Assalamualaikum,

Sekadar teladan... 

http://thoughtsintangents.blogspot.com/2007/04/antara-ijok-telefon-bimbit-dan.html

Wassalam...

Ikhlas,
A M Ubaidah S

Antara Ijok, Telefon Bimbit Dan Perjuangan

Saya baru melawat halaman http://nursamad.blogspot.com/ dan melihat paparan 
sambutan ulangtahun kelahiran seorang pendekar Melayu yang masyhur Tan Sri A 
Samad Ismail, atau Pak Samad. Melihat gambaran zaman muda Pak Samad, sebelum 
beliau mula berentap mengasak kroni sang penjajah Inggeris, si Lee Kuan Yew, 
teringat saya akan kisah pertemuan beliau dengan Pemuda UMNO. Begini kisahnya...

Pak Samad dijemput berbicara dengan para pemimpin Pemuda UMNO pada awal zaman 
kepimpinan Dato' Hishamuddin. Pada sesi soal-jawab, beliau ditanya oleh seorang 
Pemuda, apakah perbezaan antara Pemuda UMNO sekarang dan Pemuda UMNO pada zaman 
Pak Samad. 

Memang sesuai soalan ini diajukan kepada Pak Samad, selaku bekas pemimpin muda 
Melayu yang hebat di Singapura, beliau diantara pengasas Gerakan Angkatan Muda 
(Geram) dan PAP (People's Action Party). Beliau juga tidak putus usaha 
memperjuangkan kemerdekaan serta mempertahankan hak masyarakat Melayu pada era 
kelahiran Malaysia.

Namun selepas berfikir sejenak, jawapan Pak Samad ringkas,"Handphone". 
Perbezaan perjuangan Pemuda UMNO dahulu dan sekarang pada hemah Pak Samad 
adalah 'Handphone', Telefon Bimbit. Telefon Bimbit?

Bingung sejenak anak-anak muda UMNO tersebut, apabila tiba-tiba, seolah-olah 
dikurniakan Allah S.W.T. peluang menimba lagi ilmu dan pengalaman Pak Samad, 
berdering kedengaran bunyi telefon bimbit. Tergesa-gesa lebih separuh peserta 
majlis menoleh ke kocek, beg, meja, kerusi atau pautan lain telefon bimbit 
masing-masing. Ternyata seorang sahaja yang menerima panggilan, lalu peserta 
tersebut menjawab, dan tak sempat beredar dari bangkunya, sudah mula berbicara 
mesra (dengan taukeh mungkin) melalui telefon bimbitnya.

Pak Samad sambil tersenyum mengulanginya,"Handphone". Telefon Bimbit.

Kemudian dengan nada separa sinis, separa nasihat, Pak Samad menghuraikan 
pernyataannya, lebih kurang begini, kerana saya sendiri tidak hadir, tetapi 
tersampai juga bicara-katanya: 

Pada zaman Merdeka dahulu, apabila Pemuda Melayu dan UMNO berbicara tentang 
perjuangan, tidak ada "Handphone" (Telefon Bimbit) yang mampu mengalihkan 
tumpuan perhatian dari prinsip, usaha dan matlamat perjuangan tersebut!

Retakan jantung-hati para pejuang kemerdekaan seperti Pak Samad dari melihat 
betapa deringan Telefon Bimbit berupaya mengalih perhatian mereka yang kononnya 
generasi baru pemimpin bangsa merupakan suatu papan-tanda bahaya kian melanda 
UMNO, Islam, Melayu dan Malaysia. Ternyata juga gejala Telefon Bimbit ini kian 
menjadi-jadi, terutama apabila Pemuda dukungan Tingkat 4 zaman Lah bukan sahaja 
kini tak ingin mengamati malah berupaya mengherdik dan sangsi akan nilai-nilai 
perjuangan generasi merdeka seperti Pak Samad. 

Dan bukan yang Muda sahaja yang menghidapi penyakit Telefon Bimbit, yang baru 
habis Muda dan yang perasan masih Muda pun dijangkiti bersama hingga menular 
disegenap lapisan kepimpinan negara kita. Lihat sahaja gelagat kaum politik 
Malaysia di sekitar pilihanraya-pilihanraya kecil Batu Talam, Machap dan kini 
Ijok.

Di Batu Talam, masyarakat di alih perhatian dari isu-isu penting melalui 
gembar-gemburan 'boikot' PAS sambil UMNO berbisik-bisik di sebalik tabir akan 
kecundangnya Dato' Najib sekiranya kerusi UMNO tersebut gagal dipertahankan. Di 
Machap pula, suasana kempen diperhangatkan lagi dengan terbitnya cahaya yang 
kian malap, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kini di Ijok, Anwar terus timbul, 
menunggang kuda barunya, Tan Sri Khalid Ibrahim, seorang wira yang telah 
dialihkan perhatian dari perjuangannya untuk bangsa.

Di sebalik jentera dan percaturan pilihanraya-pilihanraya kecil ini, wujud 
perangkaan, jalan-cara, usaha mempertingkatkan imej kekuatan Dato' Seri Anwar 
Ibrahim dan perlecehan kedudukan Dato' Najib Tun Razak. Kenapa? Sebab Anwar 
ingin merebut kuasa! Kenapa? Telefon Bimbit...

Dengan kuasa, nombor Telefon Bimbit sentiasa dicari orang. Dengan kuasa, 
terbitnya nombor Telefon Bimbit pada telefon yang berdering pasti menyegerakan 
jawapan. Telefon Bimbit...

Mana perginya perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara? Manakah usaha 
meleraikan pertelingkahan di antara dan dikalangan kaum? Tertinggal di luar 
perkiraan jika dilihat pemilihan calon Ijok, baik pembangkang mahupun kerajaan. 
Yang PKR menusuk usaha mendirikan parti bukan perkauman dengan memilih calon 
berdasarkan kaum untuk memastikan kemenangan. Yang MIC mengancam harmoni parti 
untuk menjamin kekalahan.

Ijok untuk menguatkan Telefon Bimbit Anwar...

Machap kelihatan sebagai sandiwara sambilan di antara Batu Talam dan Ijok, 
tetapi dengan memilih calon yang tak bisa menang, ternyata Lim Kit Siang 
menjamin kekuatan Telefon Bimbit anaknya di Melaka... Anwar pun pandai, 
perginya perkempen di penghujung pilihanraya kecil Machap semata-mata sebagai 
persediaan untuk Ijok... seumpama mencas tenaga Telefon Bimbitnya...

Dan di Batu Talam, PAS memboikot kerana ingin mengelakan dari kehabisan modal 
menjelang pilihanraya umum. Bukan modal wang sahaja, tetapi modal isu. Ye lah, 
kalau isu-isu hangat diketengahkannya terlalu awal sebelum pilihanraya umum , 
mungkin BN dan UMNO berupaya menanganinya dahulu. 

Yang penting untuk PAS bukan isu diketengahkan secepatnya supaya rakyat 
mengecapi nikmat penyelesaian dengan seawalnya. Yang penting kepada PAS adalah 
dengan hanyir dan hapaknya isu-isu apabila tidak ditangani akibat dipendam, 
sengsara rakyat menjelang pilihanraya umum akan meningkat. Yang penting kepada 
PAS adalah kemenangan, walaupun didukung kesengsaraan rakyat yang mungkin boleh 
dielakkan.

Boikot Batu Talam berniat menguatkan Telefon Bimbit pemimpin-pemimpin PAS...

Memang penuh ilmu dan teladan Pak Samad. Semoga cukup panjang umur Pak Samad 
dan pejuang-pejuang generasinya untuk melihat nilai-nilai perjuangan yang lebih 
murni bangkit semula hingga berupaya mematikan deringan Telefon Bimbit yang 
kian nyaring. Insya'Allah.


      ___________________________________________________________ 
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your free account today 
http://uk.rd.yahoo.com/evt=44106/*http://uk.docs.yahoo.com/mail/winter07.html 

Kirim email ke