Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat Baginda saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat kita semua dan orang-orang yang beramal soleh.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Entah bagaimana, saya kurang pasti. Tetapi perbualan dua orang sahabat saya akhirnya bertukar menjadi pedebatan yang hangat. Masing-masing berdiri atas hujjah masing-masing. Saya pula hanya duduk di tengah-tengah. Bukan tidak punya idea tetapi kerana umur kedua-dua mereka yang melebihi sepuluh tahun jaraknya dengan saya membuatkan saya terfikir saya terlalu mentah untuk menjampuk dalam perbualan mereka. Tetapi akhirnya apabila keadaan menjadi semakin hangat, saya mengajak salah seorang dari mereka untuk pergi minum. Alhamdulillah, dia bersetuju. Jadi topik itu saya matikan begitu sahaja. Tidak ada ‘penggulungan hujjah’. Sebenarnya, berbahas itu baik. Tetapi jika terlalu taksub kepada hujjah yang kita pegang, akhirnya menjadikan hati kita buta untuk melihat kebaikan yang ada dalam hujjah orang lain. Sebenarnya kedua mereka berbincang tentang masalah sosial masyarakat. Seorang dari teman saya meletakkan kesalahan pada diri kerajaan. Katanya, kerajaan sebagai pemegang kuasa, gagal memanfaatkan kuasa yang ada pada tangan mereka untuk menghalang mana-mana kegiatan yang tidak bermoral. Bahkan mereka menutup pula sekolah-sekolah agama. Bagi saya, tiada salahnya dalam hujjah yang diujarkan oleh teman saya yang ini. Kemudian, yang seorang lagi pula berkata kita tidak boleh menyalahkan kerajaan. Lahirnya seorang pemimpin yang cintakan dunia kerana sikap keseluruhan masyarakat yang mencintai dunia. Kalau masyarakat itu cintakan agama, insyaAllah pemimpin yang bakal lahir juga mereka yang percaya kepada balasan akhirat. Jadi katanya, yang bersalah adalah pendakwah yang tidak membimbing masyarakat. Ini juga saya rasakan betul. Bukanlah saya bersifat lalang di sini. Tetapi hakikatnya memang sudah sebegitu. Hujjah kedua-dua mereka memang benar. Tidak perlu dikatakan siapa yang lebih benar. Yang penting, kerajaan salah, pendakwah juga salah. Bercakap tentang pendakwah, siapakah sebenarnya pendakwah? Kerja menyampaikan ini sebenarnya adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu muslim. Jadi, kesemua muslim itu dikira sebagai pendakwah. Bermakna kesemua kita bersalah. Saya cuba merenungkan kata teman saya yang kedua. Katanya, pemimpin yang cintakan dunia lahir daripada sikap masyarakat yang cintakan dunia. Benar. Sangat benar. Cuba lihat sekeliling kita hari ini. Bagaimana masyarakat kita menjalani kehidupan mereka. Berlumba-lumba untuk mendapatkan kekayaan. Berlumba-lumba untuk mempamerkan kemewahan. Dek kerana tamakkan habuan dunia, sampai ada yang terlupa di mana letak halal dan haramnya punca rezeki itu. Sehinggakan sanggup melabur dalam sistem yang tersimpang dari syariah. Tidak cukup itu, apabila bijak pandai kita, para ulama, mengeluarkan fatwa mengharamkan jenis-jenis pelaburan, maka kita tentang fatwa dan pendapat mereka. Semata-mata kerana kita rasa rugi jika tidak berlabur dalam skim yang haram itu. Tidak cukup itu, kita gunakan hadits Nabi saw sewenang-wenangnya. “Sesungguhnya meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan berharta lebih baik dari keadaan meminta-minta” tanpa kita selidiki apakah sebenarnya asbab hadits tersebut dinyatakan. Sehingga kita menafikan hadits lain yang mana Nabi saw mengangkat orang miskin ke darjat lebih tinggi dengan menyatakan orang miskin akan masuk syurga setengah hari (500 tahun) lebih awal. Atas sifat ini, sifat tamakkan harta dunia, maka kita alihkan qiblat kita kepada kebendaan. Kita ubah matlamat hidup sebagai untuk mencari kekayaan dan kemewahan, bukan untuk mencari keredhaan Allah. Maka kriteria pemimpin yang akan kita pilih juga semestinya berubah. Kita katakan, pemimpin yang mampu membawa kemajuan itulah pemimpin yang layak untuk memerintah negara. Jadi bagaimana hendak membawa kemajuan? Banyak. Tetapi cara yang paling mudah adalah dengan berkompromi dengan hukum Islam. Kemajuan itu kelihatan agak lambat tanpa pengambilan riba. Industri pelancongan tampak lesu tanpa penjualan arak dan penganjuran pesta besar-besaran. Kita mahukan pembangunan. Dan inilah pembangunan yang dibawa oleh pemimpin yang kita pilih, yang kita yakini mampu membawa kekayaan kepada negara. Salahkah sang pemimpin? Sedangkan mereka hanya menghulurkan kepada rakyat apa yang rakyat itu sendiri mahukan. Bukankah rakyat ingin kemajuan? Rakyat sebelum ini tidak pernah bercerita mahu dipimpin untuk ke syurga. Rakyat tidak pernah bercerita mahu undang-undang hudud ditegakkan. Yang rakyat mahukan hanya pembangunan. Mahu mudah dapat kerja. Mahu mudah kumpul harta. Salahkah mereka? Untuk ini, saya bersetuju pula dengan pendapat teman saya yang pertama. Kerajaan tetap bersalah. Biarpun mereka dilantik kerana rakyat mahukan pembangunan, tidak bererti mereka perlu mengenepikan hukum yang telah Allah tetapkan. Pembangunan bukan sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Nabi memuliakan orang miskin tetapi Nabi saw tidak pernah menghina orang kaya. Jadi tepatlah perbuatan mereka untuk membawa kemasyhuran kepada negara. Hanya, mengapa perlu jalan yang songsang yang dipilih? Mengapa mesti memilih untuk melaburkan wang amanah rakyat ke tempat-tempat yang haram di sisi syarak? Mengapa sanggup bertoleransi dengan kemunafikan dan kemungkaran atas nama kemajuan? Mengapa sanggup menggadai maruah dan masa depan bangsa atas dasar menarik pelabur asing? Kerana ingin memperlakukan barangan buatan tempatan, dianjurkan pesta seperti karnival JomHeboh. Memanglah di temasya ini banyak syarikat yang dapat membuat promosi dan meraih keuntungan tetapi janganlah sampai menutup mata apabila melihat kejelikan di dalamnya. Mufti juga sudah mengisytiharkannya sebagai haram, tetapi tidak pernah dihentikan. Mengapa? Atas alasan ekonomilah! Malah, lebih memilukan lagi, stesen radio dan televisyen milik kerajaan, RTM turut sama menganjurkan acara yang serupa. Karnival Gempar kini pula diadakan kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007. Apakah kerana terlalu ingin menyuburkan industri pelancongan maka kita sanggup butakan mata melihat kebejatan yang berlaku dalam setiap acara seperti Karnival Gempar dan JomHeboh diadakan? Saya yakin hujjah kedua-dua teman saya benar. Hanya keengganan menerima hujjah orang lain yang menjadikan perdebatan mereka tegang. Benar, kerajaan bersalah kerana terlalu berkompromi dengan kemaksiatan. Tetapi rakyat juga tidak kurang salahnya kerana memilih orang seperti mereka menjadi pemimpin. Maka kesedaran perlu dipupuk dari bawah. Semua rakyat mesti sedar tanggungjawab mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara. Boleh pilih yang membawa kemajuan, boleh pilih yang membawa kemasyhuran tetapi yang penting, pilihlah mereka yang sentiasa membawa kalimah Allah di dalam hati mereka….. Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/