Kelantan anjur Festival Filem Islam Antarabangsa                          
  
                         
                        
                                       Salmah Mat Husain      
         Tue | Dec 19, 06 | 11:27:43 AM                         KOTA BHARU, 19 
Dis (Hrkh) -  Kelantan sekali lagi bakal mencipta sejarah dalam bidang seni 
apabila berhasrat menganjurkan Festival Filem Islam Antarabangsa tahun hadapan 
sempena program Tahun Melawat Malaysia 2007.

 
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, diharap festival 
berkenaan dihadiri penerbit-penerbit filem Islam di peringkat antarabangsa yang 
sudah lama mencipta nama.

 
 Menurutnya, tokoh-tokoh perfileman dunia terutamanya dari Iran akan dijemput 
menghadiri program berkenaan.

 
“Dengan adanya pesta filem ini membuktikan kerajaan Kelantan tidak menolak 
peranan seni lakon dalam usaha mendidik masyarakat, selagi ia tidak bercanggah 
dengan Islam,” katanya selepas merasmikan pusat animasi terulung di negara ini 
di KB Mall di sini, hari ini.

 
Pusat itu dikenali sebagai Pusat Animasi Darul Digital menyediakan kursus 
jangka pendek bagi melahirkan lebih ramai karyawan dalam bidang berkenaan di 
negara ini.

 
 Penggerak utama projek tersebut iaitu pengarah filem terkenal Dato’ Jamil 
Sulong dan isterinya Datin Rosnani Jamil. Darul Digital adalah anak syarikat 
kerajaan negeri di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

 
Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika berucap merasmikan penubuhan Darul Digital 
berharap filem-filem animasi yang bakal dilahirkan lebih bercorak Islam 
sehingga ia dapat dipasarkan ke luar negara khususnya negara-negara Islam.

 
Menurutnya, pahlawan Melayu yang menentang penjajah seperti Mat Kilau, Tok 
Janggut dan ulama terkenal antaranya, Tok Kenali hendaklah digarap semula 
sejarah hidupnya melalui filem animasi.

 
“Begitu juga sejarah pejuang-pejuang Islam Salahuddin Alayubi, Iskandar 
Zulkarnain termasuk saintis Islam juga hendaklah diketengahkan supaya dapat 
dihayati generasi sekarang,” ujarnya.

 
Menurutnya bakal karyawan Kelantan tidak mustahil akan menjadi terkenal 
menerusi filem animasi sekiranya mereka tekun mengikuti kursus yang diadakan.

 
 “Namun apa yang lebih penting setiap karya yang dihasilkan hendaklah 
berlandaskan Islam agar ia mampu mendidik masyarakat supaya berpegang teguh 
kepada ajaran Islam."

 
 “Kita berharap Darul Digital dapat membentuk syaksiah remaja di negeri ini 
sehingga dapat menonjolkan imej yang baik,” katanya.

 
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan 
Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, seramai 300 pelajar bakal 
diambil bagi mengikuti kursus animasi.

 
 Katanya, setiap pelajar dikenakan bayaran RM2,500 bagi satu sesi kursus yang 
mengambil tempoh enam minggu.

 
Beliau berkata, hasrat Kelantan untuk melahirkan para karyawan menerusi filem 
animasi akan berjaya sekiranya mereka tekun mendalami kursus yang dipelajari.

 
 “Ada juga yang meminta kursus berkenaan diadakan pada hujung minggu dan 
Insya-Allah kita akan cuba pertimbangkannya bagi membolehkan lebih ramai 
peserta mengikuti kursus tersebut."

 
“Apa yang penting kepada kita rakyat Kelantan mampu menghasilkan filem animasi 
berimej Islam yang hebat sehingga mampu dieskport ke negara lain,” ujarnya. 

                
---------------------------------
 Inbox full of spam? Get leading spam protection and 1GB storage with All New 
Yahoo! Mail.

Kirim email ke