Kali ini saya akan menulis tentang memahami mesej Al-Qur'an. Apa yang dikatakan 
sebagai Tafsir Al-Qur'an yang terdapat dalam buku-buku terjemahan Al-Qur'an 
dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris hanyalah setakat terjemahan, BUKAN 
tafsir Al-Qur'an yang sebenarnya. Jika anda membaca sebuah buku berupa 
terjemahan Al-Qur'an anda tidak boleh berkata bahawa itu adalah Al-Qur'an yang 
sebenarnya.

Al-Qur'an yang sebenarnya ialah yang wujud dalam Bahasa Arab dan pentafsiran 
hendaklah difahami mengikut kaidah-kaidah bahasa Arab, bukannya bahasa lain. 
Ini mengikut ayat yang bermaksud:

"Kami telah turunkannya (Al-Qur'an) dalam Bahasa Arab semoga kamu berfikir" 
[Surah Yusuf (12):2]

Oleh itu jika kita melihat ada orang yang mengajar tafsir Al-Qur'an dan dia 
semata-mata membaca buku terjemahan dan tidak merujuk kepada kaidah-kaidah nahu 
dan 'irab bahasa Arab, maka itu adalah salah dan tidak bersifat amanah.

Jika kita melihat orang itu bersyarah berjela-jela tentang ayat-ayat Al-Qur'an 
sedangkan dia tidak mahir dalam ilmu-ilmu kaidah, maka dia itu mencampuradukkan 
kebenaran dengan pembohongan. Syarahannya itu adalah terpesong dan dibuat-buat.

Dengan itu, untuk mengetahui tafsiran Al-Qur'an yang sebenarnya, hendaklah 
dibaca daripada kitab-kitab tafsir yang ditulis oleh ulama-ulama tafsir dahulu 
kala yang berwibawa. Anda mestilah bertanya kitab tafsir apa yang dia baca dan 
mengajar. Jika ada orang berkata, si ustaz atau tok guru itu mengajar, sebagai 
contohnya, kitab Tafsir Jalalain, maka orang yang mengajar itu berada atas 
jalan yang benar. Jika dia membaca dan mengajar buku Terjemahan Al-Qur'an, 
hendaklah kita berhati-hati kerana orang yang mengajar itu TIDAK memahami 
Al-Qur'an.

Kitab Tafsir Jalalain walaupun sebuah kitab tafsir yang kecil, tapi isi 
kandungan adalah saringan daripada pentafsiran ulama-ulama tafsir dalam bahasa 
Arab. Tafsir Jalalain itu amat berhati-hati dalam memperkatakan tentang tafsir 
Al-Qur'an. Dalamnya dikupas tentang lughah, nahu, qiiraat, balaghah, 
asbabun-nuzul, dan 'iraab.

Saya melihat ramai orang yang mengajar tafsir Al-Qur'an, tetapi terpesung 
daripada maksud asal yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab. 
Ini kerana mengajar tafsir berdasarkan terjemahan adalah tidak tepat.

Sebagai contoh lagi, sila anda lihat kitab tafsir Al-Baidhawi, sebuah kitab 
tafsir yang sederhana saiznya, tetapi telah dihuraikan dengan lebih panjang 
oleh ulama-ulama tafsir agar kitab tafsir Al-Baidhawi yang agak "rengkas" itu 
tidak disalah faham oleh pembaca yang kurang pengalaman. Kita dengar nama-nama 
seperti Hasyiah Syeikh Zadah dan Hasyiah Al-Khafaji yang merupakan peringatan 
tambahan kepada tafsir asal Al-Baidhawi.

Oleh kerana di zaman ini timbulnya trend orang-orang yang bersyarah dan 
mengajar tapi tidak sedar mereka sebenarnya memutarbelitkan ayat-ayat Al-Qur'an.

Kitab Tafsir Al-Jalalain sendiri ada dua hasyiahnya, iaitu Hasyiah Al-Jamal dan 
Hasyiah As-Sowi.

Jika anda meminati limu tafsir Al-Qur'an, sebaik-baiknya hendak anda pelajari 
ilmu nahu bahasa Arab secara sempurna daripada kitab-kitab nahu ulama silam 
seperti Ibnu Aqeel dan Ibnu Hisham. Mereka adalah ulama-ulama dahulu kala yang 
muktabar keilmuan mereka dan sangat cermat. Kemudian bacalah kitab-kitab tafsir 
seperti Ar-Razi, Al-Qurtubi dan Al-Alusi.

Jika anda berminat tentang tafsir secara riwayat, boleh dipilih Tafsir Ibnu 
Kathir. Jika anda ingin tahu tentang kisah-kisah, bacalah tafsir Al-Khazin. 
Jika anda ingin menempuh lautan ilmu tafsir yang meluas, bacalah Tafsir 
Al-Alusi. Jika anda mahu tahu intisari tafsir-tafsir secara rengkas, bacalah 
Sofwatut-Tafasir oleh Muhd Ali As-Sobuni, dan tafsir-tafsir oleh Dr Wahbah 
Az-Zuhaili.

Ada orang yang menggunakan kitab-kitab tafsir susunan Dr Wahbah Az-Zuhaili, itu 
boleh dan baik bagi manusia moden. Ini kerana Dr Wahbah telah membuat sumbangan 
besar dengan memetik isi dan mesej daripada kitab-kitab tafsir muktabar 
ulama-ulama terdahulu, dimuatkan ke dalam kitab-kitab susunannya, contohnya, 
Tafsir Al-Munir.

Kirim email ke