Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Antara kedai kegemaran yang saya akan singgah apabila berkunjung ke pusat membeli belah adalah kedai buku. Entah mengapa, semenjak di bangku sekolah rendah lagi memang itulah tempat kegemaran saya. Jika tidak melihat buku pun, saya akan menelek alat-alat tulis yang banyak terjual di situ. Bukan setiap kali saya berkunjung saya pasti akan membeli buku. Ia bergantung juga kepada keadaan. Keadaan buku dan keadaan poket saya sendiri :) Biasanya buku yang menjadi pilihan saya adalah buku-buku agama terutama kisah-kisah sighah para anbiyak dan para sohabat. Rasanya, membaca kisah dan pengorbanan mereka lebih menarik dari novel cinta yang banyak terdapat di pasaran. Tetapi adakalanya, saya beli juga buku ilmiah lain. Bergantung kepada siapa penulisnya. Pada kebiasaan, saya akan membaca sinopsisnya dahulu, kemudian biodata penulisnya (jika tidak saya kenali). Jika sinopsis dan biodata penulisnya memuaskan hati, barulah saya akan selak secara rawak bagi memerhatikan gaya bahasa yang digunakan. Jika buku itu hasil terjemahan, akan saya periksa dahulu corak penterjemahannya. Ada juga terdapat terjemahan yang menyakitkan kepala dan hati apabila membacanya. Kemudian, jika puas hati segalanya, barulah saya membayar, jika harganya berpatutan. Langsung saya tidak peduli dengan corak kulit bukunya. Tidak penting sama sekali. Kerana bukan semua orang mempunyai keupayaan untuk mencorak kulit buku. Adakalanya corak buku yang 'memberahikan' sebenarnya diisi dengan kisah cinta yang kosong. Dan adakalanya juga, kulit bukunya hanya gambar kartun atau gambar-gambar yang lesu tetapi isi kandungannya cukup menyentuh perasaan. Mungkin benar juga pendapat orang bahawa sebuah buku itu tidak patut dinilai berdasarkan kulitnya. Buku berkulit cantik tidak menjanjikan bahan yang menarik dan begitulah sebaliknya. Rasanya saya amat bersetuju dengan pendapat sebegitu. Tetapi... Apabila ada orang yang cuba mengaitkan pepatah itu dengan manusia, dengan mengatakan bahawa orang yang berperwatakan baik belum tentu baik, rasanya susah untuk saya mengiyakannya. Pertamanya, manusia bukan seperti buku. Jikalau manusia itu seperti buku, alangkah mudahnya. Mana-mana bahagian yang tidak kita gemari, tentu sahaja boleh kita langkaukan kalau pun tidak disiatkan terus. Dan keduanya, sebagai individu muslim, bukankah kita diajarkan betapa pentingnya penampilan kita sebagai muslim. Kita diajarkan untuk menutup aurah, yang mampu membezakan mukmin dengan yang kufur. Selain itu sebagai lelaki, kita juga dididik oleh Rasulullah untuk mengikuti sunnahnya. Bukan setakat bergamis dan berserban, yang selalu kita tolak atas alasan budaya dan pekerjaan, bahkan kita ditekankan untuk memelihara janggut dan menipiskan misai. Pentingnya perkara yang sering dianggap remeh ini sehinggakan Nabi saw membuat perbandingan dengan kaum kafirun iaitu Yahudi dan Nasrani. Namun benar, sedikitpun saya tidak dapat menafikan betapa ada juga antara individu yang menutup aurah (terutamanya perempuan yang jelas kelihatan dengan tudungnya) yang bersifat lebih buruk dari individu yang tidak menutup aurah. Dan ada juga saya terbaca kisah perempuan yang ternoda akibat terpedaya dengan perwatakan teman lelakinya yang dipercayai seorang yang menjaga solahnya. Mungkin kisah ini disanjung sebagai kisah benar. Tetapi sebaliknya, inilah kempen untuk memburukkan Islam. Inilah kempen untuk menafikan firman Allah yang antara maksudnya sesungguhnya solah itu mampu menghindarkan kita dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Dan kisah yang terpencil ini akan digunakan dan diperbesarkan oleh mereka yang sentiasa mencari sebab untuk menyokong perbuatan mereka menentang hukum Allah. Sebenarnya, jika membicarakan tentang mereka yang zahirnya tampak baik, tetapi dalamannya lebih busuk dari bangkai, banyak faktor lain yang perlu kita perhatikan. Antara faktor yang terpenting adalah niat individu terbabit. Kerana Nabi saw pernah berkata, setiap amalan itu akan dikira berdasarkan niatnya. Jadi, sebelum menghukum secara umum, lebih baik kita tanyakan individu terbabit perihal niat mereka berbuat amalan itu. Contohnya memakai tudung. Dewasa ini, memakai tudung sudah tidak ubah sebagai fesyen semata-mata. Ada yang memakai tudung tetapi mempamerkan lengan, telinga dan leher mereka. Jadi untuk menghukum orang yang memakai tudung itu 'mempunyai kulit buku yang baik' tetap salah kerana mereka sebenarnya hanya bertudung tetapi masih mendedahkan aurah. Dari segi manakah boleh mereka ini dikatakan berperwatakan baik? Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang menunaikan solah tetapi tetap terjerumus ke dalam lembah kehinaan? Mengapakah solah yang didirikan itu tidak mampu menghindarkan diri mereka dari melakukan dosa? Untuk menjawab soalan sebegini, kita tanyakan semula, solah yang bagaimanakah yang dikatakan boleh menghindarkan di pelakukan dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar? Jawabnya, solah yang sempurna. Yang khusuk dan khuduk. Yang didirikan pada awal waktu secara berjemaah di masjid disertai dengan wudhu yang sempurna. Jika seseorang itu tidak pernah meninggalkan solah tetapi sentiasa dilakukan pada waktu-waktu kecemasan sahaja, apakah itu boleh dikatakan solah yang sempurna? Jika solah itu dilakukan bagai melepas batuk di tangga, apakah yang boleh diharapkan daripada solahnya? Dan lagi, syaitan amat suka menggoda mereka yang cuba mendekatkan diri kepada Penciptanya. Lebih suka daripada menggoda mereka yang jauh dariNya. Maka tidak hairanlah jika individu-individu sebegini, yang cuba menjadi baik tetapi masih kurang iman dan ilmu, lebih mudah terjerumus ke lembah maksiat. Dan sebenarnya, yang paling bersalah adalah syaitan atau individu lain yang menggodanya bermaksiat. Contohnya, kisah perempuan yang mendakwa 'terpedaya' dengan watak baik teman lelakinya. Ataupun kisah perempuan bertudung labuh yang ditangkap melakukan seks oral. Orang mencemuh mereka sedangkan, pasangannya dikasihani kononnya terpedaya. Manakala di lelaki yang dapat menggoda si gadis bertudung labuh pula disanjung sebagai gentleman dan macho. Dapatkah kita mengislahkan masyarakat dengan pandangan sebegini? Tidak dinafikan ada yang berperwatakan baik tetap melakukan dosa. Kita semua manusia dan bukan maksum. Tetapi ini bukan alasan untuk memasang syak wasangka kepada mereka dan menyanjung mereka yang lebih 'terbuka'. Hakikatnya, menentang hukum Allah tetap satu dosa. Mendedahkan aurah itu satu dosa yang nyata. Ada terlalu banyak hadits yang menceritakan siksaan untuk mereka yang mendedahkan aurah di neraka kelak. Begitu juga untuk mereka yang meninggalkan solah. Sebaik mana sekalipun, meninggalkan solah tetap satu dosa yang besar. Bahkan, lebih malang lagi, kesemua amalan baik mereka tidak dikira kerana tidak menunaikan solah. Maka di hari akhirat kelak, sia-sialah kebaikan yang mereka lakukan kerana tidak tercatat dalam buku amalan mereka. Dan di pandangan Allah, merekalah orang-orang yang ingkar... Perempuan bertudung belum tentu lebih baik dari yang tidak bertudung. Tetapi perempuan yang tidak menutup aurahnya sudah jelas keburukannya kerana secara terang dan nyata menentang hukum yang ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa. Benar Allah melihat hati kita, bukan penampilan kita. Akan tetapi, mahukah kita menyayangi seseorang yang secara terang dan nyata tidak menghormati menentang bahkan segala keputusan kita? Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/