Perlis pengamal mazhab Syafii tulen
 
MUKADIMAH 


PERBINCANGAN
mengenai mazhab di negara ini sentiasa mendapat perhatian masyarakat.
Sebarang cubaan memperkenal atau memperbetulkan perkara yang sejak
turun-temurun diamalkan mempunyai risiko yang besar.



 
Begitulah yang
berlaku kepada Perlis. Sebuah negeri paling kecil di Semenanjung
Malaysia tetapi sering mendahului dalam segi membuat tajdid
(pembaharuan) terutama dalam bab munakahat.



 
Ini bukanlah sesuatu
yang asing memandangkan kedudukannya sebagai negeri paling hujung di
utara semenanjung menjadikan ia persinggahan kepada pasangan yang mahu
bernikah di sempadan Thailand. Ini menyebabkan Perlis meminda beberapa
enakmen syariah bagi memudahkan pasangan berkahwin di negeri ini untuk
membendung pernikahan di negara jiran.



 
Dalam masa yang sama,
Perlis juga unik kerana tidak mempraktikkan beberapa amalan yang sudah
sebati dengan masyarakat bermazhab Syafii di kebanyakan negeri.
Antaranya, tidak membaca bismillah secara jahar (kuat) pada al-fatihah,
tidak membaca qunut pada solat subuh, tidak ada tahlil dan talkin.
Perbezaan ini menyebabkan ada pihak menuduh Perlis mengamalkan fahaman
wahhabi.



 
Kepada wartawan MOHD.
RADZI MOHD. ZIN dan JOHARI SHAWAL, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri
Shahidan Kassim menjawab pelbagai persoalan mengenai persepsi
masyarakat yang mengaitkan negeri ini dengan fahaman wahhabi.



 
Dalam pertemuan di
pejabatnya di Kangar, Khamis lalu, beliau dengan tegas memberitahu,
“Saya dan Perlis adalah pengamal mazhab Syafii yang tulen.”



 
Beliau juga mempelawa
pihak yang membuat tuduhan sedemikian akan bermuzakarah dengan para
ulama Ahli Sunah waljamaah untuk mengenal pasti benarkah Perlis
mengamalkan fahaman sedemikian?

 
“Perlis tidak pernah
bimbang untuk bermuzakarah dengan sesiapa pun dalam bab agama. Kalau
ada undang-undang Perlis yang dikatakan menyeleweng dari al-Quran dan
sunah, tunjukkan kepada saya supaya saya boleh membuangnya serta-merta.
Tetapi kalau ada amalan salah yang diguna pakai di tempat lain, saya
ingin betulkan,” tegas beliau.



 
MINGGUAN: Tuduhan yang acapkali kedengaran ialah Perlis mengamalkan fahaman 
wahhabi. Adakah ia berasas Datuk Seri?

 

 
SHAHIDAN: Pasal
Wahhabi ini, ia hanya diuar-uarkan oleh dua pihak. Kami di Perlis tidak
tahu-menahu bahawa kami wahhabi. Yang kami tahu kami Ahli Sunah
waljamaah dari segi akidahnya dan dalam fikah kami tidak terikat dengan
hanya satu mazhab.


 
Dalam erti kata lain,
kami bersifat terbuka mengambil manfaat ilmu daripada semua tokoh Ahli
Sunah waljamaah tanpa taksub kepada satu-satu mazhab. Kami hormati
kesarjanaan dan keilmuan semua tokoh ulama. Ini yang dituntut dalam
Islam



 
Oleh itu, saya ingin bertanya apakah fahaman wahhabi itu? Adakah ia sesat dan 
terkeluar daripada Ahli Sunah waljamaah?



 
Masyarakat Islam di
Malaysia jangan jumud, cubalah berfikiran terbuka. Wahhabi ini
diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul wahab at-Tamimi (1703-1791M) yang
lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi.



 
Beliau adalah ulama
yang berpegang kepada aliran Imam Ahmad Ibn Hanbal iaitu salah satu
mazhab yang diiktiraf di bawah Ahli Sunah waljamaah. Gerakan ini adalah
gerakan jihad untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada
ajaran sebenar al-Quran dan hadis. Sebabnya pada masa itu, umat Islam
di situ banyak melakukan pencemaran akidah dan penyelewengan amalan
keislaman serta percaya kepada perkara khurafat dan melakukan amalan
bidaah.



 
Perlis adalah negeri
yang berpegang kepada al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang
cuba kita buat ialah membersihkan segala amalan yang bidaah (melakukan
perkara baru dalam agama yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah,
sahabat dan para tabiin).



 
Bagi kita di Perlis, hatta dalam ibadat pun tidak ada bidaah hasanah (baik).



 


 
Ada juga tuduhan mengatakan Datuk Seri juga adalah wahhabi?

 

 
SHAHIDAN: Saya ingin
menjelaskan bahawa saya sebagai pemimpin kecil di Perlis, dan negeri
ini adalah pengikut Imam Syafii yang tulen, bukan wahhabi. Saya
menjadikan buku Manhaj ‘Aqidah tulisan Imam as-Syafii sebagai rujukan.

 

 
Malah, Perlembagaan
Negeri Perlis juga menetapkan bahawa Duli Yang Mulia Raja, Menteri
Besar, Penasihat Undang-undang, ahli exco, mufti, Setiausaha Kerajaan
Negeri, Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama berpegang kepada
pegangan Ahli Sunah waljamaah. Selepas ini, saya nak perluaskan skopnya
kepada semua Jawatankuasa Bahagian UMNO Perlis.

 

 
Perlis ialah negeri
Sunah waljamaah. Rujukan kami adalah sumber asli imam-imam Ahli Sunah,
al-Quran dan al-hadis. Itulah jalan nabi dan para sahabat.



 
Tetapi kenapa di
Perlis tidak ada amalan membaca Yasin setiap malam Jumaat, tidak ada
talkin, tidak ada tahlil arwah dan tidak ada qunut semasa solat subuh?

 

 
SHAHIDAN: Sebabnya
Rasulullah tidak berbuat demikian. Kalau nak baca Yasin bacalah tetapi
kenapa dikhususkan malam Jumaat sahaja. Talkin yang diajar oleh Nabi
Muhammad ialah talkin sebelum mati iaitu ketika orang itu sedang nazak.



 
Tahlil arwah pula
adakah kita pasti bahawa semua yang hadir itu bacaan fatihahnya betul.
Jika bacaannya salah tidakkah mereka menyedekahkan dosa kepada arwah
yang berkenaan?



 
Demikian juga amalan
berdoa beramai-ramai selepas solat. Ini tidak dilakukan oleh baginda
s.a.w. Bukan maksudnya tidak boleh berdoa tetapi buatlah secara
bersendirian. Lagipun dikhuatiri doa oleh imam yang dibaca secara jahar
(kuat) itu boleh mengganggu jemaah lain yang masih solat. Bukankah itu
lebih besar dosanya berbanding manfaat membaca doa beramai-ramai?



 
Islam tidak
meletakkan wakil untuk kita berdoa kepada Allah sebagaimana beberapa
agama lain. Setiap daripada kita disuruh memohon kepada Allah
sebagaimana maksud firman-Nya, berdoalah nescaya aku perkenankan.

 

 
Bagaimanapun, tidak
pula salah jika orang itu seorang alim lagi warak. Bolehlah kita minta
pertolongannya untuk sama-sama berdoa dengan kita.

 

 
Masalah utama dalam
masyarakat kita ialah budaya tokok tambah. Inilah yang berlaku selepas
zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang membina Kaabah. Hasil tokok
tambah selepas peninggalan baginda berdua, akhirnya di kiri dan kanan
Kaabah dipenuhi dengan berhala yang besar-besar.

 

 
Malah dalam ibadat
tawaf pun telah ditokok tambah iaitu bertawaf secara berbogel iaitu
lelaki waktu siang dan wanita waktu malam. Tokok tambah beginilah yang
merosakkan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Sebab itu kita
mempertahankan yang asli. Barangan asli sepatutnya menjadi pilihan
utama setiap orang. Maka kita dalam solat dan ibadat khusus yang lain
sentiasa mempelajarinya secara berdalil, bukan sekadar ikut-ikutan.



 
Tetapi bukankah ada
hadis yang menyebut ulama itu adalah pewaris Nabi (riwayat Abu Daud).
Jadi sudah tentu, apa yang dilakukan oleh ulama boleh diamalkan oleh
masyarakat?

 

 
SHAHIDAN: Kita kena
tengok dulu apa jenisnya ulama itu. Kalau ulama suuk (jahat) takkan
kita nak ikut mereka. Adakah kita mahu mengikut Ayatollah Khomeini
iaitu ulama Syiah atau yang memalsukan hadis seperti Abdullah bin Sabak?



 
Kalau ulama itu
sentiasa bercakap baik dan sentiasa mematuhi perintah Allah dan
rasul-Nya, maka barulah boleh kita mengikut mereka dan wajar diberi
gelaran ulama pewaris nabi. 

 
Ulama pewaris nabi
ialah ulama yang mengikut Rasulullah. Jika mereka mengubah ajaran
baginda, mereka tidak layak digelar pewaris.



 
Jika ulama ingin mewarisi nabi mereka mesti benar-benar mengambil apa yang 
diwarisi oleh baginda bukan mengada-adakan yang baru.



 
Kepada pihak yang terus-menerus menuduh Perlis mengamalkan wahhabi, apa nasihat 
Datuk Seri? 

 
SHAHIDAN: Kepada
golongan tersebut, saya dengan rendah diri menjemput mereka
bermuzakarah bagi mencari penyelesaian dalam isu ini. Perlis tidak
pernah bimbang untuk bermuzakarah dengan sesiapa pun dalam bab agama.



 
Kalau ada
undang-undang Perlis yang dikatakan menyeleweng dari al-Quran dan
sunah, tunjukkan kepada saya supaya saya boleh membuangnya serta-merta.
Tetapi kalau ada amalan salah yang diguna pakai di tempat lain, saya
ingin betulkan.

 

 
Cuma kalau amalan kita yang dikatakan wahhabi itu betul mengikut Ahli Sunah 
tidak mengapalah. Jangan semuanya dicerca.



 
Keilmuan di Perlis
terbuka sesuai dengan prinsip negeri ini. Kita mementingkan dalil.
Dalam Majlis Fatwa Negeri pun cuma ada tiga orang Perlis, Mufti Perlis
sendiri adalah orang Pulau Pinang. Yang lainnya dianggotai oleh ulama
dari seluruh negara.



 
Bagi saya orang yang
ada ilmu yang digelar ulama jangan jumud dan cengih. Malah, saya juga
bercadang membawa para mufti negeri lain ke Iran supaya mereka boleh
melihat beberapa persamaan amalan masyarakat negeri lain dengan
golongan syiah di sana.

 

 
Jangan pula kita mengguna pakai hadis-hadis secara sewenang-wenangnya tanpa 
merujuk kepada perawi dan martabat hadis berkenaan.



 
Adalah cukup malang
apabila ada yang menggunakan hadis tentang anak yang menziarahi kubur
ibu bapa pada hari Jumaat dan membaca Yasin akan terhapuslah dosa ibu
bapa tersebut dalam penulisan menerusi akhbar. Hadis ini bukan hadis
daif tetapi palsu. Sepatutnya ia tidak boleh dipakai langsung sebagai
hujah kepada mana-mana ibadat.

 

 
Adakah ini bermakna menziarahi kubur juga dilarang?

 

 
SHAHIDAN: Perlis
menggalakkan orang menziarahi kubur. Tetapi mesti menurut adab yang
diajar olah baginda. Perlis tidak membaca al-Quran atas kubur
sebaliknya kita menyuruh berdoa dengan ikhlas. Sebabnya, Rasulullah ada
bersabda, Janganlah engkau menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur
kerana tidak dibacakan al-Quran.

 

 
Maksudnya, Rasulullah
melarang kita membaca al-Quran di kubur. Apa yang patut dibuat oleh
waris terutama anak-anak di situ ialah berdoa.

 

 
Pelbagai kelonggaran
dalam bab nikah kahwin di Perlis seolah-olah tidak seiring dengan
negeri lain di Malaysia. Ini termasuklah dalam bab wali ingkar. Adakah
ia bertujuan begitu?

 

 
SHAHIDAN: Perlis
tidak memperkenalkan undang-undang syariah yang baru. Kita hanya
umumkan pindaan undang-undang. Ia memasukkan perenggan baru selepas
perkara 13(b) menyebut, “Dengan syarat bahawa dalam hal di mana wali
yang telah enggan memberi persetujuan dengan tiada sebab yang syarie,
Hakim Syariah boleh, selepas berpuas hati dan difikirkan patut,
memberikan persetujuannya jika penyiasatan itu tertangguh sebanyak dua
kali.”



 
Kita tidak pernah
mengatakan wanita di Perlis boleh bernikah tanpa wali. Undang-undang
ini pun telah diguna pakai di negeri-negeri lain termasuk juga di
Perlis. Cuma ia tidak menyebutkan tempohnya. Kita jangan ingat anak
gadis kita yang berumur 17 tahun sekarang akan berumur 17 tahun juga
dalam tempoh 30 tahun akan datang.



 
Pada masa yang sama,
mahkamah akan memastikan wujud keadilan. Jika bakal pengantin lelaki
itu bermasalah menghidap Hiv/Aids atau bakal isterinya doktor tetapi
bakal suami penagih, sudah pasti kita akan menyebelahi wali.



 
Tetapi kalau bakal
isterinya doktor dan bakal suami pemandu, ini kita akan benarkan mereka
bernikah walaupun jika walinya ingkar. Apa yang kita buat ialah
mempermudahkan jalan kepada perkara-perkara yang halal.



 
Demikian juga dalam
bab fasakh (membatalkan perkahwinan). Ada negeri yang ambil masa sampai
lima tahun untuk dapat keputusan permohonan isteri mendapat fasakh.
Kita di Perlis membuat pindaan kepada enakmen ini menurut subseksyen
52(4) di mana, “Walau apa jua peruntukan sebelumnya dalam seksyen ini,
mahkamah boleh selepas berpuas hati dengan permohonan dalam subseksyen
(1) dan difikirkan adil dan patut, membuat satu perintah jika
permohonan itu telah tertangguh pendengarannya sebanyak dua kali.”



 
Dengan kata lain,
undang-undang nikah kahwin kita adalah yang paling membela wanita.
Dalam menuntut fasakh, masa yang diberi tidak sampai pun empat bulan.
Selepas dua kali kita memanggil suami jika mereka enggan hadir di
mahkamah, maka mahkamah boleh memutuskan permohonan isteri berkenaan.



 
Sepatutnya, Menteri
Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Jalil gembira
dengan Perlis kerana kita membela nasib wanita.



 
Ada juga dakwaan yang Perlis terlalu mudah meluluskan permohonan perkahwinan 
termasuk untuk poligami. Benarkah?

 

 
SHAHIDAN: Perlis
pejuang hak lelaki dan wanita secara adil menurut Islam. Kita
memudahkan perkara yang halal sebab perkara haram terlalu banyak. Jika
kita menyusahkan perkara halal, nanti orang memilih yang haram. Cuma
tentu semua perkara ada peraturannya. Insya-Allah jika kita teliti
dengan insaf, kita akan dapati peraturan di Perlis ini adil untuk
semua. Jangan emosi dan tenggelam dengan sentimen. Dengar dan teliti
dahulu.



 
Terdapat juga
cakap-cakap mengatakan Perlis menuduh mereka yang mengamalkan tahlil,
talkin dan menyambut peristiwa besar seperti Maulidur Rasul sebagai
bidaah. Apa komen Datuk Seri? 

 
SHAHIDAN: Kita tidak
pernah melemparkan kata-kata sedemikian. Perlis tidak kata pun
perbuatan tersebut bidaah secara membabi buta.

 

 
Sebaliknya kita menjelaskan pandangan secara ilmiah. Kita tidak menghukum 
pembuat, sebaliknya hanya mempertikaikan amalan.



 
Tak bolehlah semua
yang kurang baik itu dituduh Perlis memulakannya. Dalam masa yang sama,
kita lupa ada pihak tertentu menuduh Perlis yang bukan-bukan. Mengapa
mereka tidak dipertikaikan?

 
Melihatkan kepada
perkembangan semasa dan juga dengan mufti muda yang lantang mengajak
kepada mengikut amalan Islam sebenar, adakah Perlis bersedia menerajui
gelombang tajdid (pembaharuan) di Malaysia?



 
SHAHIDAN: Penerimaan
rakyat di seluruh negara begitu baik sekarang. Begitu menghormati
Perlis dan menghulurkan persahabatan dan sumbangan, alhamdulillah baik
yang muslim mahupun yang bukan muslim.



 
Itulah harapan kita.
Sebabnya, Islam itu mudah, jadi jangan buat payah tetapi jangan pula
kita ambil mudah. Jika umat Islam mahu maju kita kena ikut al-Quran dan
sunah.

 

 
Memang kita menyedari
bahawa setiap pembaharuan itu akan ada yang menentang. Hal ini adalah
sunatullah. Ia bukan baru malah turut berlaku ke atas ulama-ulama besar
zaman silam. Antaranya Imam Syafii sendiri, Imam Bukhari dan Imam Ahmad
Ibn Hanbal yang dipenjarakan sehingga beliau wafat. Para penentang itu
pula bukanlah orang sembarangan. Mereka juga adalah golongan yang
memahami agama.



 
Golongan mualaf juga
ramai yang memilih Perlis untuk mengucap dua kalimah syahadah. Antara
lain sebabnya, kita benarkan mereka mengekalkan nama asal selepas
memeluk Islam. Selain itu, kita juga permudahkan urusan memeluk Islam
tidak perlu goncang-goncang tangan semasa mengucap. 

 
Sepatutnya,
negeri-negeri lain menyokong usaha dakwah oleh para pendakwah Perlis
yang kadang- kadang berceramah di luar Perlis. Ini tidak, sebaliknya
ada arahan oleh negeri tertentu supaya tidak dibenarkan pendakwah dari
negeri ini berceramah di tempat mereka.



 
Jadi, apakah pendekatan yang akan diambil oleh Perlis dalam menjayakan misi 
ini? 

 
SHAHIDAN: Kita akan
mengamalkan pendekatan yang lemah-lembut dan berkasih sayang sesama
manusia (hablum minannas). Ini memerlukan kepada penglibatan golongan
ulil-amri atau pemerintah untuk merealisasikannya.



 
Pada masa yang sama
kita ingin membangkitkan semangat jihad di kalangan umat Islam.
Lihatlah semangat yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab yang
masih memimpin tentera berperang pada usia 76 tahun.

 

 
Kita juga akan
meningkatkan lagi kegiatan dakwah dan memperhebatkan muzakarah termasuk
dengan parti pembangkang. Islam bukan eksklusif untuk mana-mana parti
sebaliknya ia adalah hak bersama. Sebab itu, kini UMNO dilihat lebih ke
hadapan dalam memperjuangkan Islam lebih-lebih lagi di bawah kepimpinan
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.



 
Semua orang Islam
berhak membicarakannya untuk mencari ajaran Islam yang sebenar
sebagaimana dituntut oleh al-Quran dan sunah Rasulullah. Jangan kita
emosi dalam soal agama sebaliknya hendaklah berpegang kepada yang hak.

 
SUmber:



 
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

 


"al-'ilm: qaala Allah wa qaala ar-Rasul"




__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke