Kolum ‘Dubai Online 2.0’  oleh Fudzail
  No.18
   
  Ramadan Kareem
   
  Sahabat Masih dalam Lokap
   
  Kami terus berusaha untuk membantu sahabat yang teraniaya dan masih ditahan 
di sebuah balai polis Dubai, walau ada halangan terutama dari segi keupayaan 
majikan beliau berunding dan mengumpulkan dana untuk membayar wang kepada 
syarikat pembekal.
   
  Laporan berita yang disiarkan oleh akhbar perdana melalui Bernama sedikit 
sebanyak memberi publisiti yang diperlukan. Walau tidak sepeti mana yang 
diharapkan dalam menyelesaikan masalah, tetapi sekurang-kurangnya membuka mata 
beberapa pihak tertentu dalam mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan 
sebenar.
   
  Bagi kami yang berada di luar syarikat terbabit, tidak banyak mengetahui 
selok-belok politik dan agihan kuasa. Tidak sekali mahu mencampuri urusan 
syarikat yang tersenarai di BSKL dan dikatakan dikuasai oleh puak yang sealiran 
dengan pihak berkuasa. 
   
  Objektif utama adalah untuk membebaskan beliau secepat mungkin dan 
membersihkan nama beliau dari beberapa ‘tuduhan’ yang dikatakan berligar di 
koridor syarikat. 
   
  Beberapa kali informasi yang diberikan oleh pekerja syarikat tersebut tidak 
seperti yang dinyatakan. Kekalutan dan kecelaruan mungkin disebabkan oleh 
pertindihan kuasa diperingkat HQ dan para pekerja berkenaan, kebanyakannya 
sudah meletakkan jawatan dan hanya mahu menghabiskan tempoh notis.
   
  Begitu sekali keadaan semasa syarikat terbabit di mana ramai pekerja dengan 
jawatan penting sudah meletakkan jawatan. Bagi kami yang mempunyai harapan dan 
ekspektasi yang tinggi terhadap kecekepan mereka untuk menyelesaikan masalah 
kecemasan seperti ini, setiap janji seakan sekadar penyedap hati. 
   
  Buat masa ini, janji-janji masih belum dikotakan. Informasi juga semakin 
membayangkan ketidakupayaan, selain mungkin ada ‘konspirasi’ untuk menjadikan 
sahabat kami tersebut sekadar kambing hitam dalam kegagalan operasi syarikat di 
Dubai yang berterusan.
   
  Apalagi buat keluarga sahabat kami, terutama isteri dan anak-anak yang masih 
dalam keadaan tidak menentu. Mereka sepatutnya sudah berada di sebuah negara 
lain dalam meneruskan kerjaya dan kehidupan.
   
  Dalam dua pertemuan dengan wakil syarikat yang datang dari Kuala Lumpur untuk 
menyelesaikan rundingan dengan pihak pembekal, ternyata banyak perkara yang 
masih sekadar diatas kertas, itupun belum siap sepenuhnya.
   
  Pertemuan kali kedua baru-baru ini agak panas kerana kami merasakan wakil 
syarikat bukan sahaja ‘kurang ajar’ tetapi melekehkan kami, para sahabat yang 
selama ini membantu dikala syarikat sekadar melepaskan batuk di tangga, 
termasuk menyediakan dana untuk yuran peguam (setelah syarikat tidak meneruskan 
usaha untuk mendapatkan peguam membantu pekerjanya sendiri) dan menyediakan 
tempat tinggal.
   
  Keadaan yang tegang dalam suasana yang panas mengambarkan emosi kami yang 
tinggi. Kami tidak mahu mendengar cerita yang semakin basi, tetapi mahu tahu 
apakah tindakan syarikat dalam keadaan semasa yang semakin mendesak. 
   
  Malangnya, wakil yang datang dengan kebiadapan terus sahaja berkata yang para 
pegawai tinggi syarikat masih sahaja ‘berusaha’, dan wang masih belum mampu 
dikumpulkan, malah gaji pekerja di Dubai telah dua bulan tertunggak selain 
kontrak penyewaan rumah pekerja sudah juga banyak bulan tertunggak.
   
  Kerana itu, mungkin pegawai tinggi dari KL ada yang takut untuk datang ke 
Dubai, bimbang mereka juga akan sama-sama di tahan di lokap!
   
  Kami juga sedang mengutip tandatangan untuk petisyen pengampunan kepada Raja 
Dubai sebagai salah satu cara membebaskan beliau. Setiap kali ramadan dan hari 
raya, Raja Dubai akan membebaskan sejumlah tahanan sebagai memperingati bulan 
yang mulia.
   
  Diharapkan usaha ini akan berhasil dan sahabat kami boleh bebas sebelum hari 
raya,
   
  Aktiviti Ramadan Untuk Warga Ekspatriat Malaysia di Dubai.
   
  Ramadan tahun ini di Dubai buat warga ekspatriat Malaysia mungkin sedikit 
hambar dengan penahanan seorang sahabat. Begitupun, aktiviti seperti majlis 
berbuka puasa terus diadakan dari rumah ke rumah, terutama di hujung minggu.
   
  Dalam majlis seperti ini, kami dapat juga bertemu dengan ramai warga yang 
baru tiba. Penambahan warga Malaysia memang agak ketara dan diharapkan mereka 
dapat menambahkan kemeriahan suasana di Dubai.
   
  Beberapa sahabat juga menjadi wakil kepada pertubuhan amal di Malaysia untuk 
kutipan zakat dan nampaknya dengan kehadiran ramai warga Malaysia, dana yang 
terkumpul semakin bertambah.
   
  Buat kami yang tidak pulang ke tanahair untuk berhari raya, sambutan tahun 
ini mungkin lebih bermakna sekiranya sahabat yang masih dalam tahanan dapat 
bersama-sama!
   
   (Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di Dubai sejak tahun 
2000. Berkelulusan sains komputer dari New Zealand. Pernah terlibat dalam 
pembangunan Dubai Internet City, Palm Jumeirah dan 15 projek mega lain. Kini 
menguruskan projek pembinaan prasana dan utiliti di Palm Jabel Ali. Beliau 
boleh dihubungi melalui [EMAIL PROTECTED] serta kerjadubai.blogspot.com)
   

       
---------------------------------
Be a better Heartthrob. Get better relationship answers from someone who knows.
Yahoo! Answers - Check it out. 

Kirim email ke