Beri 'isyarat jelas' kepada kerajaan dalam himpunan bantah tol 7 Januari 
- Penganjur                            
                         
                        
                                       Azamin Amin      
         Wed | Jan 03, 07 | 04:15:35 AM                        KUALA LUMPUR, 3 
Januari (Hrkh) - Kenaikan kadar tol di lima lebuh raya sekitar Lembah Klang 
berkuatkuasa pada 6.00 pagi 1 Januari lalu menghimpit kehidupan warga kota 
terutamanya yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi ketika ini bagi mereka 
yang mempunyai anak yang bersekolah, segala yuran perlu dilunaskan secepat 
mungkin.

 Terbeban, tersiksa dan teraniaya, inilah perkataan yang kini bersarang di 
minda golongan ini dan sebagai penyudah kepada himpitan yang amat mencengkam 
ini, mereka kini berhadapan dengan kegetiran yang melampau yang mana mungkin 
sekali lagi terpaksa bertemu 'Along' untuk meminjam wang.

 
Meskipun kadar cukai jalan bagi kenderaan persendirian telah dikurangkan, namun 
rakyat masih terasa kenaikan kadar tol adalah satu 'penindasan terancang yang 
berpajangan'.

 
Sehubungan itu bagi merealisasi kemarahan terhadap penindasan ini, rakyat 
Malaysia khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang diminta turut serta dalam 
demonstrasi membantah kenaikan tol pada 7 Januari (Ahad ini) di hadapan Sunyway 
Pyramid bagi menyatakan bantahan kepada kerajaan supaya tidak 
sewenang-wenangnya melakukan 'penindasan'.

 
Setiausaha Gabungan Protes Kenaikan Harga Tol, Dr Hatta Ramli berkata 
demonstrasi yang akan bermula ada jam 4 petang itu selain bantahan ianya 
sebagai satu 'mesej' dan isyarat jelas kepada kerajaan agar tidak mudah 
memperjudikan nasib rakyat yang semakin terhimpit dengan pelbagai beban 
kenaikan barangan dan bahan bakar sejak tahun lalu.

 
"Kita mahu seluruh rakyat tunjukkan bantahan secara sunguh-sungguh supaya 
kerajaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan tol dan seterusnya membatalkan 
kenaikan yang diumumkan baru-baru ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily 
sebentar tadi.

 
 "Kita juga mahu kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi tol  yang dirahsiakan 
selama ini daripada rakyat," katanya lagi.

 
 Selagi kerajaan merahsiakan katanya selagi itulah kerajaan akan menggunakan 
perjanjian konsesi tersebut sebagai alasan untuk menaikkan lagi tol di 
masa-masa akan datang.

 
"Dan lagu lama akan didendangkan semula oleh Samy Vellu... bahawa kerajaan 
terpaksa membayar pampasan jutaan ringgit kepada syarikat konsesi," katanya.

 
"Kita mesti nyatakan bantahan bahawa tindakan kerajaan menaikkan tol ini adalah 
tindakan berat sebelah dan menyusahkan rakyat!" katanya lagi.

 
Katanya pada demostrasi tersebut, pihaknya akan mengedarkan maklumat berkaitan 
tol dalam bentuk risalah-risalah supaya rakyat akan mula menyedari dan prihatin 
terhadap 'penindasan' yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat selama ini 
dan dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya peka kepada isu-isu semasa.

 
"Rakyat tidak boleh berdiam diri lagi kali ini, mesti peka kepada isu-isu 
semasa yang 'menghimpit' mereka dan tunjukkan isyarat jelas kepada kerajaan. 
Ini tanggungjawab bersama," katanya.

 
"Jika tidak, kerajaan akan mempermain-mainkan lagi nasib dan hidup rakyat 
semakin menekan dan terbeban selama ini," katanya lagi.

 
Sekiranya rakyat terus 'senyap', kerajaan akan menggunakan alasan tersebut 
untuk menaikan bukan setakat tol malah pelbagai lagi barangan dan kos keperluan 
hidup rakyat di masa akan datang, katanya.

 
 Kadar tol di lima lebuh raya sekitar Lembah Klang naik antara 30 sen dan RM1 
mulai 1 Jan ini.

 
Lima lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya 
Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Koridor 
Guthrie.

 
Kadar baru bagi LDP ialah RM1.60 (naik 60 sen), Lebuhraya Shah Alam RM2.20 
(naik 70 sen), Lebuhraya Cheras-Kajang (Batu 9) RM1 dan (Batu 11) 90 sen 
(kedua-duanya naik 30 sen), Lebuhraya KL-Karak (Gombak) RM5 (naik RM1) dan 
(Bentong) RM3 (naik 50 sen) dan Lebuhraya Koridor Guthrie RM1.40 (naik 40 sen).

 
 Kadar ini adalah untuk kereta yang diklasifikasikan sebagai Kelas satu./wann.  
   

 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke