Penjajahan Jepun & Kemerdekaan - Satu Penilaian (bah. akhir)
 Posted on Tuesday, July 10 @ 08:08:46 MYT by SongkokPutih 
  Oleh alexanderwathern

"Setelah lebih 400 tahun dinafikan kedaulatan oleh para penjajah Barat, 
tiba-tiba terbit satu sinar baru yang mungkin dapat menyuluh jalan ke arah 
mendapatkan kedaulatan kembali. Sinar harapan itu ialah tentera Jepun. Zaman 
itu orang-orang kampung malah orang-orang pekan kebanyakannya tidak tahu-menahu 
senario politik dunia. 


Media tidak semudah dan secanggih hari ini. Yang memahami situasi dunia di 
negara ini hanyalah beberapa kerat saja. Antaranya ialah Ibrahim Yaakob (tak 
ada gelaran Tan Sri ke?) Dalam kemajuan media hari ini pun masih banyak umat 
Islam tanah air tidak ambil tahu permasalahan dunia Islam, apatah lagi pada 
zaman Perang Dunia ke-2 itu. 


Banyak yang terkejut apabila mendapati para pejuang Moro di selatan Filipina 
berpakaian seragam tentera. Selama ini disangkanya pakai pakaian para petani 
seperti di Vietnam. Banyak yang tidak tahu di mana wilayah Caucasus dan 
terpinga-pinga apabila diberitahu banyak umat Islam di sana sedang menderita 
dibelasah kaum kafir musyrik. 


Banyak yang tidak tahu wujudnya sebuah negara Islam bernama Turkistan Timur 
(Xin Jiang) di timur negara China tetapi dirampas daripada umat Islam, 
sementara umat Islam di tempat-tempat lain buat tidak tahu sahaja. Yang mereka 
tahu dan ambil sikit peduli hanyalah Palestin, Afghanistan, Iraq dan selatan 
Thai. 


Itu pun sebab selalu masuk media. (* Sila kunjungi laman info nasib umat Islam 
sedunia di http://satuumat.greatnuke.com/ ) Jadi beberapa orang yang ada ilmu 
seperti Ibrahim Yaakob dan kawan-kawannya membikin rencana baru ke arah 
kemerdekaan. 


Mereka menyatakan sokongan kepada tentera Jepun untuk menghalau Inggeris 
daripada Tanah Melayu. Percaturan mereka ada asasnya, bukan main hentam atas 
dasar semangat sahaja. Antaranya: 


1. Barat menjajah lebih 400 tahun, tidak ada tanda-tanda Tanah Melayu bakal 
merdeka. Jepun? Belum pernah menjajah Tanah Melayu dan menjanjikan pengusiran 
penjajah dari Barat. Orang terdesak seperti kita akan pilih yang mana? 


2. Barat sudah terbukti memusuhi Islam sejak era Perang Salib. Jepun? Belum 
pernah menzalimi penganut agama Islam. Bahkan kepulauan Ryukyu pernah mempunyai 
hubungan erat dengan kerajaan Melaka. 


3. Jepun punyai rekod cemerlang sebagai kuasa Asia yang pertama menewaskan 
kuasa Barat iaitu Rusia. 


Dikatakan 2 juta tentera Rusia digerakkan ke Manchuria untuk bertempur dengan 
Jepun tetapi jumlah sebesar itu tersungkur di kaki tentera Jepun. Karikatur 
sebelum perang bermula menggambarkan Rusia sebagai seekor beruang kutub yang 
besar sedang berhadapan dengan seorang samurai berpedang yang katik. 
Rupa-rupanya sang beruang kutub menjadi lapahan si samurai. 


4. British adalah kuasa penjajah yang paling kuat membuli Tanah Melayu. 
Sungguhpun Portugis meruntuhkan kesultanan Melaka, tetapi jajahannya yang 
sebenar hanyalah Melaka. 


Cuma Portugis giat melancarkan serangan ke negeri-negeri lain. Belanda pula 
banyak berkurung dalam kota. Inggeris? Seluruh Tanah Melayu di bawah ketiaknya. 
Orang-orang Melayu yang ada kesedaran memandang British penjajah paling jahat. 


5. Perang antara Jepun dengan British tidak mustahil akan berakhir dengan ‘yang 
menang jadi arang, yang kalah jadi abu’. Ketika inilah Tanah Melayu akan 
membebaskan diri. 


Sebab itulah para pemikir ini sanggup bekerjasama dengan ejen-ejen perisik 
Jepun yang datang lebih awal ke Tanah Melayu yang kebanyakannya menjadi 
peniaga. 


Propaganda Jepun disebarkan secara sulit-sulit kepada para penduduk. Ketika 
tentera Jepun mula mendarat dan menyerang, penduduk yang terpengaruh melahirkan 
rasa suka. Pernah menonton filem Leftenan Adnan? Pihak British membentuk 
pasukan askar Melayu. 


Ketika tentera Jepun menyerang, pasukan ini turut sama bertempur 
mempertahankan. Mempertahankan apa? Mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu? 
Tentu tidak kerana kita sedang dijajah British! Apa yang dipertahankan? 

Sebab itu kita tidak hairan dengan watak Faizal Hussein yang asyik 
mempertikaikan perjuangan mereka dalam filem itu. Antara katanya, “Kita tak 
patut terlibat dengan perang ni!” Watak ini sebenarnya menggambarkan pendirian 
banyak juga orang Melayu pada masa itu. Ini kerana mereka faham, pasukan itu 
sebenarnya sedang mempertahankan penjajahan British! 


Jepun menang dan memerintah Tanah Melayu. Orang-orang bangsa Tiong Hua dikerasi 
kerana disyaki menyokong negara China dalam perang China-Jepun. Dengan penduduk 
bangsa Melayu, Jepun tidak ada masalah pada awalnya. Agenda Jepun juga asalnya 
tidak banyak beza dengan agenda penjajah Barat iaitu: 


1. memerintah 


2. membawa kemajuan terutamanya teknologi 


3. memanipulasikan kekayaan Tanah Melayu untuk kepentingan negara Jepun Pada 
asanya sama saja dengan pentadbiran British, cuma bertukar pemerintah. 
Keuntungan dan kerugian orang Melayu sama saja seperti di bawah penjajahan 
Inggeris dulu. 


Ibrahim Yaakob dan para pendokongnya tetap berasa puas hati walaupun keinginan 
melihat British dan Jepun sama-sama ‘angkat bungkus’ tidak kesampaian. 
Sekurang-kurangnya rundingan baru dengan penjajah baru boleh diusahakan ke arah 
kemerdekaan mutlak. 


Penjajah 400 tahun yang sudah pasti zalim berjaya diusir sedangkan penjajah 
baru belum ada rekod lagi. Sinar merdeka mula menampakkan cahayanya. Malang 
sekali. Pentadbiran Jepun dikepung oleh Barat dari segenap penjuru. Ekonomi 
tidak boleh dijana. Sekatan demi sekatan di peringkat global dikenakan. Hasil 
bumi Tanah Melayu tidak dapat dipasarkan. 


Bagaimana Jepun hendak memerintah? Dari mana sumber kewangan mereka? Bagaimana 
mereka hendak menjaga kebajikan penduduk? Pada zaman British sebelumnya, 
penjajah tidak mengalami sekatan ekonomi. Bolehlah digula-gulakannya rakyat 
dengan pembinaan kilang, jalan raya, sekolah, jabatan-jabatan, hospital dan 
lain-lain. 


Itu pun kebanyakan rakyat tidak sedar yang kilang dibuat untuk mudahkan British 
memproses bahan mentah negara ini, jalan raya dibuat untuk mudahkan 
barang-barang itu diangkut ke bandar dan pelabuhan, pelabuhan dimajukan supaya 
mudah kapal-kapal British mengangkut kekayaan negara ini ke negara mereka.

 
‘Budak-budak’ British yang berbangsa Melayu dan beragama Islam mendakwa , 
“Kalau tuan Inggeris tak datang memerintah, tak majulah negeri kita ni. Nak 
buat jarum pun tak boleh, nak buat benda-benda besar yang macam Inggeris buat?” 
Kemiskinan tentera Jepun yang memerintah ketika itu membuatkan mereka terpaksa 
memeras penduduk. Maklumlah, mata wang ‘pokok pisang’ Jepun boleh dibuat tilam 
tetapi tiada nilai. 


Harta penduduk dirampas. Kerahan tenaga (tanpa upah) terpaksa dilakukan. Kisah 
pembinaan ‘Landasan Kereta Api Maut’ memang menyayat hati. Timbullah kezaliman. 
Mereka ‘terpaksa’ zalim. Timbullah kisah tentera Jepun mausuk kampung dan 
melakukan huru-hara. Tapi ramai yang masih tidak tahu bahawa tentera bawahan 
Jepun sebenarnya banyak yang bukan bangsa Jepun. 


Askar Jepun prinsipnya mahu memenangi hai rakyat, bukan memusuhi rakyat. Askar 
bawahan Jepun dari Manchuria, Korea dan Chinalah sebenarnya yang rajin buat 
porak peranda. Ditambah pula dengan orang tempatan yang menjadi polis Jepun dan 
para kempetai. Kadang-kadang jenis ini lebih besar kepala, macam dalam filem 
Sarjan Hassan. Pemikir-pemikir yang dulunya menyokong kehadiran tentera Jepun 
mula menentang balik. Ramai yang dipenjarakan. 


Ramai juga yang masuk hutan menyusun gerakan bersenjata. Dulu Jepun menganggap 
mereka kawan, tetapi kini sebagai musuh ketat. Namun Jepun lebih baik daripada 
Belanda. Jepun berkhianat hanya setelah ditekan oleh Barat. Belanda pula sebaik 
sahaja berjaya menewaskan Portugis dengan kerjasama tentera Johor, terus saja 
berkhianat dengan menduduki A Famosa dan menghalau tentera Melayu. 


Apa yang cuba disampaikan di sini ialah para pemikir ini tidaklah boleh kita 
label sebagai pengkhianat bangsa apabila mereka bersubahat dengan tentera Jepun 
pada awalnya. Bahkan mereka turut berjasa menentang pula pemerintahan tentera 
Jepun kemudiannya. 


Tentera Jepun meletak senjata dan pulang kerana kalah di Jepun. Di Tanah 
Melayu? Jepun tidak pernah kalah dengan siapa-siapa. Sebaik-baik sahaja mereka 
melepaskan pemerintahan, sebenarnya Tanah Melayu sudahpun merdeka. British 
datang semula dengan propaganda yang jauh lebih hebat daripada propaganda 
Jepun. 


Kemerdekaan kita dinafikan. Panjanglah lagi kisahnya sampailah tahun 1957. Satu 
perkara menarik yang tidak dicatat dalam buku sejarah tetapi ada pada 
orang-orang lama ialah cerita tentang Dato’ Onn Jaafar. Bukankah sepatutnya 
beliaulah orang yang melaungkan ‘Merdeka’ dan bukannya Tunku Abdul Rahman? 
Kononnya kemerdekaan tidak dilepaskan ke tangannya kerana beliau mahukan 
kemerdekaan mutlak ‘yang diberi’, bukannya kemerdekaan ‘yang diminta’. 


Wallahualam. 
Semoga para pejuang mengkaji semula riwayat ‘penyingkiran’ Dato’ Onn itu. 


alexanderwathern 
http://myalexanderwathern.freephpnuke.org "

Kirim email ke