Salam wbt. Merujuk kepada contoh yang anda berikan iaitu dilema yg Ali hadapi, apa nasihat anda kepada Ali? Tq.
[EMAIL PROTECTED] wrote: Adakah anda seringkali berasa keliru akan masa depan pembelajaran anda? Aliran apakah yang harus diambil? Jurusan apakah yang bakal diceburi? Adakah minat anda pada sesuatu jurusan itu bertepatan dengan keupayaan anda dalam bidang akademik? Mampukah anda memenuhi syarat kelayakan yang diperlukan untuk menceburi bidang yang anda cita-citakan? Banyak persoalan yang sering menjadi tanda tanya setiap pelajar sebelum mereka menceburi sesuatu aliran. Ada pelajar yang mendapat bimbingan daripada guru, ibu bapa, abang atau kakak untuk memilih aliran atau jurusan yang sesuai, tetapi adakah keputusan yang dibuat itu kerana paksaan keluarga ataupun kehendak pelajar itu sendiri? Tidak kurang juga pelajar yang langsung tidak mendapat bimbingan keluarga atau guru dan berada dalam dilema untuk memilih jurusan yang sesuai. Oleh itu, menjadi satu perkara yang penting bagi anda untuk mengenal pasti bidang yang anda minati dan kerjaya yang ingin anda ceburi apabila tamat pengajian nanti. Anda harus berfikir dengan bijak dan membuat keputusan yang betul agar anda tidak menyesal pada kemudian hari. Sebaik-baiknya, anda harus mengenal pasti kekuatan akademik anda pada subjek-subjek tertentu sebelum memilih. Kadangkala anda mendapat markah yang tinggi dalam subjek yang anda kurang minati dan ini menyebabkan anda keliru akan keupayaan sebenar anda. Satu perkara yang harus anda ingati, minat pada sesuatu subjek itu ialah perkara yang paling utama. Apa-apa yang anda pelajari dalam tingkatan tiga, empat atau lima hanyalah merupakan satu asas sahaja bagi sesuatu subjek itu. Jika anda belajar ke peringkat yang lebih tinggi, sesuatu subjek itu akan dipecahkan menjadi banyak cabang utama yang lebih terperinci dan mendalam. Sebagai contoh, sekiranya anda meminati bidang biologi, bidang itu sendiri merangkumi berbagai-bagai cabang lain seperti fisiologi, anatomi, genetik, onkologi, mikrobiologi, biokimia dan sebagainya. Apa-apa yang anda pelajari di sekolah menengah hanyalah sebagai mukadimah bagi bidang tersebut. Keadaan yang sama juga berlaku pada bidang-bidang yang lain seperti kimia, matematik, fizik, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan sebagainya. Oleh itu, anda haruslah mengutamakan minat daripada keputusan yang anda peroleh. Tanpa minat, anda tidak mungkin dapat mendorong diri anda untuk belajar sendiri dalam usaha untuk mendalami sesuatu subjek tersebut. Sebagai contoh, Ali amat meminati bidang fizik, matematik dan kimia. Cita-citanya juga adalah untuk menjadi seorang jurutera. Tetapi masalah Ali adalah berbanding dengan semua keputusan subjek Sains yang diperolehnya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mendapat markah tertinggi dalam subjek Biologi. Hal ini membuatkan Ali bingung. Adakah dia lebih layak untuk menceburi bidang perubatan atau patutkah dia meneruskan hasratnya untuk menjadi seorang jurutera? Ali berasa sangat susah untuk membuat keputusan kerana ini melibatkan masa depannya. Hal ini menyebabkan Ali berfikir tentang sebab dia mendapat markah yang lebih tinggi dalam subjek Biologi sedangkan subjek tersebut langsung tidak diminatinya. Lama-kelamaan, setelah berfikir dengan panjang, Ali membuat analisis bahawa dia mendapat keputusan yang baik dalam subjek Biologi kerana subjek itu merupakan subjek yang paling tidak diminatinya. Oleh itu, Ali terpaksa menghabiskan banyak masa untuk menelaah subjek Biologi kerana pada hematnya, dia amat lemah dalam subjek tersebut dan perlu menumpukan lebih banyak perhatian. Berlainan pula dengan subjek Fizik. Minatnya yang amat mendalam pada subjek tersebut membuatkan Ali berasa yakin akan kebolehannya dalam subjek itu dan mengurangkan tumpuan pada subjek Fizik. Hal ini menyebabkan dia kurang membaca dan membuat latihan dalam subjek Fizik dan akibatnya, keputusan peperiksaannya kurang memuaskan. Seperti Ali, perkara yang sama juga mungkin berlaku pada diri anda. Oleh itu, sebelum membuat apa-apa keputusan, analisis dahulu keputusan peperiksaan yang anda peroleh dan buat rumusan yang betul tentang keupayaan dan minat sebenar anda. Buku ini bertujuan untuk membantu anda memilih aliran atau jurusan yang bakal anda ambil sesuai dengan minat dan keupayaan akademik anda. Buku ini amat sesuai untuk: Pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang masih samar-samar tentang aliran yang patut diambil semasa dalam tingkatan empat nanti; Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keliru dengan hala tuju selepas tamat SPM, sama ada untuk melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam ataupun memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS); Pelajar lepasan SPM yang tidak mengetahui jurusan yang sesuai dengan keputusan yang diperoleh; Pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan ingin mengetahui subjek yang perlu diberikan penekanan sesuai dengan jurusan yang dicita-citakan; dan Pelajar lepasan SPM atau pelajar IPTA/IPTS yang ingin mengetahui peluang-peluang kerjaya yang terdapat dalam pasaran kerja bagi jurusan-jurusan yang bakal dipilih atau yang telah dipilih. Dipetik daripada buku Panduan Kerjaya - Tentukan Hala Tuju Anda Selepas Alam Persekolahan terbitan Perintis Books Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila lawati www.perintis.com.my. --------------------------------- We won't tell. Get more on shows you hate to love (and love to hate): Yahoo! TV's Guilty Pleasures list.