Shahrol Yoga berdakwah dalam teksi  Oleh: ZUARIDA MOHYIN
        
      SEIRING sejalan...Shahrol Yoga sentiasa mendapat sokongan semangat dan 
doa daripada isteri tercinta, Siti Maznah Arshad.   
---------------------------------
  
  ORANGNYA cepat mesra dan begitu ramah meskipun perkenalan awal kami sekadar 
menerusi telefon. Apa tidaknya, belum pun sempat memulakan kata, dia lebih 
dahulu sudah bertanyakan khabar. Tambah mengukuhkan andaian penulis, apabila 
sahaja ditanyakan kesudian beliau untuk diwawancara, tanpa banyak soal beliau 
memberi lampu hijau. 
  Pada hari yang dijanjikan, penulis ke lokasi yang dipersetujui sehari sebelum 
itu. Kami berjumpa pada pukul 10.30 pagi di pejabat Perkim Petaling Jaya yang 
terletak dalam kawasan masjid Kolej Islam Malaysia, Seksyen 16, Petaling Jaya, 
Selangor. 
   
  “Saya ni memang ada niat bergelar seorang pendakwah suatu hari nanti. Hajat 
nak mendalami ilmu agama secara formal memang dah lama ada tetapi buat masa ini 
masih belum berkemampuan dalam pelbagai segi. “ 
   
  Mungkin belum ada rezeki lagi. Namun ini tidaklah bermakna ia padam begitu 
sahaja. Saya sentiasa tidak melepaskan peluang mengikuti apa-apa kursus sama 
ada anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam 
Malaysia (Perkim). Kadang-kala tu, jika isteri ada kelapangan, dia juga ikut 
serta. 
   
  “Sebenarnya, banyak yang diperoleh terutamanya saudara baru seperti saya. Ia 
bukan sahaja menambahkan ilmu agama di dada tetapi pergaulan dengan mereka yang 
senasib, menyedarkan kita bahawa ada insan yang lebih hebat cabaran sekali gus 
berkongsi pengalaman.
  “Manakala tunjuk ajar daripada ustaz dan ustazah, menambahkan semangat untuk 
terus cekal mengharungi hidup dan pada masa yang sama menguasai kemahiran 
berdakwah,” akui anak kelahiran batu Gajah, Perak, Md. Shahrol Yoga Abdullah 
pada pertemuan yang turut ditemani isteri, Siti Maznah Arshad.
   
  Menurut bekas anggota polis ini lagi, kalau hendak dikira detik 
pengislamannya, beliau telah belajar mengucap dua kalimah dan melafazkannya 
pada usia 10 tahun lagi. Sungguhpun pada masa itu hati beliau benar-benar 
terbuka kepada Islam tetapi dari segi undang-undang, ia dikira tidak menepati 
syarat serta tidak secara yang lebih betul dan teratur.
   
  Kewujudan
   
  Kata Shahrol, 37, pada masa itu beliau memang gemar mengikuti ceramah-ceramah 
agama yang disampaikan oleh tokoh-tokoh agama terkemuka pada masa itu di 
corong-corong radio. Banyak persoalan tentang kehidupan manusia dengan 
Penciptanya, kewujudan alam sekeliling dan alam selepas kematian terjawab.
   
  “Saya akhirnya benar-benar diisytiharkan seorang Muslim pada 21 Julai 1997 
iaitu kira-kira sepuluh tahun lalu di Pejabat Agama Islam Taiping, Perak. 
Mungkin ramai yang tertanya kenapa lama sangat? Banyak yang berlaku di dalam 
hidup ini. Biarlah itu saya simpan sendiri. Yang pasti, saya bersyukur kerana 
kini saya sudah Islam.
   
  “Sepanjang pengislaman ini, saya berterima kasih kepada tiga insan yang 
berada di JAIS dan Perkim iaitu Ustaz Zainuddin, Ustaz Amran dan Ustaz Anuar 
Hamzah kerana merekalah yang banyak membantu saya sama ada dari segi 
pembelajaran, aktiviti dakwah dan ekonomi.
   
  “Malah saya bersyukur kesungguhan dan keikhlasan ustaz di atas dan mereka 
yang berkaitan, telah membantu saya sehingga khatam al-Quran. Sekarang ini, 
azam saya ialah untuk melanjutkan pengajian di mana-mana institusi agama yang 
disediakan kepada golongan mualaf. 
   
  “Selepas itu, saya akan berusaha menyumbang kepada masyarakat Islam 
terutamanya dari segi mengembangkan syiar Islam,” terang Shahrol yang baru 
sembilan bulan bergelar pemandu teksi setelah menerima bantuan teksi daripada 
Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun lalu.
  Shahrol yang merupakan Ahli Jawatankuasa Perkim dan Pengerusi Biro 
Penerangan/Penerbitan turut mengakui mengalami perubahan dari segi kerohanian 
selepas bergelar Muslim. Kalau sebelum dia seorang yang panas baran tetapi 
Islam berjaya mendidik jiwanya supaya lebih sabar dalam menghadapi pelbagai 
urusan duniawi. 
   
  Kata bapa kepada Mohd. Hakimi, 7, dan Nurul Izzah, 6, senjata umat Islam 
iaitu doa merupakan perisai paling berguna. Sayangnya, kelebihan ini tidak 
disedari ramai umat Islam. Apabila seseorang itu telah melaksanakan solat dan 
kemudian berdoa, ketenangan yang hadir sukar digambarkan dan kenikmatannya cuma 
dapat dirasakan oleh mereka yang melakukannya dengan ikhlas dan kerana Allah.
   
  “Sebab itulah apabila saya mengetahui Islam adalah agama sebenar dan paling 
bermakna, apabila menerima hidayah Allah, saya tanpa melepaskan peluang pergi 
mendalami agama Islam. Tetapi, belajar menerusi penganjuran majlis-majlis 
Islam, itu tidak memadai. Saya akan berusaha untuk belajar secara lebih formal. 
Ini penting untuk saya bergelar pendakwah yang bertauliah.
   
  “Saya memang berharap suatu hari nanti saya dapat menyampaikan dakwah kepada 
golongan bukan Islam. Bagi saya bergelar pemandu teksi bukanlah satu kekurangan 
dalam menegakkan syiar Islam. Ini kerana menerusi kerjaya baru ini, peluang 
bertemu dengan pelbagai peringkat masyarakat adalah jauh lebih mudah.
   
  “Malah sekarangpun, saya sudah mula berdakwah kepada penumpang-penumpang yang 
menaiki teksi saya. 
   
  Berdakwah di sini bukanlah bererti menyampaikan ceramah tetapi berusaha 
memikul amanah Allah iaitu menjadi khalifah di muka bumi ini, itu sudah 
memadai. Sungguhpun, apa yang kita sampaikan itu sepotong ayat,” katanya kurang 
kefahaman orang bukan Islam tentang agama syumul ini membakar semangatnya untuk 
cuba memperbetulkan persepsi negatif itu.
   
  Beliau yang mendirikan rumah tangga pada 12 September 1999 mengakui apabila 
sahaja keputusan memeluk Islam diambil, dirinya disisih oleh keluarga. 
Penerangan yang salah daripada saudara mara yang lain memburukkan lagi keadaan. 
  “Saya adalah anak tunggal. Bila ibu mengetahui saya bertukar agama, mereka 
menyangkakan hubungan darah kami juga terputus sebaik sahaja saya melafazkan 
syahadah. Apa lagi dalam menguruskan soal-soal seperti kematian dan perayaan 
tertentu. 
   
  “Alhamdulillah, apabila saya terangkan perlahan-lahan dan yang paling mujarab 
apabila kita menunjukkan contoh seorang anak soleh sebagaimana tuntutan Islam, 
lambat laun mereka akan menyedarinya. Mengapa umat Islam dipandang serong? 
Sebabnya umatnya itu yang perlu merungkai 
  persoalan tersebut,” akui Shahrol yang bersyukur kini ibunya telah tinggal 
bersamanya.
   
 

Kirim email ke