Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Di Bulan Ramadhan
 
Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah 
bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi 
haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh 
berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak 
boleh membaca al-Qur'an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar 
hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka 
didatangi haid?
 
            Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur'an ketika 
haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: "Bukankah 
wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-
Qur'an?" Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam. 
Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita 
memegang dan membaca al-Qur'an ketika didatangi haid, sama ada di 
bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.
 
Pertama: Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur'an.
 
            Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan 
tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh. Pendapat yang pertama 
merujuk kepada firman Allah:
 
            "Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang 
diakui bersih suci." [al-Waqiah 56:79]
 
            Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi 
wasallam: 
            Tidaklah menyentuh al-Qur'an dan tidak juga mushaf 
melainkan orang yang suci.[1]
 
            Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada 
kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan 
semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang 
melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, 
berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-
Qur'an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang 
haid daripada memegangnya.
 
            Ayat al-Qur'an yang dijadikan rujukan oleh pendapat 
pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-
Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana 
yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:
 
            "Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang 
tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh 
melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu 
diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam." [al-Waqiah 56:77-80][2]
 
            Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat "fii Kitabim-
maknun" bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-
Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.[3]
 
            Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang 
kitab al-Qur'an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, 
di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat 
sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.
 
            Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak 
tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci 
adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) 
dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki 
banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu 
melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut. 
 
            Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci 
daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci 
daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas 
kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu'. Ia juga boleh 
bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap 
orang-orang musyrik: 
 
            "Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis." [al-Taubah 
9:28] 
            Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan 
suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji 
keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang 
dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang 
sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang 
penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan 
Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut 
bertujuan melarang al-Qur'an daripada disentuh oleh orang bukan 
Islam. 
 
            Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur'an 
kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu 
petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya 
merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya 
melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf 
al-Qur'an.
 
            Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, 
yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang 
wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur'an. 
 
Kedua: Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur'an.
 
            Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah 
shallallahu 'alaihi wasallam: 
 
            Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur'an 
seorang yang dalam keadaan junub atau haid.[4]
 
            Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun 
setiap darinya adalah dha`if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah 
(676H):[5]
 
            Adapun hadis Ibn Umar: "Tidak boleh membaca sesuatu apa 
jua daripada al-Qur'an seorang yang dalam keadaan junub atau haid", 
maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan 
selainnya. Ia adalah hadis yang dha`if, didha`ifkan oleh al-Bukhari, 
al-Baihaqi dan selainnya. Kedha`ifan yang terdapat padanya adalah 
jelas.
 
            Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita 
yang sedang haid daripada membaca al-Qur'an kerana diqiyaskan 
keadaan haid kepada keadaan junub.[6] Namun hal ini dianggap tidak 
tepat kerana dua sebab:
 
            1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-
perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi 
wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya 
disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia 
dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya 
(`illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara 
lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila 
pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang 
wanita yang haid daripada membaca al-Qur'an, maka tidak perlu bagi 
orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.
 
            2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. 
Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan 
untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar 
daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau 
tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa 
pilihan.
 
            Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian 
dan keagungan al-Qur'an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh 
membaca (mentilawahkan) al-Qur'an kecuali beberapa perkataan atas 
dasar zikir dan memperoleh keberkatan.[7]
            Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang 
wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci 
dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya 
dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, 
tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari`atan mandi wajib selepas 
berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia 
suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat 
najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan 
al-Qur'an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam 
keadaan haid.
            Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan 
diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik 
ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya 
kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa 
tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah 
bersabda: 
 
            Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang 
mukmin tidaklah ia menjadi najis.[8] 
 
            Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di 
atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia 
sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam 
keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang 
sedang haid. 
 
            Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-
kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):[9]
 
            Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada 
zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya 
membaca al-Qur'an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) 
sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam 
akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada 
para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada 
mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) 
yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak 
boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda 
tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal 
ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah 
bahawa ia sememangnya tidak haram.
 
Kesimpulan:
 
            Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman:
 
            "Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang 
syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang 
(hendak) bertaqwa." [al-Baqarah 2:1-2]
 
            Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-
Qur'an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk 
ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para 
wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan 
bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan 
sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur'an dan al-Sunnah 
yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada 
memegang dan membaca al-Qur'an seperti biasa. Adapun pendapat yang 
mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun 
masyhur.
 
_____________________________________
Nota Kaki:
[1] Sahih: Hadis daripada `Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, 
dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui 
beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap 
darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat 
ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan 
Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-
Isyraf `ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, 
ms. 77-82.
 
[2] Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat 
wajib berwudhu' sebelum memegang al-Qur'an, baik bagi lelaki atau 
wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui 
bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib 
berwudhu'. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-
Qur'an sekalipun tanpa berwudhu'.
 
[3] Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi`in 
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii 
al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. 
Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-`Uyun (Dar al-Kutub al-
Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.
 
[4] Dha`if: Hadis daripada `Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, 
dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. 
Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha`if. Shaikh al-
Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala 
Badri `Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat 
diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi 
Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis 
no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.
 
[5] Majmu' Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya' al-Turath al-Arabi, Beirut 
2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan 
mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara). 
 
[6] Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, 
berkata al-Musannif: "Dan dilarang atasnya membaca Qur'an….").
 
[7] Lihat al-Kasani – al-Bada`i al-Sona`i (Dar al-Kitab al-Arabi, 
Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu').
 
[8] Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan 
Muslim, lihat al-Lu' Lu' wa al-Marjan (Fu`ad Abdul Baqi; Dar al-
Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.
 
[9] Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa', Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. 
Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihya' al-Turath 
al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-
Qur'an dan bersujud dan menyentuh mushaf).






--------------------------------------------------------------------------
**Boycott Israel**Support Palestine** 

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest". 

--------------------------------------------------------------------------

Affiliates:
Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices 
http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/

iPerintis - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim  
http://groups.yahoo.com/group/iperintis/

Recommended sites:
Angkatan Belia Islam Malaysia  : http://www.abim.org.my
Jamaah Islah Malaysia          : http://www.jim.org.my
Radio Islam Kuliyyah           : http://www.kuliyyah.com
Palestinkini Info              : http://www.palestinkini.info
Partai Keadilan Sejahtera      : http://pk-sejahtera.org
Fiqh Siber                     : http://al-ahkam.net/
The Muslim Brotherhood         : http://ikhwanweb.com
Hidayahnet website             : http://hidayahnet.multiply.com/   
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke