Masih adakah yang mahu mempertahankan Islam?

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak permohonan V.Suresh untuk mendapatkan 
perintah HABEAS CORPUS bagi membebaskan isterinya Siti Fatimah Abdul Karim 
(yang nama Hindunya adalah M. Revathi) dari tahanan di Pusat Pemurnian Akidah, 
Baitul Aman di Batang Kali, Selangor. Hakim Datuk Su Giok Yam menolak 
permohonan itu yang dikemukakan oleh peguam Karpal Singh atas alasan Siti 
Fatimah telah pun dibebaskan dari Pusat tersebut.


Pada 23 Jun 2006 Siti Fatimah telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi 
Syariah Melaka untuk keluar dari Islam dan menukar namanya dari nama Islam ke 
nama Hindunya atas alasan beliau tidak lagi menganut Islam, telah berkahwin 
dengan V. Suresh menurut agama Hindu dan kini mempunyai seorang anak Diviya 
Dharhini hasil dari perkahwinan itu.


Mahkamah walaubagaimanapun telah mengeluarkan perintah menahan Siti Fatimah 
untuk 100 hari mulai 8 Januari tahun ini (dan kemudiannya dilanjutkan ke 80 
hari lagi) di Pusat berkenaan dan perintah tersebut disahkan oleh Mahkamah 
Tinggi Syariah Selangor yang diberi kuasa ke atas responden memandangkan Pusat 
tersebut berada di Selangor.

 


gambar terkini Fatimah dan anak 
dari laman web Malaysiakini


Perintah tahanan ini telah mendapat liputan hangat media bukan Melayu 
termasuklah media antarabangsa.


Menurut turutan kesnya Siti Fatimah lahir dalam sebuah keluarga Muslim dan 
dibesarkan mengikut ajaran Islam oleh ibu-bapa kandungnya. Pada tahun 2004 
beliau telah lari dari rumah dan berkahwin dengan Suresh.


Semalam juga Siti Fatimah telah dibawa ke Mahkamah Syariah Melaka yang telah 
membebaskan beliau dengan syarat beliau dan anaknya mestilah tinggal bersama 
ibu-bapa kandungnya dan tidak boleh lagi tinggal dengan suaminya yang beragama 
Hindu.


Akhbar Utusan Malaysia meletakkan berita ini di muka 13 tanpa menyebut perintah 
yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariha Melaka sedangkan saya merasakan kes ini 
sangat besar khasnya terhadap umat Islam dan sepatutnya akhbar tersebut 
meletakkan berita ini di muka hadapan dan melaporkan dengan secara terperinci 
perkembangan ini agar menjadi iktibar dan pengajaran kepada umat Islam.


Saya katakan demikian kerana laman web Malaysiakini bukan sekadar melaporkan 
kes ini, malah menonjolkan bahawa Siti Fatimah jelas terus menantang usaha 
untuk mengembalikannya kepada Islam. Beliau kelihatan dalam beberapa gambar 
yang dipaparkan oleh laman web ini, mengenakan pottu (tanda merah di dahi) dan 
demikian juga anak kecilnya, saya kira bagi membuktikan yang beliau masih 
penganut Hindu!


Jika sesiapa berkesempatan menonton klip video yang disertakan oleh laman web 
ini jelas walaupun telah lebih 180 hari berada di pusat pemulihan akidah itu, 
ternyata kakitangan di pusat berkenaan gagal menyelamatkan akidah Siti Fatimah. 
Dalam video berkenaan, antara dailog yang boleh saya ketengahkan di sini:


Wartawan: Tiap-tiap hari buat apa di sana?
Fatimah: Hari-hari kalau nak katakan ikut agama Islam, memang dia orang buat 
ajaran agama Islam, tapi saya tidak pernah ikut, tidak pernah ikut langsung 
satu pun


Wartawan: Punca masalah ditahan, siapa yang buat aduan?
Fatimah: Tidak ada orang buat aduan, saya minta permohonan menukar nama saya 
dan agama saya dekat mahkamah syariah. Saya buat permohonan.


Wartawan: sekarang dalam IC nama Ravathi nama Islam?
Fatimah: Saya nak gugurkan nama itu


(Untuk makluman Fatimah fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia)

Di Mahkamah Tinggi semalam wakil dari Majlis Perundingan Agama Hindu, Sikh, 
Buddha dan Kristian turut berada di mahkamah.


Perkembangan ini sudah pasti mencetuskan kebimbangan dihati sebahagian besar 
umat Islam, sejauh manakah kemampuan pihak berkuasa agama kita dalam membela 
dan mempertahankan aqidah umat Islam? Apa yang berlaku di Shah Alam semalam 
sudha pasti dianggap oleh masyarakat bukan Islam sebagai menyekat kebebasan 
mereka dan menggambarkan seolah Islam itu zalim dan memporak-perandakan 
rumahtangga orang.


Saya menyeru para ulamak, pihak berkuasa agama agar melihat balik keberkesanan 
program pemurnian aqidahnya. Jika perlu ditukar dan digantikan para pegawai dan 
kaunselor dengan yang lebih baik dan terlatih, amka segeralah lakukan. Jangan 
kerana kelemahan dan kekurangan kita kelak Islam dilihat sebagai agama yang 
boleh dipermainkan.


Perkembangan kes Siti Fatimah atau Ravathi ini menuntut semua pihak khususnya 
pemimpin-pemimpin masyarakat Islam agar lebih peka dan memikirkan bagaimana 
usaha yang paling berkesan untuk bertindak dalam suasana seumpama ini. Kita 
mahu mempertahankan aqidah penganut Islam tetapi dalam waktu yang sama kita 
perlu memikirkan bagaimana mengelakkan tindakan kita itu dianggap dan 
dieksploitasi sebagai usaha untuk menyekat kebebasan rakyat.


Kalau dalam hal mempertahankan nasib dan masadepan sekolah dan bahasa Cina, 
para pimpinan masyarakat Cina dari MCA, Gerakan dan DAP boleh duduk berunding 
semeja dan bersetuju serta membuat tuntutan bersama saya tidak nampak mengapa 
dalam hal sebesar dan sepenting ini pimpinan politik Melayu dari PAS dan Umno 
tidak boleh duduk bersama dan dilibatkan sekali Raja-raja Melayu dan para Mufti 
serta NGO Islam.


Kalau dalam hal Malayan Union tahun 1946 dahulu orang-orang Melayu boleh bangun 
memberikan tekanan mengapa dalam hal akidah seumpama ini kita lesu dan membisu?


Kirim email ke