Assalamualaikum warahmatullah…


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat
berserta salam buat Baginda saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi
ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat
kita semua dan orang-orang yang beramal soleh.



Bismillahir Rahmanir Raheem…



Baru-baru ini, saya ada membantu isteri saya menanda kertas peperiksaan
bagi matapelajaran matematik tahun satu. Seronok juga melihat jawapan
mereka. Adakalanya, lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya.
Iyalah… Pelajar tahun satu. Kena pula mereka yang dari kelas
pemulihan… "Kelas pemulihan tu apa?" tanya saya kepada
isteri. "Untuk murid-murid yang langsung tidak tahu asas membaca dan
mengira…" katanya.



Dalam pada menanda, saya perhatikan juga pencapaian murid-murid Melayu.
Benar. Tidak seperti yang sering diperkatakan, bukanlah semua pelajar
Melayu itu lemah Matematik. Ramai juga yang memperolehi markah melebihi
90 peratus. Sama sahaja ramainya dengan murid bangsa asing. Cuma mungkin
yang tertinggi hanya seorang murid Cina. Itupun hanya seorang. Yang
lain, sama sahaja. Ada juga murid Cina yang mendapat markah rendah.



Lagipula murid bukan Melayu ada kelebihan lain. Matapelajaran ini diajar
dalam Bahasa Inggeris. Sekarang Bahasa Inggeris sudah tidak ubah seperti
bahasa ibunda mereka. Tetapi kasihan murid Melayu. Yang saya perhatikan,
yang mendapat markah rendah kebanyakannya bukanlah kerana mereka tidak
tahu mengira sebaliknya kerana mereka gagal memahami soalan. Inilah yang
menjadi punca mengapa ramai yang gagal.



Contohnya, ada soalan yang berbunyi begini; "5 is ­­­_____
than 3" di mana ruang kosong sepatutnya diisi dengan perkataan
`larger'. Tetapi ada juga murid melayu yang meletakkan nombor
`8' di ruangan kosong kerana mereka tidak faham soalan apakah
itu. Mereka sekadar mencampurkan jumlahnya. Bayangkan, jika ada soalan
untuk nombor yang lebih besar seperti `8 + 7' pun mereka masih
boleh menjawab. Itu bukti bukan mereka tidak pandai mereka.



Tetapi tetap salah kerana tidak mengikut arahan. Kasihan murid-murid
ini. Inilah yang membuatkan saya terfikir. Mengapakah sukar sangat
mempelajari matematik di negara sendiri. Sepertinya belajar di luar
negeri. Jika belajar di United Kingdom dan terpaksa mejawab kertas
peperiksaan dalam Bahasa Inggeris, tidak mengapalah. Sudah memang itu
negara Inggeris. Tetapi ini Tanah Melayu!



Jika bukan di Tanah Melayu sendiri Bahasa Melayu hendak di daulatkan,
apakah kita fikir ia akan didaulatkan di Amerika Syarikat? Jangan harap!
"Abang tak nak jadikan bahan penulisan di blog abang ke?" tanya
isteri saya. "Kasihan murid kita bang…" sambungnya lagi. Ya,
saya boleh menulis tentang ini. Tetapi setakat manakah hasilnya? Siapa
sangat yang membacanya? Hishamuddin Hussein kenalkah blog "Diari Abu
Naqibah' ini?



Tetapi tidak mengapa. Mereka membacanya atau tidak, biarlah perkara ini
ternukil di ruangan ini. Sekurang-kurangnya, apabila anak-anak saya
membesar dan berkesempatan membaca tulisan ini, mereka tidak akan
menyalahkan saya apabila menyedari bahawa di zaman mereka Bahasa Melayu
hanya sekadar bahan pameran di muzium. Biarlah mereka tahu ayah mereka
ada lakukan sesuatu walaupun usaha itu lebih kecil dari kuman.



Saya tidak sedikitpun menafikan kepentingan bertutur dalam Bahasa
Inggeris ini. Malah sebagai seorang yang bekerja di syarikat
multinasional, saya cukup arif pentingnya bahasa ini untuk masa depan
kerjaya saya. Tetapi saya tidak pula terfikir bahasa ini perlu
diutamakan sehingga tahap menghina perlembagaan sendiri dengan
mengiktirafnya sebagai bahasa pendidikan dan meletakkan Bahasa Melayu di
bawah telapak kaki! Tidak!



Bahasa Inggeris tidak sesukar mana. Saya lahir dalam sebuah keluarga
yang langsung tidak pandai bertutur dalam bahasa penjajah ini. Malah
saya ingat lagi pernah ditertawakan di sekolah kerana bahasa broken yang
saya gunakan. Tetapi hasilnya, hari ini saya boleh menyiapkan laporan
yang panjangnya bermuka-muka surat dalam Bahasa Inggeris. Malah boleh
juga menulis surat permohonan perkerjaan dan resume dalam bahasa yang
sama.



Alhamdulillah, tidak ada masalah. Jadi siapa kata kita perlu
mengenepikan Bahasa Melayu untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa
Inggeris? Tidak! Sama sekali tidak! Dan menguasai Bahasa Inggeris tidak
sekali-kali menjadi jaminan kita boleh menjadi negara yang maju. Tidak.
Berapa banyak negara di Eropah yang rakyatnya tidak memahami Bahasa
Inggeris dengan baik? Mundur sangatkah Perancis, Jerman dan yang lainnya
itu?



Lebih membanggakan, negara seperti Jepun. Mereka bukan sahaja bangga
dengan bahasa mereka bahkan mereka berusaha mengeksportnya sebagai bahan
pendidikan di luar negara mereka. Di Universiti Teknologi Malaysia, ada
kursus persediaan ke Jepun di mana para pelajar diajar Bahasa Jepun dari
asas seperti di sekolah tadika. Dan syarikat-syarikat negara matahari
terbit itu sanggup membiayai pelajar ini demi memperkembangkan bahasa
mereka.



Jangan katakan pelabur tidak akan masuk ke negara kita jika kita tidak
pandai berbahasa Inggeris. Cuba lihat di China. Berapa ramai sangat
rakyat mereka yang mahir bertutur bahasa Inggeris berbanding negara
kita? Dan setelah China membuka pasaran mereka, tahukah anda berapa
banyak syarikat yang telah lari ke sana dari negara kita? Malah ada
syarikat yang menghentikan plan pembangunan mereka di sini kerana hendak
ke sana.



Yang penting bagi pelabur adalah keuntungan. Jika negara itu boleh
memberikan keuntungan, mereka akan melabur. Meskipun itu bermakna mereka
terpaksa belajar bahasa rasmi negara tersebut. Tetapi, jika negara itu
dipenuhi dengan rasuah, jenayah yang tidak bersempadan dan sistem
pentadbiran yang tidak teratur, biarpun Bahasa Inggeris adalah bahasa
rasmi negara itu sekalipun, pelabur tetap tidak akan masuk. Percayalah.



Lihatlah di Filipina yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai yang
tertinggi dalam hirarki bahasa mereka. Maju sangatkah negara ini? Begitu
juga dengan India. Walaupun tidak diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan,
bertutur dalam bahasa Inggeris adalah normal untuk mereka. Tetapi negara
ini tetap gagal menarik pelabur asing kerana rasuah dan gejala politik
yang berleluasa di sana. Apakah buktinya Bahasa Inggeris begitu penting
di sini?



Pernah saya melawati lawan web syarikat tempat saya bekerja di
Indonesia. Bukan laman web sebenarnya tetapi suatu perisian (software).
Saya tukarkan pilihan negara dari Malaysia ke Indonesia. Dan saya
dapati, perisian tersebut dalam Bahasa Indonesia. Kagum! Lihatlah jika
kita bertegas mahu mendarjatkan bahasa kita. Perisianpun mereka sanggup
tukarkan bahasanya. Apatah lagi perkara-perkara lain yang lebih mudah?



Pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris
sebenarnya adalah sebuah kegagalan yang nyata buat Kerajaan Malaysia
amnya dan Kementerian Pelajaran khasnya. Ini diperkuatkan lagi dengan
ujian Bahasa Inggeris yang diadakan baru-baru ini juga ke atas guru-guru
matapelajaran terbabit di mana majoriti guru gagal dalam ujian tersebut.
Lantas apakah tindakan kementerian?



Setelah dibuktikan gagal, kementerian sepatutnya menarik balik arahan
ini tetapi sayang, kini guru Bahasa Inggeris pula yang dipaksa
mengadakan `kelas tambahan' untuk guru-guru Matematik dan Sains
bagi menambahkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Kalau dibayar elaun
lebih masa tidak mengapalah juga. Ini… Hm…. Entah mengapa mereka
sanggup berusaha keras untuk melangkah ke belakang, saya tidak tahu.



Seorang yang berjaya adalah seorang yang berani mengaku kesilapan
mereka. Dan jika Perdana Menteri dan para menteri kabinetnya mahu
menjadi orang yang berjaya, hendaklah mereka berani mengaku kesilapan
mereka menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk
matapelajaran terbabit. Tidak perlu diberi tempoh lagi dan tidak perlu
dipelbagaikan usaha yang lain lagi.



Selain menutup kesilapan, ianya juga dapat `menghapuskan dosa mereka
kepada orang Melayu' merana menghina bahasa mereka. Saya tidak
menganggap Bahasa Inggeris sebagai kelemahan orang Melayu sebaliknya
hanya kelebihan bangsa asing. Ramai sebenarnya orang bukan Melayu yang
gagal bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri sebaliknya lebih mahir
untuk berbahasa Inggeris.



Apakah kita hendak menjadi begitu? Hm… Tidak dinafikan ramai juga
orang Melayu yang sudah bertutur Bahasa Inggeris dengan anak-anak
mereka. Mungkin bagi mereka, ini untuk kebaikan masa depan anak-anak
mereka. Supaya anak-anak mereka boleh mengambil peluang dalam
pembangunan Malaysia akan datang. Tetapi, orang Melayu yang berdarah
Melayu tidak akan rela kemuliaan bahasanya dihina sebegitu rupa…



Kemajuan? Ya… Kemajuan. Saya teringat satu tutur kata yang dikatakan
oleh teman saya pernah dituturkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kata
beliau, "Biarlah bangunan setingkat tetapi kita punya dari bangunan
10 tingkat tetapi `mereka' punya". Sama ada benar atau tidak
kata ini dituturkan oleh beliau, wallahu'alam. Tetapi kebenarannya
memang jelas nyata. Untuk apa kemajuan jika bangsa kita tetap merempat
dan kepentingan bangsa kita tetap tersingkir?



Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik
adalah akibat kejahilan saya sendiri.



Wabillahitaufiq walhidayah.



Wassalamualaikum warahmatullah…



-Abu Naqibah-



Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED]
<mailto:[EMAIL PROTECTED]>  atau lawati
http://abunaqibah.blogspot.com/

Kirim email ke