Ning Baizura bertunang 19 Julai  KUALA LUMPUR 12 Julai – Penyanyi dan pelakon 
Ning Baizura, 32, akan bertunang dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 
33, pada 19 Julai ini.
   
   
  Majlis pertunangan tersebut akan diadakan di rumah bapanya, Sheikh Hamzah 
Sheikh Mohd. di Shah Alam selepas Isyak.
   
   
  Selasa lalu, Ning telah dirisik oleh Omar yang diwakili oleh Datin Farida 
Hashim (ibu angkat Ning) di rumah bapanya.
  Ning ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, beliau tidak akan 
mengumumkan jumlah wang hantaran dan tarikh pernikahannya nanti.
   
   
  “Bagaimanapun, kami merancang bernikah dalam tempoh setahun dari tarikh 
pertunangan,” kata Ning yang mengakui hubungannya dengan Omar direstui oleh 
keluarga kedua-dua belah pihak.
   
   
  Menurut Ning, pada majlis pertunangan itu nanti, pihak lelaki akan diwakili 
oleh Farida kerana ibu bapa Omar yang menetap di England tidak dapat hadir.
   
   
  Ning dan Omar mula berkenalan pada satu majlis perkahwinan rakan baiknya di 
Bali, Indonesia pada awal September lalu.
   
   
  Kata Ning, Omar yang bertugas di sebuah syarikat minyak di Kuala Lumpur sejak 
dua tahun lalu telah memeluk Islam pada 7 Julai lepas di Islamic Outreach, 
Jalan U-Thant di sini. 
  “Pada hari yang penuh makna itu, Ning tidak dapat turut serta sebab menyertai 
acara Jom! Heboh di Pulau Pinang. Tapi bapa dan abang Ning serta Amir (suami 
pengacara Sarimah Ibrahim) dan Vernon Kedit-Jelly (pengurus Ning) hadir 
menyaksikan acara itu,” kata Ning.
   
   
  Menurut penyanyi itu yang telah memperlihatkan lakonan hebat dalam filem Diva 
baru-baru ini, beliau bercadang untuk mengikuti kursus perkahwinan pada 
September ini.
   
   
  “Masa itu bulan puasa, tidak banyak aktiviti seni. Jadi Ning rasa waktu itu 
memang sesuai untuk kami ikuti kursus perkahwinan sebelum bernikah tahun 
depan,” jelasnya.
  Sementara itu, Omar dalam kenyataan ringkas yang dihantar melalui Vernon 
berkata, beliau jatuh cinta dengan Ning kerana penyanyi itu baik hati dan 
sensitif terhadap perasaannya.
   
   
  ‘‘Ning menerima saya seadanya. Selain terpikat dengan sifat lucunya, dia juga 
wanita jelita yang cerdik dan sentiasa tersenyum,’’ katanya.


Kirim email ke