Kewajipan melaksanakan hukuman qisas  FIRMAN Allah yang bermaksud; Oleh kerana 
itu Kami tetapkan (sesuatu hukum) ke atas Bani Israel, iaitu barang siapa 
membunuh seorang manusia bukan kerana ia membunuh orang lain atau bukan kerana 
melakukan sesuatu kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh manusia 
seluruhnya dan barang siapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka 
seolah-olah ia memelihara nyawa manusia seluruhnya.
   
   
  Sesungguhnya rasul-rasul Kami telah datang kepada mereka membawa 
pengajaran-pengajaran yang jelas kemudian ramai di antara mereka sesudah itu 
menjadi manusia-manusia pelampau di muka bumi. (al-Maidah: 32)
   
   
  Huraian 
   
  Oleh kerana berlakunya banyak pencerobohan, pembunuhan dan pemerasan hak maka 
Allah Yang Maha Kuasa yang mengetahui keadaan dan perilaku manusia, menetapkan 
hukuman qisas yang perlu dilaksanakan, iaitu hukuman balas kepada orang yang 
melakukan pembunuhan dengan sengaja. 
  Hukuman ini sebenarnya telah dikuatkuasakan ke atas Bani Israel di dalam 
syariat yang ditetapkan kepada mereka. 
   
   
  Di dalam Islam, perbuatan bunuh adalah satu dosa besar. Membunuh seorang yang 
lain seolah-olah menyamai perbuatan membunuh seluruh manusia. Tindakan 
menyelamatkan satu nyawa seolah sama seperti menyelamatkan nyawa seluruh umat 
manusia. 
  Hukuman qisas yang wajib dilaksanakan ini mempunyai kesan besar dalam 
membentuk dan mempertahan hak asasi manusia kerana ia mencegah pembunuhan yang 
dilakukan dengan sewenangnya oleh orang lain. Ia mempertahankan maruah manusia, 
mengawal dan membentuk keamanan dan ketenteraman hidup. 
   
   
  Allah merakamkan dalam ayat di atas kecaman terhadap Bani Israel yang ingkar 
dalam melaksanakan suruhan Allah s.w.t. dalam bentuk peraturan dan 
penguatkuasaan undang-undang, Rasul yang didatangkan kepada mereka, mereka 
hinakan dan rendahkan.
  Sikap yang melampaui batas mereka adalah contoh sikap degil golongan yang 
mengingkari perintah dan suruhan Allah s.w.t. 
   
   
  Kesimpulan
   
  Allah yang mencipta manusia, mengetahui perilaku dan sifat manusia, telah 
menetapkan hukuman qisas untuk membendung salah laku dalam jenayah pembunuhan 
yang dilakukan manusia. 
   
   
  Sikap Bani Israel yang mengingkari perintah Allah merupakan sikap manusia 
yang dimurkai Allah s.w.t. 
  – Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.


Kirim email ke