Assalamualaikum warahmatullah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa
tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya
dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya.
Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang
memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat
orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem…


Pagi tadi, sewaktu pulang dari menghantar isteri saya ke sekolah,
saya hidupkan radio kereta yang dibiarkan mati dalam perjalanan
pergi. Pada awalnya saya bercadang untuk mendengar IKIM.fm kerana
sukakan `Santapan Rohani'nya. Tetapi sebaik dihidupkan, sudah
terdengar bacaan Doa Pagi oleh Munif Ahmad menandakan segmen tersebut
sudah berlalu. Namun saya masih terus mendengar dan bersangka baik
ianya masih belum tamat.

Tetapi seketika kemudian, yang kedengaran hanyalah iklan-iklan.
Bosan, lalu saya menukar siaran ke radion Era. Pagi-pagi buta begini,
dengar orang mengarut seronok juga agaknya. Maklumlah, ketika di laut
saya jarang dengar radio. Begitu juga jika di rumah. Hanya kerana
pagi ini saya menghantar isteri ke sekolah dan membawa pulang kereta,
kononnya hendak dicuci kerana malam ini kami akan pulang ke kampung,
barulah saya dengar radio.

Topik yang diutarakan pagi ini agak menarik juga. Kerja lelaki yang
dilakukan oleh wanita. Ini bersempena dengan sambutan Hari Wanita.
Sempat juga saya dengar cerita dua orang pemanggil. Seorang wanita
yang dia sendiri bekerja sebagai pemandu lori. Manakala seorang lagi
lelaki yang `kagum' dengan seorang wanita yang bekerja sebagai
penghantar surat atau despatch. Menarik juga.

Hari Wanita? Bila ya? Saya tidak perasanlah. Siapalah agaknya yang
punya idea sebegini. Hm… agaknya ada berapa banyak jenis hari di
dalam dunia ini selain hari Isnin hingga Ahad ya? Hari Ibu, Hari
Buruh, Hari Kanak-kanak, Hari AIDS dan macam-macam hari lagi. Mengapa
agaknya tidak ada Hari Lelaki? Fikir-fikir sebentar, saya tersenyum.
Mungkin kerana lelaki begitu perasan bahawa merekalah kaum yang
dominan…

Jujur, saya tidak pernah menyambut hari-hari yang disebutkan tadi.
Baik Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan berbagai hari lain yang
wujud, saya tidak rasakan ianya penting untuk saya. Mengapa? Bukan
kerana insan-insan yang diraikan ini tidak penting, tetapi bagi saya,
menghargai mereka untuk satu hari dalam setahun tetapi kemudian
mensia-siakan mereka untuk 364 hari yang berikutnya, bukanlah sesuatu
yang boleh dipanggil mulia.

Hidup saya dikelilingi oleh wanita-wanita yang cukup istimewa. Ibu
yang sedia berkorban apa saja demi saya semenjak dalam keandungan,
isteri yang tidak pernah henti bersabar menghadapi kerenah lelaki
bergelar suaminya ini, kakak-kakak yang pernah menjadikan hidup ini
dipenuhi makna dan ramai lagi termasuklah dua orang anak saya yang
kedua-duanya perempuan. Maka sebenarnya, saya punyai banyak sebab
untuk menyambut Hari Wanita ini.

Tetapi saya enggan menyambutnya. Bukan kerana enggan mengiktiraf
wanita dan sumbangan mereka, tetapi saya menganggap pengorbanan
wanita, bukan sahaja terhadap keluarganya bahkan terhadap dunia
secara amnya, terlalu besar sehinggakan tidak berbaloi untuk disambut
dalam sehari sahaja. Sebenarnya, hari wanita adalah setiap hari.
Kerana pada setiap harilah, dari mula bangkir dari tidur lagi, wanita
memulakan pengorbanan mereka untuk yang dikasihi.

Tentu kita masih ingat seorang wanita yang sangat Nabi Muhammad saw
kasihi iaitu Saidatina Khadijah, isteri pertama Baginda saw. Tentu
kita juga masih ingat bagaimana beliau telah menenangkan Nabi saw
yang ketakutan setelah turun wahyu yang pertama yang dibawa oleh
Jibrail? Bukan itu sahaja, Khadijah, wanita kaya di Mekah telah
mengorbankan kekayaan demi menyokong tugas kerasulan suaminya.

Kita juga biasa dikisahkan dengan isteri-isteri para sohabat yang
sanggup berkorban apa sahaja demi agama yang kita anut ini. Mereka
bukan sahaja sanggup ditinggalkan, bahkan dengan rela hidup dalam
kemiskinan, mengorbankan harta yang mereka miliki dan dengan rela
membiarkan anak mereka syahid dalam menegakkan agama Allah. Tidak
keterlaluan jika dikatakan mereka juga adalah asbab hidayah bagi kita
semua.

Itu isteri-isteri di kalangan sohabat. Bagaimana dengan sekeliling
kita? Pengorbanan seorang ibu yang sanggup menggadaikan nyawa demi
membolehkan kita menghirup udara dunia? Padahal mereka tahu,
melahirkan anak itu sakit dan membahayakan nyawa mereka. Bagaimana
dengan isteri kita yang mengorbankan kebahagiaan dan kebebasan mereka
semata-mata untuk membuat kita bahagia?

Maka kerana itulah Allah telah memuliakan wanita. Kerana wanitalah
yang melahirkan penyembah-penyambah Allah. Wanita juga;ah yang
menyuapkan makanan ke mulut-mulut pejuang agama Allah. Dalam kata
yang lebih mudah, wanita adalah sumber kekuatan dunia. Maka kerana
itulah Nabi saw mengatakan bahawa wanitalah yang paling mudah untuk
masuk ke syurga. Malah mereka akan masuk 500 tahun lebih awal dari
lelaki.

Baru-baru ini seorang teman saya berkata (dalam nada mengejek) bahawa
perempuan mempunyai satu aqal dan sembilan nafsu berbanding lelaki
yang berakal sembilan manakala nafsunya hanya satu. Lalu saya
menjawab, sembilan aqal membuktikan bahawa lelaki tidak sempurna.
Kerana kesempurnaan adalah sepuluh (perfect ten). Maka keranalah
itulah lelaki memerlukan satu aqal dari wanita untuk membolehkan
mereka berfikir dengan sempurna…

Pepatah Arab ada menyebut, wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki,
bukan dari kaki untuk diinjak dan bukan dari kepala untuk memijak.
Dekat dengan lengan untuk dilindungi dan dekat dengan hati untuk
dicintai. Dan begitulah selayaknya. Seorang lelaki yang gagal
menghormati wanita adalah seorang lelaki yang paling lemah. Kerana
lelaki yang gagal mentadbir egonya tidak akan mungkin dapat mentadbir
dunia.

Dengan segala pengorbanan telah mereka lakukan, saya tidak percaya
perlu wujud satu hari khusus untuk meraikan insan-insan mulia yang
terlalu banyak pengorbanannya untuk dunia. Setiap hari adalah Hari
Wanita. Setiap harilah wanita mesti diraikan. Setiap harilah
sepatutnya ibu-ibu dimuliakan. Dan setiap hari jugalah isteri-isteri
sepatutnya dibelai. Hargai cinta dan kasih sayang mereka nescaya
mereka akan menyerahkan dunia mereka kepada kita.

Baru-baru ini, seorang jiran saya (selang sebuah rumah) telah
kehilangan seorang dari ahli keluarga mereka. Allahyarhamah Kak Bedah
telah meninggal dunia Rabu lepas, 28 Februari 2007 bersamaan 10 Safar
1428H (ketika saya masih di laut). Sewaktu sampai tempoh hari saya
terus ke rumah teman saya dan bertanya tentang kakaknya. Menurutnya
Kak Bedah telah meninggal dunia selepas melahirkan anak ketiganya
melalui pembedahan.

"Senang sangat", katanya. "Sebaik selepas pembedahan, Allahyrahamah
enggan menaiki kerusi roda yang disediakan. Sebaik berjalan lebih
kurang dua tapak, Allahyarhamah terus rebah dan menghembuskan nafas
terakhirnya seketika kemudian". Begitulah pengorbanan seorang isteri
untuk melahirkan anak suaminya. Pengorbanan seorang wanita. Semoga
Allah mencucuri rahmah ke atas roh Allahyarhamah dan meletakkannya di
tempat orang-orang yang solehah. Al-Fathihah…

Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak
baik adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah.

Wassalamualaikum warahmatullah…

-Abu Naqibah-

Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di
[EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/


Kirim email ke