Eksklusif: Kisah anak Ananda Krishnan jadi sami                           
                                                                                
         Thursday, 12 July 2007


                       
ANANDA... benarkah anak lelaki tunggalnya minta sedekah di KLCC?

Oleh Khalid Jaafar SEHINGGA sekarang saya tidak memahami sepenuhnya apa yang 
berlaku di Pejabat Anwar Ibrahim sepanjang saya berkhidmat di sana selama 10 
tahun, di kementerian pendidikan, kementerian kewangan dan pejabat timbalan 
perdana menteri.


  Pejabat itu adalah yang paling kompleks, mengatasi kompleksiti pejabat pm. 
Selalu ada orang yang mengejutkan masuk ke-pejabatanya.

Setiausaha-setiausahanya akan bertanya-tanya: siapa orang itu? Bagaimana dia 
boleh dapat appointment jumpa tpm? Orang itu tidak akan dapat menemui tpm jika 
namanya dan waktunya tidak dituliskan dalam Diari Merah, ditulis oleh tpm 
sendiri atau orang yang memegang diari tersebut. Dan hanya seorang yang 
memegangnya.


Sebagai contoh: Suatu hari saya ternampak sami Buddha memasuki pejabat tpm. 
Satu tahu itu sami Buddha kerana kepalanya botak dicukur, memakai jubah kuning 
kunyit dan berselipar Jepun. Hanya ada seorang lain yang berjubah datang 
menemui Anwar di pejabatnya. Tetapi dia tidak pakai jubah kuning kunyit, 
selalunya cokelat muda, berserban dililit cara Hadharmaut dan memakai sepatu 
murah. Orang itu adalah Haji Ismail Mina.

 
Setiausaha-setiausaha di pejabat tidak memandang serius haji ini yang rupanya 
hanya seperti orang kampong dan tidak melayannya sebagaimana mereka melayani 
menteri-menteri atau tokoh-tokoh korporat. Hanya saya yang melayaninya dibilek 
tetamu atau dibilik saya sendiri. Saya senang berbual dengannya dan dia pandai 
berseloroh. Bila dia akan menyatakan pendiriannya yang serius dia akan berkata: 
"Ya akhi, enta kena faham, ana ......"


Orang perantaraan TPM dan Presiden PAS
Kawan-kawan dipejabat hanya mengenalinya sebagai salah seorang"geng Abim". 
Mula-mula saja juga menjangka beliau salah seorang dari kawan lama Anwar yang 
datang membawa business proposal. "Sheikh pun kena tolong orang-orang kita," 
kata haji tersebut. Akhirnya saya tahu beliau adalah orang perantaraan antara 
Anwar Ibrahim dengan Uztaz Fadhil Nor yang ketika itu presiden Pas. Rahsia itu 
pecah pada suatu malam.

 
Saya datang ke rumah bos untuk berbincang tetang ucapannya yang akan datang. 
Perbincangan dipendekan dan Anwar berbisik meminta saya meninggalkan rumahnya. 
Tidak ada orang lain ketika itu dan saya heran kenapa dia tergesa-gesa. "Ismail 
Mina nak datang bawa Ustaz Fadhil. Dia tidak akan masuk rumah kalau ada orang 
lain." Maka sayapun beredar segera.


Saya faham apa urusan haji berjubah cokelat menemui Anwar. Tetapi sami Buddha 
berjubah kuning kunyit? Setelah beberapa saat sami itu masuk dan pintu ditutup 
saya baru terlintas bahawa saya mengenalinya. Saya berlari dan masuk ke pejabat 
tpm untuk menyapanya. "How are Timi," kami bersalaman intim. Dan perbualan 
tersebut saya menyanya soalan yang sekarang saya kira agak bodoh. "Sudahkah 
kamu sampai ke Nirwana?" Dia menjawab dengan nada yang tawadhu, dan saya 
meninggalkannya berbual dengan Anwar, dan saya tidak tahu apa yang mereka 
perbualkan.


Timi anak lelaki tunggal Ananda Krishnan
Timi adalah anak lelaki tunggal orang terkaya Malaysia, Ananda Krishnan. Kami 
bertama kali bertemu di Andalusia, Sepanyol, September 1994. Pada waktu itu ada 
persidangan tahunan IMF dan Bank Dunia di Madrid yang perlu dihadiri oleh Anwar 
sebagai menteri kewangan. Selepas itu beliau perlu pergi ke Washington untuk 
menerima anugerah presiden Universiti Georgetown kerana sumbangannya terhadap 
dialog antara kebudayaan dan memberi ucapan.

 
Paul Wolfowitz, ketika itu dekan SAIS (School of Advanced International 
Studies), juga mengundang Anwar untuk memberi pidato di universitynya. Acara 
begitu padat maka pak menteri membawa tiga setiausaha bersamanya selain dari 
tim keselamatan. Yang pertama, dan tidak boleh tidak, adalah pemegang Dairi 
Merah. Tanpa dia acara menteri akan jadi puting beliung. Keduanya Muhammad 
Ahmad (Allahyarham) setiausaha sulit kanan di kementerian kewangan kerana 
urusan IMF-Bank Dunia dan akhir sekali saya untuk menjaga penyediaan ucapan dan 
membuat pindaan saat-saat akhir yang dituntut oleh menteri.


Merancang perjalanan dan penerbangan bukanlah mudah. KL ke London, London ke 
Paris, Paris ke Madrid, Madrid ke Washington. Dan disetiap kota ada acara dan 
temu janji. Di London menemui Gordown Brown, di Paris menemui Jacques Chirac, 
dan orang Malaysia yang ikut serta juga ingin menemui tpm. Maka untuk 
memudahkan penerbangan pemegang Dairi Merah menyewa jet milik Ananda Krishnan 
untuk penerbangan beberapa sektor.

 
Kami sampai beberapa hari lebih awal sebelum persidangan IMF-Bank Dunia di 
Madrid. Anwar Ibrahim mahu melihat kesan-kesan peninggalan tamadun Islam di 
Andalusia. Ananda membawa Timi kerana anak muda itu tahu berbahasa Sepanyol 
untuk membantu kami berkemunikasi dengan penduduk tempatan.


Timi adalah seorang intelektual dan ketika itu menjadi penulis pada Men's 
Review, sebuah majalah kosmopolitan yang telah menjadi mendiang. Dia juga 
seorang yang sangat idealis dan dalam berjalan-jalan di Andalusia Anwar sempat 
membisikan kepada saya bahawa Timi sering mengkritik perniagaan bapanya.

 
Hati kecil saya berbisik dan menyindir: memang mudah anak jutawan menjadi 
idealis, mereka punya wang dan waktu untuk itu. Aktivisis gerakan sosialis 
hampir semuanya datang dari keluarga burjuis yang selesa, mereka punya masa 
untuk mencerca penindasan di pasaran, sementara orang miskin cuma ada masa 
untuk bergelut dalam pasaran untuk mendapatkan sesuap nasi.


Saya tidak ingat lagi apa yang bualkan dengan Timi. Beliau belum jelas apa yang 
beliau buat dalam hidup. "Men's Review bagus, majalah untuk golongan bercita 
rasa canggih" kata saya. "Tetapi editingnya lemah," kata Timi.

 
Saya ingatkan hubungan Timi dengan tpm akan tamat di Andalusia kerana dia tidak 
berminat dengan perniagaan bapa dan tidak mahu menjadi pewaris tahta empayar 
Ananda. Di kalangan kroni-kroni Mahathir, Ananda, kata bosku, adalah yang agak 
celik intelektual dan tidak tuli kebudayaan. Dalam sebuah restoran saya menjadi 
saksi kepada perdebatan antara sang taikun dengan sang politikus. Perdebatan 
agak panas.


Debat Anwar dan Ananda  Krishnan
 
Anwar menyebutkan kritik-kritik sosial yang dibuat oleh John Kenneth Galbraith 
terhadap sistem ekononomi dan industri. Galbraith kini tidak lagi dibaca tetapi 
dekad-dekad 70an dan 80an, tokoh ekonomi dari Universiti Harvard itu merupakan 
antara public intellectual dunia sebagaimana Amartya Sen hari ini. "Semasa saya 
di Harvard," kata Ananda untuk menumpulkan hujah Anwar, "Galbraith tidak 
dilihat sebagai ekonom."

 
Anwar tidak menerima gugatan sang kapitalis kroni itu dan melancarkan kuliah 
pendek tentang krisis disiplin ekonomi semasa yang mengabaikan aspek sosial, 
kebudayaan, alam sekitar dan keadilan. Kak Wan, Timi dan saya hampir-hampir 
hilang selera untuk makan.

 
Mujur Ananda, dengan amat diplomatis, memberek hujahnya dan memberikan 
kemenangan kepada orang yang beliau lihat ketika itu sebagai bakal pengganti 
Mahathir dan dia sebagai usahawan yang memerlukan naungan politik tidak boleh 
berkelahi dengan orang yang bakal menduduki kerusi pm. 


Saya tidak tahu apakan kesan perdebatan itu pada Timi. Tetapi beberapa bulan 
selepas itu saya mendengar dari mulut Ananda sendiri bahawa Timi telah 
menyertai sangha sebagai persediaan untuk menjadi bhikku. Ini samalah seperti 
orang Islam menyertai tarekat. 


Minta sedekah di KLCC
Tetapi orang Islam yang menyertai tarekat boleh berkahwin, berkeluar, kena juga 
bekerja atau berniaga supaya dapurnya berasap. Menjadi seorang bhikku bermakna 
hidup menjalani disiplin rohani dan meditasi untuk sampai ke nirwana dan 
keperluan hidup jasad diperolehi dengan minta sedekah. Bila Timi memberitahu 
bapanya dia ingin menyertai sangha untuk menjadi Bhikku, Ananda merasakan tujuh 
petala langit akan runtuh. Seperti krisis yang melanda Hastinapura yang 
dibabadkan dalam Mahabharata.

 
Santanu, raja Hastinapura, telah mati meninggalkan empat orang putera. Seorang 
putera mati muda sebelum berkahwin. Dua orang lagi sempat berkahwin tetapi mati 
sebelum menghasilkan zuriat. Seorang lagi, Bhisma, putera sulung dan seharusnya 
menjadi putera mahkota, telah membuat sumpah yang menggegarkan langit untuk 
tidak berkahwin sepanjang hayat dan tidak akan mempunyai anak.

 
Tahta Hastinapura digugat kepupusan. Mungkin begitu juga fikir Ananda pada 
tahta korporatnya. Ananda menghantar Timi berjumpa Anwar dan meminta tpm 
menasihatkan anaknya. Apa yang Anwar nasihatkan pada Timi saya tidak tahu 
tetapi yang jelas adalah putera mahkota empaya Ananda makin ghairah untuk 
menjadi sami.


Setelah pertemuan pendek di pejabat tpm saya tidak lagi menemui Timi. Dewasa 
ini bila saya minum dan ngobrol di Jalan Telawi, baik di Nirwana Maju atau 
Davi's Corner atau Coffee Bean, pernah juga didatangi oleh bhikkuni (bhikku 
perempuan) yang minta sedekah.

 
Maka saya akan bercerita kepada kawan-kawan tentang kisah Timi yang telah 
meninggalkan kekayaan duniawi untuk menempuh jalan ke Nirwana. Di manakah Timi 
sekarang? Kenapa dia tidak datang ke Nirwana Maju untuk minta sedekah. 
Baru-baru ini saya diberitahu oleh Eddin Khoo, Timi hanya minta sedekah di 
KLCC, simbol empayar dan kekayaan duniawi bapanya.


Teks penuh boleh di baca di http://khalidjaafar.blogspot.com/
 
Sumber : 
http://klpos.com/klpos/index.php?option=com_content&task=view&id=363&Itemid=1

Kirim email ke