Kawal marah sifat terpuji
Oleh Mohd. Yaakub Mohd. Yunus
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm


Dalam kehidupan seharian, pasti kita berhadapan dengan
perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita
juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu
perkara yang negatif.

Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana
firman Allah: (Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan
kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu
menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam
hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan
sombong angkuh secara Jahiliah (yang menyebabkan kamu
panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan
semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada
orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah
perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang
kepada kalimah takwa, sedang mereka (di sisi Allah)
adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah
takwa itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah
adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(al-Fath: 26) 

Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. mencela keangkuhan
golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang
mana ia timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah
menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial
mereka. 

Kebaculan

Sementara itu, Allah juga memuji sifat tenang dan
tenteram yang telah dikurniakan kepada golongan
mukminin. Ternyata menerusi ayat ini sifat marah
dinilai secara negatif. Namun begitu adakah Islam
ingin membasmi sifat marah secara total? Sebelum itu
mari kita lihat jenis-jenis manusia berkaitan dengan
sifat marah.

Golongan Pertama: Tafrith iaitu mereka yang langsung
tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang berlaku
disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan
perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak
memiliki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak
terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh
musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang
terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan
maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya
perlu.

Firman Allah: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah;
dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras
dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi
Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta
belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).
(al-Fath: 29)

Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran
terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka
dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh
kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam
melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi
kehormatan ahli keluarganya. 

Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya dia (Sa’ad)
adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah
lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan
Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu
sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan
maksiat). (Riwayat Muslim)

Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan
sifat marah adalah tercela di sisi syarak.

Golongan kedua, ifrath iaitu mereka yang tidak dapat
mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan
sehingga hilang pengawalan akal yang waras terhadap
dirinya.

Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang
kuat serta mengeluarkan kata-kata kasar lagi kesat.
Ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya
pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga
terjadi pertumpahan darah. 

Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk
perasaan dendam, benci dan dengki sehingga
mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang
yang dimarahinya.

Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini
maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan agar
perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang
sahabat meminta nasihat daripada Baginda s.a.w, lantas
Baginda bersabda: Jangan marah. Kemudian sahabat
tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan
nasihat. Sekali lagi baginda menjawab: Jangan marah.
(Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116).

Allah juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan
marah melalui firman-Nya dalam surah Ali-Imran:
133-134)

Di antara cara mengawal perasaan marah sebagaimana
yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah: 

* Mengucapkan Ta’awudz (A’udzu billahi minasy
syaithoonir rajeem - Aku berlindung kepada Allah
daripada syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana
perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.

* Diam atau tidak berbicara.

* Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu
sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak
reda juga maka hendaklah dia baring.

* Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menenangkan jiwa
yang sedang marah

Golongan ketiga, i’tidal iaitu golongan yang bersikap
sederhana di antara tafrith dan ifrath. Mereka tidak
menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya
akan marah dalam situasi yang bersesuaian. Akal juga
masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti
batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Kehormatan

Kemarahan yang tergolong dalam kategori terpuji adalah
kemarahan yang timbul hanya kerana menurut perintah
Allah dan untuk membela agama Islam serta umatnya.

Oleh itu hendaklah kemarahan yang ada dalam jiwa
seorang muslim itu bertindak untuk menolak gangguan
orang lain terhadap kehormatan dirinya, keluarganya
serta umat Islam keseluruhannya dan menghukum mereka
yang ingkar kepada perintah Allah. 

Firman Allah: Perangilah mereka, nescaya Allah akan
menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan
Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu
menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati
orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan
menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman
itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang
dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana. (al-Taubah: 14-15)

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. ialah Baginda tidak
menunjukkan kemarahan dan melakukan pembalasan hanya
kerana kepentingan peribadinya. Segala kemarahannya
adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah.

Saidatina Aisyah r.a. telah meriwayatkan bahawa: Dan
tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk
(membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali
jika perkara-perkara yang diharamkan Allah dilanggar,
maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap
perkara itu kerana Allah. (Riwayat Bukhari)

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah
ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama sekali
dalam jiwa seseorang maka ia termasuk dalam perbuatan
yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan
yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya
dan kurang cintanya terhadap agama Allah.

Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa
batasan ia juga mengundang bahaya serta boleh
menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu,
sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri
seseorang tetapi ia sentiasa diarahkan kepada perkara
yang kena pada tempatnya. Dikawal oleh akal yang
bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan
oleh syarak. 

Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah
ia merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu
umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua
perkara. Firman Allah: Dan demikianlah (sebagaimana
Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami
jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang
pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak
menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat
manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan
Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang
menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (al-Baqarah:
143)

Oleh itu sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh
untuk mengamal sifat marah yang i’tidal ini.


* MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib
Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank
Berhad. Boleh boleh dihubungi melalui e-mel
[EMAIL PROTECTED]




       
____________________________________________________________________________________
Moody friends. Drama queens. Your life? Nope! - their life, your story. Play 
Sims Stories at Yahoo! Games.
http://sims.yahoo.com/  

Kirim email ke