DASAR KEBUMIPUTERAAN DI WPI : GLOBALISASI DAN REALITI BUMIPUTERA

 April 2, 2007 : 11.01 PM
--->                   
                                             
 
Oleh Ruhanie Ahmad  
 
Saya berpendapat bahawa tuntutan globalisasi adalah diantara asas utama yang 
telah mendorong Tun Musa Hitam melontarkan ideanya untuk meminggirkan 
dasar-dasar kebumiputeraan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor. 
 
Asas ini valid. Asas ini juga relevan dengan realiti di abad ke-21. Ini kerana 
kemaraan globalisasi di mana sahaja mutakhir ini memang tidak boleh disekat 
mahupun dibendung. 
 
Malang sekali idea yang valid, relevan dan digandingkan dengan matlamat 
meningkatkan persaingan menerusi meritokrasi ini adalah satu idea pragmatik 
yang mendepani zaman. 
 
Idea ini juga melangkaui kesediaan mental serta psikologi sebilangan orang 
Melayu-Bumiputra yang sewajarnya sudah dijajarkan dengan tuntutan globalisasi 
dan liberalisasi. 
 
Lantaran itulah Tun Musa telah menerima kecaman yang keras, panas dan serius 
dari segolongan orang Melayu-Bumiputera baru-baru ini. Sebagaimana saya 
huraikan dalam Bahagian Kedua, kecaman dan kemarahan orang Melayu-Bumiputera 
itu juga akibat perspsi negatif dan prejudis segolongan orang Melayu-Bumiputera 
terhadap kepimpinan negara dan WPI pada hari ini. 
 
Malang sungguh Tun Musa. Lebih malang lagi bila pucuk kepimpinan negara dan 
Khazanah Nasional Berhad juga mendiamkan diri tanpa sebarang reaksi. Ini 
memberikan gambaran seolah-olah mereka mahu mengasingkan diri daripada idea Tun 
Musa yang disifatkan sebagai satu kontroversi. 
 
Globalisasi  
 
Bagaimanapun, katakanlah andaian saya benar, bahawa antara faktor yang 
mendorong Tun Musa mencadangkan agar dasar-dasar kebumiputeraan dimansuhkan di 
WPI, adalah tuntutan dan realiti globalisasi di abad ke-21, saya yakin hakikat 
globalisasi dalam konteks kebumiputeraan ini juga akan mencetuskan kebimbangan 
di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia yang arif mengenai globalisasi.  
 
Memang globalisasi tidak boleh disekat. Tetapi, globalisasi juga tidak boleh 
dipandang ringan. Gelora, arus dan badai globalisasi mengandungi muslihat, 
perangkap dan jerat. 
 
Hakikat seperti ini menuntut semua pihak sentiasa waspada dan bersiap sedia. 
Semua negara, besar dan kecil, perlu mengharungi globalisasi dengan persiapan 
yang yang berpandangan jauh, teliti, rapi, padat, mampat, komprehensif, dan 
berkesan. 
 
Persiapan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk undang-undang, dasar, strategi 
dan program. Ia juga merangkumi persiapan sikap, minda dan psikologi di 
kalangan rakyat jelata di semua peringkat umur dan di semua tahap ekonomi. 
 
Kedua-dua aspek persiapan ini penting untuk mengelakkan globalisasi melanda 
sesebuah negara dan sesuatu bangsa dengan implikasi yang negatif. Dalam konteks 
Malaysia, kedua-dua aspek persiapan ini juga penting untuk mengelakkan 
ciri-ciri, elemen-elemen serta dasar-dasar kebumiputeraan dihakis oleh gelora 
globalisasi. 
 
Jika tuntutan globalisasi mahu dilaksana atau diterapkan ke dalam sesuatu 
sistem kenegaraan dan sosio-ekonominya tanpa persiapan di atas, kuasa besar 
yang menguasai modal, kepakaran pengurusan dan teknologi akan beroperasi di 
sesebuah negara secara maharajalela, bongkak dan sesuka hati. 
 
Anjakan Paradigma  
 
Akibatnya, para pemodal asing ini akan mempengaruhi sistem pentadbiran, 
undang-undang, politik dan sosio-ekonomi di negara tersebut tanpa mengambilkira 
kesejahteraan rakyat jelata setempat. Mereka juga akan mencorakkan masa depan 
negara dan bangsa tersebut tanpa sebarang obligasi. 
 
Jika perkembangan seperti ini terjadi, apatah lagi di Malaysia, akibatnya ialah 
negara yang terbabit akan seolah-olah kehilangan kuasa, ekonominya akan 
dijajah, bangsanya akan ditimpa kesusahan dan politiknya pula akan jadi 
kucar-kacir. 
 
Reaksi masyarakat Melayu-Bumiputera terhadap idea Tun Musa untuk meminggirkan 
dasar-dasar kebumiputeraan di WPI ketika ini adalah diantara kesan awalan 
kepada percubaan melaksana serta menerapkan tuntutan globalisasi tanpa 
persiapan yang teliti, komprehensif dan berkesan. 
 
Oleh itu, pada pandangan saya yang tak seberapa ini, gagasan Tun Musa mengenai 
peminggiran dasar-dasar kebumiputeraan di WPI atau pun di seluruh Malaysia, 
walaupun valid dan relevan dengan zamannya, wajarlah didahului dengan seluruh 
persiapan yang saya huraikan di atas, dengan serapi-rapinya. 
 
Kalaulah kemaraan globalisasi menuntut dasar-dasar kebumiputeraan dihapuskan 
oleh kerajaan, contohnya, nasib dan masa depan orang Melayu- Bumiputera di era 
globalisasi wajar dan perlu dikaji secara serius, meluas dan mendalam. 
 
Orang Melayu-Bumiputera perlu sentiasa diberikan perlindungan dasar dan 
undang-undang supaya dapat mengharungi globalisasi dengan penuh kejayaan. 
Mereka perlu diinsafkan supaya menukar sikap, mentaliti dan persepsi terhadap 
kehidupan di era globalisasi. Mereka perlu diberikan dorongan dan semangat 
untuk bermati-matian mempertahankan segala apa yang telah mereka capai pada 
hari ini menerusi satu anjakan paradigma yang tersusun dan menyeluruh. 
 
Meritokrasi  
 
Orang Melayu dan Bumiputera perlu digalak dan didesak untuk meningkatkan usaha 
mencapai ilmu supaya mereka mampu bersaing dengan bukan Melayu dan komuniti 
jagat di era globalisasi. Mereka mesti diberi ingatan untuk terus 
mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan tanahair menerusi meritokrasi. 
 
Orang Melayu dan Bumiputera mesti insaf bahawa di era globalisasi, mereka tidak 
mempunyai waktu untuk bersikap sambil lewa. Sebaliknya, mereka perlu 
menggemblengkan tenaga, sumber serta pemikiran masing-masing ke arah 
mempertahankan survival bangsanya di era globalisasi. 
 
Ini bermakna bahawa mereka mesti bersatupadu pada setiap masa. Ini bermakna 
mereka mesti bekerja keras secara bijaksana untuk menguasai ilmu dan maklumat, 
untuk memperolehi kemahiran dan kepakaran dan untuk meningkatkan produktiviti, 
dayasaing serta dayatahan supaya mereka mampu bersaing dengan sesiapa sahaja 
menerusi sistem meritokrasi, tanpa mudah menyerah kalah atau perputih mata. 
 
Kerajaan pula perlu memainkan peranan strategik untuk menjamin survival orang 
Melayu-Bumiputera di era globalisasi. Antaranya, kerajaan hendaklah mempastikan 
pencapaian segala matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula 
masyarakat disesuaikan dengan kemaraan globalisasi. 
 
Matlamat ini penting kerana pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula 
masyarakat berkait rapat dengan usaha memperbaiki status sosio-ekonomi orang 
Melayu-Bumiputera. Peranan ini juga penting kerana usaha membasmi kemiskinan 
dan penyusunan semula masyarakat adalah teras utama kepada kewujudan perpaduan 
nasional yang menjamin kestabilan sosio-ekonomi dan politik Malaysia selama 
ini. 
 
Peranan ini memang mengenepikan prinsip meritokrasi dan level playing field. 
Tetapi, kalau perlu diubah, lakukanlah perubahan secara rapi dan bijaksana. 
Maka, jika meritokrasilah yang akan menjadi paksi kepada pembangunan negara dan 
modal insan di abad ke-21 ini, pastikanlah soal-soal disparity and inequality 
atau soal-soal perbezaan dan ketidaksamarataan di antara kaum di dalam pelbagai 
bidang, ditangani secara bijaksana. Hakikat ini signifiken kerana globalisasi 
juga mempunyai tendensi mewujudkan inequality atau ketidaksamarataan yang lebih 
luas. 
 
Terpinggir  
 
Pendek kata, kerajaan mestilah menyiap-sediakan negara ke arah globalisasi dan 
liberalisasi secara bijaksana supaya pendemokrasian dalam banyak aspek 
perniagaan, perdagangan dan perindustrian tidak menyebabkan orang 
Melayu-Bumiputera jadi terpinggir dan melarat di hari muka. 
 
Demikianlah reaksi akhir saya kepada gagasan Tun Musa. Saya berpendapat begini 
kerana globalisasi yang didorong oleh pemikiran neoliberal, janganlah diizinkan 
untuk mendorong para pemodal yang datang ke negara semata-mata atas motivasi 
keuntungan semaksima yang mungkin. Keadaan sebegini akan membentuk satu susunan 
masyarakat yang dibelenggu oleh jurang perbezaan ekonomi dan sosial yang 
semakin lebar. 
 
Oleh itu, saya cadangkan Tun Musa untuk menggesa kerajaan menggabungkan usaha 
mencipta nilai, meningkatkan dayasaing, merealisasikan potensi, mencungkil 
bakat, memupuk kreativiti serta merangsang innovasi seperti yang dituntut oleh 
globalisasi dengan usaha membanteras jurang sosio-ekonomi yang tercipta di 
dalam sistem dan rejim ekonomi yang lama. 
 
Pada waktu yang sama, saya juga berharap Tun Musa akan mengingatkan kerajaan 
supaya soal kepelbagaian kaum serta jurang perbezaan yang masih wujud di 
Malaysia hari ini tidak sekali-kali dikompromikan dengan tuntutan meritokrasi, 
level playing field ataupun market capitalism seperti yang dianjurkan oleh 
globalisasi. 
 
Tun Musa berhak menyuarakan apa yang telah disuarakannya tempoh hari. 
Masyarakat umum juga berhak memberikan reaksi sebagaimana yang sedang dicetus 
dan dipolemikkan ketika ini. 
 
Bagaimanapun, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Demi bangsa dan 
negara, sama-samalah dicari jalan ke arah kesejahteraan yang berkekalan di era 
globalisasi. Cari dan rintislah jalan itu secara terancang, komprehensif dan 
bijaksana, supaya ciri-ciri Melayu-Bumiputera dalam dasar pemerintahan negara 
tidak digolok-gadaikan dengan sewenang-wenangnya menerusi globalisasi! -

 
---------------------------------
Food fight? Enjoy some healthy debate
in the Yahoo! Answers Food & Drink Q&A.

Kirim email ke