Oleh: HAIDAR NAJIYAH IBRAHIM
Daerah Maizuru hampir sama dengan kawasan 'kampung' lain di Jepun.
Dalam suasana pagi yang dingin, kawasan luar bandar seperti ini
kerap berkabus, tetapi tenang dan harmonis. Maizuru hanyalah sebuah
pekan kecil di pinggir laut sebelah utara Pulau Honshu. Ia jauh dari
hiruk-pikuk kehidupan kota yang bising dan sibuk segalanya. Bandar
besar terdekat dengannya ialah Osaka, kira-kira dua jam perjalanan
bas, atau Kobe, kira-kira sejauh ke Osaka juga.
Dalam musim dingin, pada pukul 6 pagi sudah kelihatan matahari di
ufuk timur. Pada pukul 8 pagi, matahari sudah tinggi di negeri
matahari terbit ini. Inilah masanya, kelihatan suasana agak sibuk.
Ketika ini berduyun-duyun di jalan, anak-anak kecil menuju ke
destinasi masing-masing, iaitu sekolah. Namun, keadaannya tetap
tenang, tidak berserabut dengan hiruk-pikuk dan deruan kereta di
jalan-jalan. Anak- anak kecil dan murid-murid sekolah rendah boleh
dikatakan hampir kesemuanya berjalan kaki ke tadika atau sekolah mereka.
Inilah kelainannya. Sejak dari umur tadika mereka berjalan kaki ke
tempat belajar. Agak jauh. Malah ada yang berjalan hingga kira-kira
setengah kilometer dari rumah masing-masing. Dengan itu, tidak
berlaku kesibukan kenderaan di hadapan pintu sekolah mereka. Tidak
ada deruman enjin motosikal di dalam kawasan sekolah. Keadaan sangat
tenang dan harmonis.
Semasa pulang, keadaannya juga demikian. Murid-murid kecil ini
pulang bersendirian, tanpa dijemput oleh ibu bapa mereka. Bagi yang
berjauhan biasanya mereka kelihatan berjalan berkelompok.
Mengapakah orang Jepun membiarkan anak mereka berjalan sendirian
pergi balik ke sekolah? Sikap ini mungkin sukar untuk kita padankan
dengan keadaan kita di Malaysia. Jika difikirkan tentang kemampuan
tiap keluarga, mereka jauh lebih mampu, kalau setakat hendak
menghantar anak ke sekolah dengan kereta masing-masing.
Ini adalah suatu cara mendidik anak mereka, mungkin supaya mulai
belajar berdikari. Bagi kita mungkin tidak terlalu mudah
melaksanakannya, memandangkan keadaan keselamatan yang masih
menghantui kita. Baik keselamatan yang bersifat jenayah mahupun
keselamatan jalan raya. Kita boleh memuji mereka kerana telah
berjaya menghasilkan situasi yang begitu selamat untuk rakyat mereka.
Pelajar peringkat sekolah menengah pula, kebanyakannya menunggang
basikal ke sekolah. Mereka tidak menaiki motosikal seperti kita.
Atau naik bas. Atau dihantar oleh ibu bapa. Mereka selesa menunggang basikal.
Suasana seperti ini sungguh berlainan dari suasana pagi di tempat
kita. Cuaca mungkin membantu mereka mempunyai sikap seperti itu.
Mengayuh basikal dalam keadaan yang dingin tidak terlalu memenatkan.
Keadaan cuaca panas mungkin menjadi suatu penghalang utama kepada
kita untuk menyuruh anak-anak mengayuh basikal ke sekolah. Namun,
ada banyak sikap positif lain yang boleh kita pelajari.
Jepun tidak mengadakan pakaian seragam bagi murid sekolah rendah di
seluruh negara. Mereka hanya mempunyai pakaian seragam bagi sekolah
menengah masing-masing sahaja. Jadi, pakaian seragam bagi sesuatu
sekolah tidak sama dengan sekolah lain. Itu bagi sekolah menengah.
Bagi murid sekolah rendah, langsung tidak ada pakaian seragam yang
khas. Mereka boleh memakai pakaian apa sahaja yang sopan. Baju,
seluar dan kasut tidak perlu seragam.
Jadi, bagaimana kita hendak kenali anak-anak sekolah di luar kawasan
sekolah? Mereka boleh dikenali kerana membawa beg sekolah yang sama.
Jadi, yang seragam hanyalah beg sekolah mereka. Inilah identiti
anak-anak sekolah di Jepun. Mereka hanya boleh dikenali ketika
menggalas begnya.
Beg seragam ini dijual oleh pihak kerajaan. Kalau di tempat kita,
perkara beg ini sudah tentu boleh menjadi isu besar, kerana harganya
ialah antara 30,000 hingga 50,000 Yen, iaitu kira-kira sama dengan
RM1,000. Namun, bagi mereka perkara ini sudah biasa. Walaupun mahal
tetapi berkualiti tinggi. Lagi pula, soal harga bukan perkara besar
bagi mereka kerana rata-rata berpendapatan tinggi.
Beg ini diperbuat daripada kulit. Dan hanya beg inilah yang akan
digalas oleh seseorang murid itu, dalam sepanjang pengajiannya di
sekolah rendah, dari darjah satu hingga enam.
Ukurannya tidak terlalu besar. Sepadan dengan buku-buku mereka hanya
sebesar buku komik Doraemon. Tidak terlalu berat dan memenatkan
untuk digalas sejauh setengah kilometer. Corak buku yang tidak
terlalu besar ini juga berlaku bagi peringkat sekolah menengah dan
kolej-kolej pengajian peringkat lebih tinggi.
Setiap murid mempunyai sepasang kasut berwarna putih yang mesti
ditinggalkan di sekolah, tidak boleh dibawa pulang ke rumah. Semua
murid pergi ke sekolah dengan menggunakan kasut sendiri, kemudian
ditukar dengan kasut khas ketika berada di sekolah. Kasut sendiri
disimpan dalam rak khas, hinggalah ditukar semula semasa hendak
pulang. 'Pengurusan keseragaman' kasut seperti ini dilakukan di
sekolah rendah dan juga menengah.
Selain itu mereka juga mempunyai sepasang lagi kasut khas untuk
memasuki dewan sekolah. Perkara ini diamalkan supaya lantai dewan
itu tidak cepat rosak. Kasut khas ini tidak dibenarkan dipakai di
luar atau menyentuh tanah kerana dikhuatirkan sebarang pasir yang
melekat boleh mencalarkan lantai.
Perkara ini sangat penting dan dipatuhi oleh semua murid mereka.
Semenjak kecil mereka telah ditanam disiplin seperti ini. Mengajar
disiplin adalah kunci utama pengajaran mereka di peringkat awal.
Butir-butir pengajaran secara 'terperinci' mungkin telah kita
remehkan, tetapi tidak bagi orang Jepun. Misalnya, tentang disiplin
ketika makan sangat ditekankan di sekolah. Di sekolah rendah,
makanan tengah hari disediakan dan murid-murid bergotong-royong
sesama sendiri untuk mengedarkan makanan.
Di Malaysia mungkin perkara ini boleh menjadi isu besar dan boleh
disalah tafsir sebagai 'penderaan' murid, terutamanya yang masih
berumur sangat muda. Murid diwajibkan membasuh pinggan sendiri
setiap hari, dalam sepanjang pengajian mereka. Mereka juga terpaksa
mengangkat dan mengagihkan sendiri makanan yang disediakan oleh
pihak sekolah. Semuanya mereka belajar urus sendiri dengan bantuan
guru. Dan mereka melakukannya dengan penuh kegembiraan.
Setiap hari murid bertugas yang dilantik akan mengangkat periuk
makanan yang dimasak oleh tukang masak sekolah dari bilik masakan ke
bilik darjah dan membahagikan makanan ke dalam bekas yang dibawa
sendiri oleh murid-murid. Tetapi yang menjadi perhatian saya adalah
terlampau telitinya mereka: Murid yang bertugas dan guru juga, tidak
pernah lupa memakai pakaian ala chef yang lengkap dengan apron,
penutup kepala serta mask. Perkara pakaian khas seperti ini menjadi
kewajipan semenjak kecil lagi, hingga tertanam dalam sanubari
mereka. Keadaan inilah yang tidak ada di negara kita dan mungkin
boleh dipelajari dalam pembinaan jiwa.
Murid-murid akan membawa bekas makanan masing-masing ke tempat
pengedaran makanan dan beratur dengan tertib untuk menunggu giliran
masing-masing. Setelah makanan diedarkan kepada semua murid, mereka
akan duduk di tempat masing-masing menunggu untuk memulakan juadah
dengan serentak, iaitu apabila dibenarkan oleh gurunya.
Makanan yang disediakan itu pula memang memenuhi keperluan untuk
tumbesaran, tetapi tidak berlebihan. Contohnya ubi kentang sebagai
karbohidrat, ikan sebagai protein, berserta sayur-sayuran dan susu.
Mereka juga akan menjamah makanan sehingga habis. Ini suatu
kemestian. Kalau tidak habis semua orang akan tunggu sehinggalah
murid itu menghabiskan makanan sendiri.
Setelah selesai makan, semua orang basuh pinggan sendiri. Murid yang
bertugas pula menghantar semula periuk-periuk ke tempat penyediaan
makanan. Mereka juga diajar supaya patuh kepada sistem kitar semula
bahan sisa. Sebagai contoh, kotak susu akan diletakkan di dalam
plastik khas dan tidak boleh dibuang sesuka hati. Sisa-sisa makanan
dibuang ke dalam plastik yang disediakan.
Perkara remeh seperti cara-cara membasuh tangan juga diajar dan
diamalkan setiap hari sebagai latih tubi. Perkara ini mula diajar
semasa umur prasekolah (tadika). Sebelum makan, selepas makan,
selepas main, selepas kerja dan sebagainya, tangan mesti dibasuh.
Perkara ini sudah menjadi habit. Membasuh tangan pula mesti guna
sabun khas untuk tangan. Banyak iklan ditonjolkan dalam media
seperti televisyen yang menyarankan kanak-kanak supaya membasuh
tangan. Kadang-kadang penekanan seperti ini nampak remeh bagi kita,
tetapi sangat penting bagi mereka.
Di setiap sekolah rendah diadakan padang, taman permainan dan kolam
renang, di seluruh negeri Jepun. Oleh itu mereka dapat melaksanakan
kehendak supaya semua rakyat Jepun tahu berenang. Perkara ini
mungkin masih sukar untuk kita capai kerana pengurusan yang
memerlukan belanja besar.
Namun, mereka mempunyai cara untuk membantu mengurang perbelanjaan
pengurusan ini. Nampaknya, mereka kurang gemar kepada acara sambutan
majlis secara besar-besaran. Contohnya, seperti hari penyampaian
hadiah atau sambutan hari guru, hanya dilakukan ala kadar. Sikap
seperti ini diteruskan sampai ke peringkat universiti. Memanglah
kelihatan tidak 'meriah' langsung! Tetapi ini mungkin cara mereka
untuk berjimat.
Rakyat Jepun mempunyai jiwa yang penuh disiplin dan 'sivik'. Biar di
mana saja mereka berada. Di tempat kerja atau di jalan raya. Mereka
adalah bangsa yang tekun bekerja dan memiliki jiwa hendak
berlumba-lumba. Ini adalah hasil 'latih tubi' disiplin yang
diterapkan sejak zaman kanak-kanak.
Bagaimanapun, bukanlah semua perkara yang dimiliki oleh rakyat Jepun
ini baik belaka. Misalnya, akibat pemodenan melampau, anak-anak muda
kurang minat untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi seperti
universiti. Ini adalah akibat daripada kemudahan mereka untuk
mendapat kerja. Setelah tamat diploma di 'kosen' (politeknik),
mereka boleh terus bekerja dengan gaji yang lumayan. Oleh itu,
mereka tidak berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat
universiti hanya dengan alasan bagi mendapat kerja yang bagus. Ini
berbeza dengan sikap kita di Malaysia. Di Jepun, pelajar yang telah
memiliki diploma kolej yang berminat ke universiti hanyalah untuk
pengembangan akademik individu sahaja. Tiada kaitan dengan peluang kerja.
Kebanyakan tempat kerja cuma menitikberatkan merit dan kerajinan
kerja untuk kenaikan pangkat. Tiada kaitan dengan sijil yang
dimiliki. Dalam hal ini pemegang diploma dengan pemegang ijazah
universiti tidak banyak berbeza ketika bekerja. Hanya prestasi kerja
masing-masing yang diperlukan untuk kenaikan pangkat dan sudah
tentunya kenaikan gaji.
Selain itu, masalah buli semakin menjadi-jadi, baik ditempat kerja
mahupun di sekolah. Sungguh kerap kita baca kejadian bunuh diri
angkara buli yang keterlaluan.
Demikianlah. Di sebalik ketenangan pagi yang berkabus dalam musim
dingin ini, ada pula keresahan jiwa dalam segelintir rakyat Jepun.
Tiap seorang mengejar cita-cita untuk menjadi yang terbaik dalam
bidang yang diminatinya. Kadang-kadang ada juga yang terbabas dalam
perlumbaan menjadi manusia terbaik itu.
- HAIDAR NAJIYAH IBRAHIM ialah pelajar tahun akhir Maizuru Technical
College of Technology, Kyoto, Jepun.
----------------------------------------- (on mail)
email-body was scanned and no virus found
---------------------------------------------------------