Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Ada beberapa perkara yang saya banggakan dengan Masjid Jamek Kampung Melayu di Johor Bahru. Bukan kerana ianya besar dan semakin membesar serta kerja-kerja memperindahkannya yang sedang giat dijalankan tetapi atas beberapa perkara lain. Antaranya ialah imam yang menitik beratkan soal melurus dan merapatkan shaf serta menghidupkan masjid dengan banyak aktiviti tanpa perlu mengundang ustaz dari luar. Selain dari itu, bilangan jemaah yang semakin bertambah juga membuatkan saya berasa semakin gembira berjemaah di sana. Hanya, apabila bertambahnya bilangan jemaah, maka masalah tempat meletak kereta akan mula kelihatan. Kerana, selain dari jemaah yang menyambut seruan muazzin, ada juga ‘jemaah kedai makan’ di seberang jalan dan ‘jemaah pasar malam’ turut meletakkan kereta di situ. Namun ianya bukanlah masalah yang besar mana. Kerana tempat meletak kereta di masjid ini agak luas. Hanya, mungkin terpaksa berjalan jauh sedikit sebelum tiba di pintu hadapan masjid. Yang menjadi masalah sebenarnya ialah sikap sesetengah jemaah yang enggan meletakkan kereta sebagaimana sepatutnya. Tidak kiralah jemaah masjid atau ‘jemaah kedai makan’, masalahnya kereta diletakkan sesuka hati. Hendak dikatakan tidak faham dengan papan tanda yang tertulis “Sila Letakkan Kenderaan Anda Dalam Kotak Yang Disediakan’ pun tidak boleh juga kerana majoriti penduduk Kampung Melayu adalah orang Melayu. Hendak dikatakan buta huruf lagilah tidak boleh kerana jikalau buta huruf, bagaimana pula mereka boleh lulus ujian bertulis ‘L’ ketika mengambil lesen memandu? Bukan? Pada suatu ketika, ketika tiba di masjid, saya lihat sebuah kereta yang diletakkan ‘di atas’ garisan yang memisahkan dua tempat letak kereta. Di sebelah kereta ini adalah ruang kosong dan dalam jarak dua kotak, terdapat sebuah kereta lain. Ketika saya tiba, saya segera meletakkan kereta di sebelah kereta yang pertama tadi. Bagaimana? Dalam keadaan yang sama. Kereta saya di atas garisan yang memisahkan dua kotak letak kereta. Saya berasa agak tidak selesa begitu kerana saya telah menggunakan ruang yang sepatutnya, jika kereta kami diletakkan dengan betul, akan membolehkan sebuah lagi kereta diletakkan. “Ah… Bukan salah aku. Salah kereta sebelah ni…” bisik hati saya. Tetapi kemudian saya jadi terfikir. Jika beginilah caranya saya bertindak, maka tidak perlu hairan mengapa kemungkaran berleluasa di dalam dunia hari ini. Saya sengaja meletakkan kereta tidak mengikut kotaknya kerana saya berpendapat, kereta di sebelah yang mula berbuat begitu. Tindakan saya yang ‘meredhakan’ kesalahannya adalah satu kesilapan yang agak besar. Baiklah, saya boleh beralasan saya tidak kenal siapa pemandunya. Tetapi yang menjadikan masalah ini lebih besar ialah sikap saya yang turut berbuat kesalahan yang sama dan kemudiannya menggunakan alasan ‘terpaksa’. Cuba kita letakkan contoh ini dalam kehidupan seharian kita. Sebagaimana seorang yang memohon lesen untuk berniaga yang mahukan kelulusan segera lesennya. Dia segera ‘menjolok’ orang yang menguruskan lesennya demi menunaikan harapannya. Disebabkan itu, dia telah melangkaui beberapa permohonan yang terlebih dahulu darinya. Apa yang terjadi kepada orang yang dilangkaunya? Sakit hati? Sudah pasti. Jalan mudah, dia juga turut menyogok untuk mempercepatkan kelulusan permohonannya. Dan beginilah seterusnya sehingga akhirnya perbuatan menyogok menjadi resam kita. Inilah yang saya maksudkan. Kerana sakit hati hak kita diambil oleh orang lain secara biadap, maka kita bertindak mengambil pula hak orang lain, juga secara biadap. Dengan perbuatan yang sebegini, bilakah agaknya kesongsangan ini akan terhenti? Sebenarnya, kita sudah terlalu banyak bertoleransi dengan kemungkaran yang terjadi di sekitar kita dengan alasan, sudah terpaksa atau ianya sudah menjadi kebiasaan dalam hidup kita. Tetapi, apabila diungkitkan tentang sesuatu gejala yang besar, kita mula membebel menyalahkan orang lain sedangkan hakikat sebenar, kita yang meninggalkan dakwah dan sibuk berkompromi dengan maksiat, langsung tidak kita peduli. Hari ini, apabila kejadian gejala seperti ‘Mat Rempit’, persetubuhan luar nikah atau berzina, murtad dan yang lain-lainnya berlaku sebenarnya salah siapa? Benar, pihak berwajib memang memegang saham terbesar kerana mengenepikan pendidikan Islam tetapi apakah kita boleh berlepas tangan? Sama sekali tidak. Setiap dari kita juga perlu merasa bersalah atas kesongsangan ini. Kerana kegagalan kita membentuk suasana. Iman masyarakat kita hari ini adalah iman suasana. Perbuatan zina tidak berlaku di khalayak hanya kerana suasana kita yang menolak perbuatan itu. Namun jika suatu masa nanti, kita sudah boleh menerima perbuatan ini dan berzina adalah ‘suasana yang direstui’, tentunya melihat pasangan muda ‘bertenggek’ di kebun-kebun bunga bukan lagi sesuatu yang mengkengkilkan biji mata kita. Pentingnya menimbulkan suasan yang positif, berakhlak dan beriman di dalam masyarakat kita sebenarnya sama pentingnya dengan minum air selepas makan. Kita masih boleh hidup tetapi mungkin akan terbegik dan silap haribulan, boleh mati mengejut. Jika kita gagal menimbulkan suasana sebegini, maka janganlah bermimpi kita akan memperolehi sebuah masyarakat madani yang kaya dengan iman dan amal. Saya selalu terfikir. Orang di barat begitu terkenal dengan nude beach mereka. Tanpa segan silu, semua pengunjung di situ akan berbogel seolah ianya bukanlah perkara yang memalukan. Tetapi, orang yang sama, jika dibawa ke tengah-tengah pusat membeli-belah yang ramai pengunjungnya, kemudain dikoyakkan bajunya sehingga terlihat colinya, pasti akan menjerit dan berusaha menutup dadanya. Mengapa? Bukankah dia sudah biasa berbogel di tepi pantai? Mudah sahaja jawapannya. Kerana suasana. Disebabkan di tepi pantai itu kesemua yang datang berbogel, maka tidak timbul rasa malu di kalangan mereka. Malah mungkin yang tidak berbogel yang akan jadi malu. Tetapi, di tempat yang semua orang berpakaian, tentu sahaja berbogel, walaupun masih ditutupi pakaian dalam, menjadi sesuatu yang amat memalukan. Itulah hakikat suasana. Usaha gerakan Tabligh sebenarnya cuba membentuk suasana sebegini. Suasana ke masjid, suasana menuntut ilmu, suasana beramal dan banyak suasana-suasana lain yang diketahui diamalkan oleh para sahabat Rasulullah saw dahulu. Sayangnya usaha yang baik ini sering ditentang oleh bukan sahaja orang awam, bahkan AJK masjid dan surau kerana risaukan bil air dan elektrik mereka yang akan meningkat. Ada juga pengerusi yang tanpa segan silu meminta ahli jemaah membayar sekian banyak bayaran demi maksud terbabit. Semuanya kerana suasana hari ini yang begitu mementingkan duit sehinggakan ianya lebih dipentingkan daripada usaha untuk keluar pada jalan Allah. Dan jikalau suasana sebegini berterusan dan tidak dikekang, tidak mustahil suatu hari nanti untuk bersolat di dalam masjid juga akan dikenakan bayaran. Terlalu banyak suasana kerosakan yang terbentuk dalam kehidupan kita hari ini. Sehinggakan anak menonton konsert pun kita anggapkan biasa kerana ianya bersesuaian dengan jiwa remaja mereka. Mungkin ramai yang lupa. Jika suasana iman tidak dapat dibentuk, malah ditentang pembentukannya, mungkin kita sebenarnya sedang mengundang azab Allah. Sebenarnya, kita sedang mempercepatkan qiamah… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/