HAKIKAT MENCINTAI RASULULLAH S.A.W.
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Setiap tahun umat Islam menyambut meriah kehadiran 12
Rabiul Awal, iaitu tarikh yang dikaitkan dengan
kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara akan
diatur sempena hari tersebut yang juga dikenali
sebagai maulidul rasul seperti perarakan
besar-besaran, upacara marhaban dengan membaca kitab
berzanji, mengadakan jamuan-jamuan makan dan
ceramah-ceramah agama. Semuanya ini dilaksanakan demi
untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap
junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Saban tahun 12 Rabiul Awal muncul, maka saban tahun
juga polemik tentang sunnah atau bidaah nya menyambut
maulidul rasul akan muncul. Pihak yang menentang
sambutan maulidul rasul menyatakan ia adalah bidaah
kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi
s.a.w dan sahabatnya serta pada zaman para
salafussoleh . Malah imam-imam mazhab yang empat
seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan
Imam Ahmad r.h juga tidak pernah menganjurkan sambutan
maulidul rasul ini. Timbul persoalan adakah mereka
semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w.
sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan
sambutan maulidul rasul? 

Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka
beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan
hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda s.a.w. dan
mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah
lagi tidak terdapat larangan yang khusus daripada
ALLAH serta Rasul-NYA ke atas sambutan maulidul rasul
ini.

Apa pun jua kita tidak ingin menyambung polemik ini
yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa
yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang
tatacara untuk membuktikan kasih sayang kita serta
pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. 


Kewajipan Mencintai Nabi s.a.w

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip
agama yang sangat penting serta mendasar. Seseorang
itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar
mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya
sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu,
anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri
(atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta
benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang
akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu
sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang
kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan
(dari) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah
sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab
seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah
al-Taubah: 24.

Firman ALLAH S.W.T:

"Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi
orang-orang yang beriman berbanding diri mereka
sendiri." – Surah al-Ahzab: 6.

Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang
tidak lain menunjukkan kewajipan mencintai baginda
s.a.w di mana ia merupakan antara ciri-ciri golongan
beriman. Rasulullah s.a.w. berhak meraih cinta
tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling
mulia di sisi ALLAH, memiliki akhlak yang luhur dan
jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk
kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan
menjadi rahmat kepada seluruh alam. Mencintai Nabi
Muhammad s.a.w merupakan kesan kesaksian kita bahawa
Muhammad itu utusan ALLAH yang merupakan sebahagian
dari kalimah syahadah.




Hakikat Mencintai Rasulullah

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w
memiliki ciri-ciri tertentu. Di sini penulis akan
menampilkan beberapa tanda-tanda yang menggambarkan
perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

1.Mentauhidkan ALLAH S.W.T.

Hikmah utama diutusnya para rasul termasuk Nabi
Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali
kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. 

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus di kalangan
tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka):
Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhi Taghut." –
Surah al-Nahl: 36.

Maksud mentauhidkan ALLAH adalah beribadah hanya
kepada ALLAH sahaja dan tidak menyekutukannya dengan
sesuatu apa pun. Inilah pengertian sebenar kalimah
tauhid, iaitu La Ilahaa Illaallah (Tiada TUHAN yang
berhak disembah melainkan ALLAH) dengan memurnikan
ibadah hanya kepada-NYA dan berlepas diri dari segala
sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad
s.a.w terhadap umatnya. 

Oleh itu, untuk membuktikan kasih sayang kita kepada
Nabi Muhammad s.a.w, kita hendaklah menghindari
amalan-amalan syirik seperti menyembah berhala,
mengikhlaskan ibadah kita hanya kepada ALLAH, berdoa
hanya kepada ALLAH tanpa perantaraan (wasilah) yang
tidak di izinkan-NYA seperti bertawassul di kuburan
para wali, mentaati hukum-hakam ALLAH serta berlepas
diri daripada hukum buatan manusia yang tidak selari
dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik
nasib, tidak berjumpa bomoh, tidak mengingkari
nama-nama dan sifat-sifat ALLAH dan lain-lain lagi.
Mentauhidkan ALLAH merupakan bukti paling kukuh
menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

2.Mempelajari al-Qur’an, Memahaminya,  Mengamalnya
dan Menyebarkan Ajarannya.

Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w.
merupakan al-Qur’an al-Karim yang merupakan aset utama
baginya dalam menyebarkan Islam. Di antara tanda-tanda
mencintai Rasulullah s.a.w. adalah dengan memanfaatkan
al-Qur’an di dalam segala aspek kehidupan kita.
Al-Qadhi Iyadh r.h menyatakan:

Di antara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah
mencintai al-Qur’an yang diturunkan kepadanya dan
baginda s.a.w. mengambil petunjuk, membimbing
[manusia] dengannya serta berakhlak dengannya,
sehingga ‘Aisyah menyatakan:

Sesungguhnya akhlak baginda s.a.w. adalah al-Qur’an. –
Hadis Riwayat Muslim, no: 1233.

Ibnu Mas’ud berkata: Janganlah seseorang menanyakan
untuk dirinya, kecuali al-Qur’an. Apabila dia
mencintai al-Qur’an, maka dia mencintai ALLAH dan
Rasul-Nya. – Huquq al-Nabi, jilid , ms. 343.

Untuk merealisasikan makna mencintai al-Qur’am maka
hendaklah kita mempelajari dan memhami isi kandungan
al-Qur’an. Setelah itu hendaklah kita beramal
dengannya serta menyebarkan pengajaran yang terkandung
di dalamnya kepada seluruh umat manusia. 

3.Mentaati Sunnah Nabi s.a.w.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan
perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah
dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan
perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari
larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan
Nabi s.a.w wajib diikuti dan diteladani. 

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh
ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan
baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan
mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu
mengasihi ALLAH maka ikutilah aku, pasti ALLAH
mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah), ALLAH Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31.

Mentaati sunnah Nabi juga bermaksud menghindari amalan
bidaah. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam
al-Syathibi r.h ialah: 

"Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai
syariah dan tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam
mengabdikan diri kepada ALLAH." - Rujuk Kitab
Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syeikh Alwi bin Abdul
Qadir al-Saqqaf yang merupakan ringkasan kepada Kitab
al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq al-Syathibi (edisi
terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah,
Surabaya (2003), ms. 2.

Berdasarkan definisi ini dapat kita fahami bahawa
medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang
bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua
bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi
maka ia tidak termasuk di dalam ruang lingkup
perbahasan bidaah  menurut definisi syarak. 

Ini kerana, terdapat dalil-dalil yang menggalakkan
umat Islam untuk terlibat di dalam usaha mencipta
rekaan-rekaan terkini demi kemajuan umat Islam. Dalam
hal ehwal duniawi, manusia memiliki kebebasan untuk
melakukan inovasi termoden asalkan ia tidak
mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak
bertentangan dengan syariah. 

Sabda Nabi s.a.w:

"Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu."  - Hadis
riwayat Muslim, hadis no: 2363.

Bidaah  yang kita maksudkan di sini adalah
mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak
pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini
adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana
ia tidak diterima oleh ALLAH. 

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah
(al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk
Muhammad (sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang
diada-adakan (bidaah), setiap perkara yang
diada-adakan termasuk kategori bidaah dan setiap
perkara  yang bidaah adalah sesat." - Hadis riwayat
Muslim, hadis no: 867.

Oleh itu, memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti
yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi
s.a.w. Sebaliknya,  mengamalkan amalan bidaah
menggambarkan pengkhianatan kita kepada baginda. Imam
Malik r.h berkata:

"Sesiapa yang mencipta bidaah dalam Islam dan
menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa
Muhammad s.a.w mengkhianati risalah. Ini kerana, ALLAH
telah berfirman: 

"Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu." –
Surah al-Maidah: 3.

Setiap perkara yang ada pada hari tersebut tidak
termasuk urusan agama, maka ia juga tidak akan menjadi
sebahagian dari agama pada hari ini." – Rujuk Kitab
Meluruskan Tafsir Bidaah karya Alwi bin Abdul Qadir
al-Saqqaf, ms. 14.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah 
walaupun ia nampak baik dan bertujuan mulia. Ingatlah
pesan Abdullah bin Umar r.a:

“Setiap bidaah  itu sesat, walaupun manusia
memandangnya (perbuatan bi’dah tersebut) hasanah
(baik).” – Atsar riwayat al-Lalaka-i di dalam Syarh
Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibn Nashir di
dalam al-Sunnah dan oleh Ibn Battoh di dalam
al-Ibanah.

3.Menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi s.a.w bukan sekadar hanya taat kepada
sunnah baginda. Malah, antara tanda kesempurnaan
perasaan cinta kepada baginda adalah dengan
menyebarkan sunnah-sunnah tersebut kepada seluruh umat
manusia. Sabda baginda s.a.w:

"Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil
daripadaku walau satu ayat." - Hadis riwayat
al-Bukhari, no: 3461.

Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi s.a.w,
menyampaikannya serta mengajarkannya adalah menyambung
tugasan baginda. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda
tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya akan mati dan
digantikan dengan amalan-amalan bidaah .

4.Sentiasa memuji dan mengingatinya.

Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w,
seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita
sepatutnya selalu mengingati pengorbanan yang telah
baginda lakukan demi menyelamatkan umatnya dari
kesesatan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan
membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta
berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda
sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita. Kita
juga hendaklah hanya menyibukkan diri dengan sejarah
baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu
dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat. 

Penulis juga menganjurkan para ulama mengkaji semula
kandungan kitab marhaban atau berzanji yang sering
dibacakan ketika majlis-majlis maulid kerana di
dalamnya terdapat banyak kisah-kisah palsu serta
riwayat yang daif (lemah) serta tidak mempunyai
sandaran malah boleh membawa kepada kesyirikan dan
khurafat. Bagi umat Islam di Malaysia, disaran agar
mendapatkan kitab-kitab Sirah Nabi yang muktabar untuk
dijadikan rujukan.

Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian
yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah
dengan berselawat kepadanya. 

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat kepada
Nabi. (Oleh itu) wahai orang-orang yang beriman!
Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam
sejahtera dengan penuh penghormatan." – Surah
al-Ahzab: 56.

Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber
dari hadis-hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat
ciptaan manusia. Dewasa ini ramai orang yang tidak
mengambil peduli sunnah yang benar-benar mencontohi
Rasulullah s.a.w berkaitan tatacara berselawat. Malah,
mereka bukan sekadar menambah lafaz-lafaz tertentu
dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap
menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total
tanpa ada contohnya daripada Nabi s.a.w, para sahabat,
tabi’in, tabi’ al-Tabi’in mahupun imam-imam mazhab
yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu
perbuatan yang lebih bermanfaat berbanding lafaz asal
yang datang daripada baginda s.a.w. Tindakan sebegini
sepatutnya dihindari secara total oleh umat Islam dan
kembali kepada ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang
terdapat di dalam hadis-hadis sahih. Ini kerana, Nabi
Muhammad s.a.w adalah makhluk paling sempurna
ibadahnya dan yang paling mulia di sisi ALLAH.
Sewajarnya kita tidak mencontohi ikutan selain baginda
s.a.w.
        
Menurut Syeikh Abu Ubaidah: 

"Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada
Nabi s.a.w merupakan contoh ibadah dan sesuatu
bersifat tauqifi. Kita tidak boleh menambah mahupun
mengubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk
formula selawat yang baru. Tindakan itu merupakan
salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik
syariat (ALLAH) yang sebenarnya harus kita patuhi dan
kita cintai dengan sepenuh hati." - Abu Ubaidah Mashur
bin Hassan, Koreksi Total Ritual Solat, edisi
terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta
(2001), ms. 162.

Sememangnya, berselawat kepada baginda disyariatkan
dalam pelbagai ibadah seperti tasyahhud dalam solat,
khutbah, solat jenazah, sesudah azan, saat berdoa,
saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan lain.

5.Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w.

Antara tanda cinta seseorang kepada Nabi s.a.w adalah
mencintai mereka yang dicintai oleh baginda seperti
isteri-isterinya, ahli keluarga dan para sahabatnya
serta seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan
ajaran baginda.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku.
Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu
menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak
mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah
seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." –
Hadis riwayat Muslim, hadis no: 2541.

Sabda Nabi s.a.w:

"Wahai manusia! Sesungguhnya aku hanyalah manusia
biasa yang hampir sahaja utusan TUHANku (malaikat
maut) datang menjemputku lalu aku memenuhinya. Aku
akan meninggalkan kepadamu tsaqalain (dua perkara yang
berat): 

Pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan cahaya.
Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda
menganjurkan atas Kitabullah dan motivasi untuk itu, 

Kemudian baginda bersabda: Dan juga ahli baitku. Aku
mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli
baitku, aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH
tentang ahli baitku." - Hadis riwayat Muslim, hadis
no: 2408.
        
Secara logiknya, sesiapa yang mencintai seseorang dia
juga akan mencintai apa yang dicintai oleh orang yang
disayangi. Hal ini dikuatkan dengan dalil berikut:

"Sesungguhnya sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia
akan mencintai segala yang disukainya, yang serupa
dengannya dan segala yang ada kaitan dengannya."  -
Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya
al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani.

6.Membenci Orang Yang Dibenci Oleh Nabi s.a.w.

Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada
mereka yang memusuhi ALLAH dan Rasul-NYA seperti
golongan yang kufur kepada agama ALLAH, menyelisihi
sunnah Nabi s.a.w., mengerjakan amalan bidaah,
khurafat, tahyul, syirik dan lain-lain perbuatan yang
bertentang dengan syarak. Firman ALLAH S.W.T..

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman
kepada ALLAH dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra
dengan orang-orang yang menentang (perintah) ALLAH dan
Rasul-NYA, sekalipun orang-orang yang menentang itu
ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau
saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.
Mereka (yang setia) itu, ALLAH telah menetapkan iman
dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan
semangat pertolongan daripada-NYA; dan DIA akan
memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di
dalamnya. ALLAH redha akan mereka dan mereka redha
(serta bersyukur) akan nikmat pemberian-NYA. Merekalah
penyokong-penyokong (agama) ALLAH. Ketahuilah!
Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) ALLAH itu
ialah orang-orang yang berjaya. – al-Mujadaalah : 22
        
7.Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik.

Dewasa ini kita melihat institusi kenabian,
hukum-hakam ALLAH serta sunnah-sunnah baginda s.a.w
sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok
munafik seperti gerakan Islam liberal, golongan anti
hadis, para orientalist dan kelompok sesat yang lain. 

Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi
Muhammad s.a.w adalah dengan membantah hujah-hujah
golongan tersebut dan membela baginda dengan
memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam
terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh
musuh-musuh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:
"Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang
musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi
temanku di syurga." - Hadis riwayat Muslim, hadis no:
1789.

ALLAH akan sentiasa menghargai mereka yang membela
agama-NYA dengan memberi pertolongan kepada mereka. 

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH pasti menolong mereka yang
menolong agama-Nya. Sesungguhnya ALLAH benar-benar
Maha Kuat lagi Maha Perkasa." – Surah al-Haj: 40.

Demikianlah beberapa tanda yang menggambarkan hakikat
sebenar mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Jelas di sini
bahawa hakikat mencintai Nabi s.a.w bukanlah satu
perkara yang datang hanya setahun sekali, iaitu pada
tarikh 12 Rabiul Awal sahaja atau dengan hanya
menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena maulidur
rasul. Malah, mencintai Nabi Muhammad s.a.w adalah
satu proses berterusan dan sentiasa  perlu diberi
perhatian setiap waktu dan ketika. Jelas juga kepada
kita bahawa antara ciri-ciri utama golongan yang
benar-benar mencintai baginda adalah mereka yang
sentiasa berusaha menegakkan sunnah serta menentang
bidaah. 

Semoga sambutan maulidur rasul di Malaysia benar-benar
akan menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat
Islam di negara ini terhadap Nabi Muhammad s.a.w
dengan menyisihkan segala amalan-amalan bidaah yang
dikhususkan sempena sambutan hari yang penuh bermakna
bagi seluruh umat Islam. Cinta kepada Rasulullah s.a.w
dapat dibuktikan dengan ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi
s.a.w) dan bukan ibtida’ (mengamalkan amalan bidaah).

======================================================
MOHD YAAKUB MOHD YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di
Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad.
Untuk sebarang maklum balas berkaitan artikel ini sila
hubungi beliau melalui e-mail [EMAIL PROTECTED] 
======================================================




 
____________________________________________________________________________________
Get your own web address.  
Have a HUGE year through Yahoo! Small Business.
http://smallbusiness.yahoo.com/domains/?p=BESTDEAL

Reply via email to