Selasa 11 September 2007 | 28 Sha'ban 1428 Hijrah
 Tragedi Batu Buruk: Satu konspirasi jahat polis dan Umno-BN 
Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin 
Mon | Sep 10, 07 | 05:27:43 PM 

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Insiden berdarah di Pantai Batu Buruk 8 
September lalu adalah hasil konspirasi jahat dan provokasi pihak polis yang 
dipergunakan oleh Umno-BN. 
 
Maklumat tersebut disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapa 
Ali dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut 
tengahari ini. 

Jelasnya, beliau mendapat maklumat daripada Adun Wakaf Mempelam,Abdul Wahid 
Endut yang menyatakan bahawa terdapat saksi yang telah menyatakan bahawa ia 
adalah 'pre-plan' yang melibatkan antara Setiausaha Politik Perdana Menteri, 
Senator Dato' Wan Farid. 
"Maklumat tersebut menyebutkan bahawa kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada 8 
September lalu, sewaktu satu kursus diadakan, seorang polis yang mengendalikan 
kursus tersebut telah menerima satu panggilan yang memaklumkan bahawa satu 
'huru-hara' akan berlaku menjelang malam nanti di pantai Batu Buruk dan pegawai 
polis bertugas yang tidak beruniform dikehendaki memastikan identiti dengan 
memakai riben," jelasnya. 
"Jika fakta ini dipertikaikan, dia boleh soal siasat saya," ujarnya menyatakan 
kesediaan untuk disiasat berhubung kenyataan tersebut. 

Polis roboh pentas bila tuan rumah tiada 

Menceritakan kronologi kejadian tersebut, ujar Mustapa oleh kerana ia adalah 
'pre-plan' atau usaha terancang, pihak polis telah bertindak berjumpa dengan 
tuan rumah yang menjadi premis ceramah Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil 
(Bersih) untuk memujuk tuan rumah agar tidak membenarkan pihak Bersih 
mengadakan ceramah pada malam itu. 

Tuan rumah tersebut diminta untuk menandatangani sepucuk surat pada 7 September 
yang tidak mengizinkan Bersih meneruskan hasrat mereka. 

Namun, tuan rumah yang enggan berbuat demikian menyatakan bahawa rumahnya 
adalah premis tetap pembangkang mengadakan ceramah sejak tahun 1990-an lagi. 
Polis telah meneruskan usaha yang sama pada keesokan harinya, 8 September jam 3 
petang namun usaha mereka gagal. 

Dua jam kemudian, pihak polis telah datang ke rumah tersebut sewaktu ketiadaan 
tuan rumah lalu bertindak merobohkan pentas ceramah yang akan diadakan ceramah 
malam nanti. 
Ujarnya, penganjur telah membuat rayuan untuk meneruskan ceramah, dan telah 
dipanggil untuk berunding pada jam 5 petang, tetapi mereka tetap tidak 
memberikan kelulusan. 

Pada jam 9 malam, Yang DiPertua Kawasan Batu Buruk, Abdul Wahid Endut telah 
menghubungi Ketua Polis Terengganu untuk merayu agar membenarkan ceramah 
tersebut diteruskan namun gagal. 

Kemudian pada jam 9.40 malam beliau bersama-sama pemimpin Bersih telah pergi ke 
rumah tersebut bagi menjelaskan kedudukan sebenar status ceramah tersebut 
kepada tuan rumah, tetapi mereka telah dihalang dari masuk ke kawasan rumah 
terbabit.
 
Tembak membabi buta 

Setelah perbincangan dibuat, polis masih tetap berkeras untuk tidak memberikan 
keizinan kepada pihak penganjur di saat orang ramai telah berhimpun kira-kira 
setengah kilometer dari tempat kejadian. 

Kemudian, FRU mula menembak 'water cannon' dan gas pemedih mata secara membabi 
buta ke arah orang awam yang berterusan hingga jam 1.30 pagi. 

Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan 
beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam, dan telah terkena kepada 
Suwandi Abdul Ghani, 37, yang menembusi paru-parunya, serta Muhammad Azamn 
Aziz, 21, yang terkena pada lehernya. 
Sementara itu, pihak polis juga telah bertindak menangkap beberapa pimpinan PAS 
yang dimulai oleh Exco PAS Terengganu yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala 
Nerus, Haji Shukrimun. 

Orang awam yang turun bagi menghadiri ceramah tersebut juga cuba menangkap 
pegawai polis yang tidak beruniform setelah menyedari kehadiran dan tindakan 
mereka yang mencurigakan. 
Dalam keadaan yang tidak terkawal tersebut, polis telah berjaya menangkap 23 
orang awam, berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat parah. 

Mustapa kesal dengan perancangan yang dibuat oleh polis dan Umno-BN mencetuskan 
provokasi yang menyebabkan kekecohan terjadi. 

Bahkan beliau percaya terdapat campurtangan Umno kerana ada pihak yang melihat 
ada beberapa 'orang yang tidak dikenali' muncul setelah kejadian tersebut 
membawa bendera Umno serta membakarnya. 

"Kemudian, mereka menuduh pembangkang yang mencetuskan provokasi tersebut 
disebabkan adegan membakar bendera tersebut," katanya tegas. 
Terdapat tiga orang wartawan yang ditangkap serta semua jurugambar juga 
dirampas kamera mereka. 

"Sebab itu kita lihat hampir semua akhbar menyiarkan gambar yang sama, kerana 
sumber maklumat serta gambar itu adalah daripada polis yang bertugas, bukan 
daripada wartawan dan jurugambar yang bertugas," tegasnya lagi. 

PAS tubuh 'legal team, hantar memorandum pada Suhakam 

Ini adalah kali pertama pihak polis menggunakan peluru hidup dalam majlis 
ceramah bagi menyuraikan orang ramai yang hadir dan bertentangan dengan 
prosedur polis. 
Katanya, PAS juga telah membuat laporan polis bagi pihak mangsa yang ditembak. 
Beliau menyerahkan tugasan untuk menyiasat kejadian tersebut kepada pasukan 
'legal team' yang diketuai oleh AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin 

PAS juga ujarnya, akan mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak 
Asasi Manusia(Suhakam), Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Terengganu berhubung 
insiden tersebut. 

Sidang media yang diadakan bertujuan memperbetulkan maklumat yang telah 
disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang menyatakan bahawa pembangkang 
telah bertindak. 
Sidang yang dipengerusikan oleh AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman dimulai dengan 
penjelasan Dato' Mustapa Ali yang diikuti oleh kenyataan beberapa pimpinan 
Barisan Alternatif lain iaitu, Setiausaha Agung Keadilan, Tan Sri Khalid 
Ibrahim; Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan; Jurucakap 
Bersih, Ronnie Liu; Ahli Parlimen Seputeh, Theresa Kok dan Jurucakap Suaram, 
Yap Swee Seng. 

Dalam sidang tersebut, beliau menyatakan kebimbangan terhadap orang ramai yang 
telah mempunyai persepsi buruk kepada penganjur iaitu PAS sebagai tuan rumah 
yang mengadakan program Bersih ini sebagai tidak melakukan proses yang 
sepatutnya menurut undang-undang. 
"PAS telah mengemukakan permohonan untuk mengadakan program tersebut 
berdasarkan bukti surat yang bertarikh 30 Ogos," ujarnya sambil menunjukkan 
lampiran surat yang dikemukakan. 

Pihak polis ujarnya menjawab permohonan tersebut, bahawa ia tidak diluluskan 
pada 6 September yang lalu kerana semua alasan ini tidak boleh diterima kerana 
ia tidak benar. 
Turut hadir, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' 
Kamarudin Jaafar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Anuar Tahir; 
Dato' Abu Bakar Chik; Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar; 
Sekretariat Bersih, Faizal Mustafa; Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda 
KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin. 

Sidang media kira-kira dua jam tersebut mendapat liputan yang meluas daripada 
seluruh media serta pegawai-pegawai polis yang diarahkan datang bertugas untuk 
mendapatkan maklumat. - mks. 


http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=9671&Itemid=85


      ___________________________________________________________ 
Want ideas for reducing your carbon footprint? Visit Yahoo! For Good  
http://uk.promotions.yahoo.com/forgood/environment.html

Reply via email to