan dengan syarat. Buatlah perkara yang baik. InsyaAllah
kemudiannya Allah akan tunaikan hajat dan harapan kita. Seperti hendakkan
kenaikan gaji. Perlu kerja rajin² barulah fikir tentang kenaikan. Bukan
dapat kenaikan baru hendak kerja rajin². Bukan?

Malam menjadi semakin larut. Saya bersiap untuk pulang. Tetapi sebelum itu,
saya berikan dia tips untuk dimurahkan rezeki. Gembirakanlah hati ibu bapa.
InsyaAllah, dengan keberkatan perbuatan itu, Allah akan gembirakan kita.
Tetapi berbuat begitu biarlah ikhlas. Jika tidak, kita akan jadi tertunggu²
pula balasan kebaikan dari Allah. Jika Allah lewatkan sedikit balasan
kebaikan, kita pun mulalah rasa putus asa. Akhirnya, status anak soleh
bertukar menjadi anak derhaka. Wana'uzubillah.

"Untuk lu Pye, ada dua perkara yang gua rasa mem lu nak sangat lu buat dan
akan buat dia happy. Satu, lu berhenti benda haram ni. Dan kedua, lu kahwin
cepat². Kalau lu buat dua benda ni, insyaAllah dia happy. Lepas tu, barulah
lu boleh letak harapan untuk dapat apa yang lu nak. Kebajikan tidak boleh
bersyarat..." dia hanya tersengih. Saya tidak tahu sama ada ini termakan
oleh akalnya. Tetapi saya tetap berdoa dia akan berubah. Amin...

Sekian  buat  kali.  Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik
adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

-Abu Naqibah-

InsyaAllah akan bersambung lagi.
Komen  dan  kritikan  membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED]
atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke