Personaliti: Ann sebar dakwah  menerusi perniagaan  Oleh Azrul Affandi Sobry

 MEMELUK Islam tanpa dirancang menyebabkan Ann Wan Seng tidak menukar nama 
asalnya, malah mendaftarkan Ann Abdullah sebagai nama Islam tetapi selesa 
dikenali dengan nama Cina sehingga kini.

   
function ebStdBanner0_DoFSCommand(command,args){try{command = 
command.replace(/FSCommand:/ig,"");if(command.toLowerCase()=="ebinteraction")gEbStdBanners[0].handleInteraction();}catch(e){}}
                                                            
 Beliau merasakan tidak perlu menukar kepada nama lain kerana dengan 
mengekalkan nama Cina membuktikan beliau hanya menganut Islam tetapi masih 
mengekalkan keturunan Cina yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya. Selain 
itu, ia juga membuktikan beliau tetap mengekalkan hubungan kekeluargaan 
walaupun selepas memeluk Islam.


 Menceritakan pengalamannya dibuka hidayah Ilahi untuk menerima Islam, beliau 
sebenarnya mengenali, mempelajari, mengkaji dan menguasai Islam selama lebih 10 
tahun sejak di sekolah menengah.


 Segala-galanya bermula apabila beliau mengambil subjek Sejarah Islam ketika di 
Tingkatan Enam sebagai subjek wajib bagi pelajar jurusan sastera.


 “Siapa sangka ia adalah titik mula yang membuka minat saya untuk lebih 
mengenali dan mendekati Islam, malah menjadi pelajar terbaik subjek terbabit. 
Dalam diam, saya mula mengkaji Islam lebih mendalam. 


 “Bagaimanapun, sering kali berlaku beberapa persoalan mengenai kemusykilan 
yang diajukan kepada rakan sekolah tidak dapat dijawab dengan baik oleh mereka. 
Keadaan itu mendorong saya mencari dan akhirnya menerima Islam,” katanya.


 Menyedari minatnya terhadap Islam semakin mendalam, beliau mengambil keputusan 
menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam pengkajian berkenaan Gerakan 
Islam pada 1992 hingga 1996 di Universiti Malaya.


 Dalam tempoh itu, hatinya tidak terbuka untuk menganut Islam kerana belum 
menemui apa yang benar-benar memberikan keyakinan untuk memulakan langkah 
pertama, ditambah dengan masalah ingin menjaga hati keluarga yang menentang 
keras hasrat ahli keluarga memeluk Islam.


 “Sepuluh tahun saya belajar mengenai Islam secara senyap. Saya ambil kertas 
Sejarah Islam di Tingkatan Enam pun ibu bapa tidak tahu. Begitu juga ketika 
membuat kajian untuk pengajian sarjana, mereka tidak tahu.


 “Maklumlah, masyarakat Cina memang memberi kebebasan kepada anak mereka 
memilih jalan hidup sendiri tetapi agak bertegas berkenaan agama. Tambahan 
pula, belum ada dalam sejarah keluarga saya yang memeluk Islam.


 “Masyarakat Cina di negara ini beranggapan Islam hanya milik Melayu dan 
tanggapan itu menjadi penghalang. Berbeza dengan penerimaan mereka terhadap 
Buddha walaupun hakikatnya agama itu berasal dari India,” katanya.


 Menceritakan langkah pertamanya memeluk Islam, peristiwa pada 1996 itu boleh 
dikatakan berlaku secara tidak disangka apabila hatinya tergerak menelefon 
rakannya di Perkim, Ustaz Shafie Patt. Apabila pertemuan diatur, beliau terus 
melafazkan syahadah yang sudah lama dihafalnya.


 “Inilah yang dinamakan kuasa hidayah. Bayangkan selama 10 tahun saya mengenali 
dan mendekati Islam, saya tidak berasa apa-apa. Hanya selepas itu, pada satu 
pagi, hati saya terbuka untuk menerima Islam.


 “Saya percaya, semua ini terjadi kerana saya dapat merasakan keindahan dan 
nikmat yang ada dalam Islam. Namun, halangan selepas itu masih ada kerana saya 
terpaksa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.


 “Saya tetap tinggal dengan mereka kerana pada peringkat awal menamatkan 
pengajian, saya belum mampu hidup sendiri. Selama tiga tahun saya terpaksa 
tinggal dengan mereka dan makan bersama mereka.


 “Saya terpaksa makan dalam pinggan yang sama dihidangkan makanan tidak halal 
walau saya tidak memakannya. Ketika itu, hati ini meronta kerana terpaksa 
berdepan dengan semua keadaan itu,” katanya.


 Ann berkata, mereka yang lahir sebagai umat Islam seperti orang Melayu 
sepatutnya bersyukur kerana tidak perlu melalui pelbagai halangan untuk menjadi 
seorang Islam. Mereka sudah berasa nikmat Islam sejak lahir dan terus hidup 
dalam lingkaran agama yang kuat.


 Menyorot kembali detik 10 tahun mempelajari Islam, Ann yang banyak 
menghasilkan penulisan berkenaan Islam malah, pernah dijemput memberi ceramah. 
Surau Al-Muttakim di Gombak adalah tempat pertama beliau menyampaikan pandangan 
berkenaan Islam pada 1994.


 “Ketika itu, ramai membantah dan mempertikaikan bagaimana bukan Islam 
dibenarkan memberi ceramah di dalam surau. Tetapi jika dipandang daripada sudut 
positif, mendengar sesuatu pandangan dari bukan Islam mengenai agama ini akan 
membawa makna lebih besar kerana ia membuktikan ada kajian bersungguh daripada 
agama lain mengenai Islam.


 “Malah, ramai tidak tahu sebenarnya ramai pakar penyelidik menulis buku 
mengenai keindahan Islam di Eropah adalah bukan Islam dan ini semua berlaku 
atas kehendak-Nya. 


 “Selagi Allah belum membuka hati mereka untuk memeluk Islam, ia takkan berlaku 
walau mereka sudah cukup mengenali Islam,” katanya.


 Ann yang kini berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agong Kehormat Perkim 
Kebangsaan turut aktif menulis buku berkenaan Islam malah beliau sudah 
menghasilkan lebih 30 judul buku dan 4,000 artikel.


 Antara hasil penulisannya ialah Rahsia Bisnes Orang Cina – The Bamboo Network, 
yang paling berjaya kerana sudah diulang cetak lebih 10 kali, malah berjaya 
menembusi pasaran Indonesia dan dicetak sebanyak empat kali dalam dua bulan.

 Beliau yang baru menulis buku Rahsia Kegemilangan Islam di China itu berkata, 
kini hasratnya untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat menggunakan 
pendekatan dan formula yang pelbagai supaya sesuai dengan semua peringkat usia 
dan kaum.

 “Melalui Persatuan Cina Muslim Malaysia, kami kini mampu menjalinkan hubungan 
lebih erat dengan beberapa pertubuhan Cina, termasuk Dewan Perniagaan Cina. 
Kami juga berjaya memasuki Pulau Ketam untuk menjalankan seminar walaupun 
penduduk di situ sukar menerima tetamu Islam,” katanya.

PROFIL

Nama: Ann Wan Seng
Umur: 39 tahun
Status: Berkahwin
Pendidikan: SMK Datuk Hamzah, Pelabuhan Klang.
SMK Tengku Ampuan Rahimah (STAR).
Sarjana Muda (kepujian) Sastera, Universiti Malaya; 1988-1991
Sarjana Sastera (Antropologi dan Sosiologi), Universiti Malaya; 1992-1996

Kerjaya:

– Bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi, Universiti Malaya.
– Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
– Kolumnis di majalah Dewan Siswa, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Pelajar, 
Dewan Masyarakat, Majalah i, Minda dan Sarina.
– Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia.
– Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan.
– Penasihat Asrama Baitu Ummah.
– Penceramah, pakar motivasi, penyelidik dan penulis.

Kirim email ke